KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan bahawa keputusan beliau untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya akan diputuskan akar umbi UMNO di Parlimennya dan bukan bersandarkan... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan bahawa keputusan beliau untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya akan diputuskan akar umbi UMNO di Parlimennya dan bukan bersandarkan kepada ketetapan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ujar bekas Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO itu, ia kerana tiada dalam terma perlembagaan parti yang menjelaskan hanya Presiden UMNO berhak dan mempunyai kuasa menentukan siapa paling layak menjadi calon pilihan raya di setiap kawasan.

Jelasnya lagi, sekalipun Presiden parti dianggap mempunyai kuasa menandatangani watikah pelantikan calon pilihan raya, itu sekadar amalan tradisi UMNO sejak zaman kepimpinan Presiden UMNO pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di mana kepimpinan parti memberi penghormatan kepada Presiden untuk menentukan siapa calon layak dipilih.

"Tunku Abdul Rahman pula tidak bersifat pilih kasih dan beliau akan menilai kesesuaian seseorang calon untuk bertanding di setiap kawasan pilihan raya yang dicadangkan. Begitu juga dengan Tun Abdul Razak Hussein (Presiden UMNO kedua).

"Meskipun mempunyai kuasa, mereka tidak menyalahgunakannya dan masih mendengar suara serta pandangan orang bawahan. Itu sifat kepimpinan yang sebenar, harus sensitif dengan pandangan dan kegusaran akar umbi,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada akan kekal bertanding pada PRU15 atau sebaliknya.

Tengku Razaleigh Hamzah. - Foto Rosli Talib

Hal ini susulan ramai pemimpin veteran yang seangkatan dengannya seperti bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menyatakan keputusan bersara daripada dunia politik dan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Untuk rekod, Tengku Razaleigh, 85, atau lebih dikenali sebagai Ku Li merupakan ahli Parlimen paling lama berkhidmat di Malaysia sejak 48 tahun dahulu apabila beliau mula menjadi Ahli Parlimen Hulu Kelantan pada tahun 1974.

Mengulas lanjut, Ku Li turut mendedahkan beliau sepatutnya sudah mengambil keputusan bersara daripada dunia politik sejak dua penggal pentadbiran kerajaan yang lepas.

Bagaimanapun, bekas Menteri Kewangan itu mendedahkan akar umbi UMNO bahagian Gua Musang tidak mahu melepaskan beliau dan bertekad untuk tidak menyokong calon lain sekiranya beliau tidak menawarkan diri bertanding.

"Itu masalahnya dan saya terpaksa akur untuk bertanding kerana takut parti di peringkat bahagian akan berpecah.

"Mereka akan berbincang sesama sendiri dan saya akhirnya akan akur dengan apa sahaja keputusan dibuat kelak,” tegas Ku Li lagi.

Tengku Razaleigh (kanan) sempat meneliti isi kandungan akhbar Sinar Harian bersama wartawan, Khairil Anwar Mohd Amin sewaktu ditemubual di pejabatnya pada Selasa.
Klik di sini untuk terus membaca