SHAH ALAM - Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh, mendedahkan ada pihak tertentu menjadi 'duri dalam daging' dengan cuba melaga-lagakan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Muhamad Akmal berkata, individu terbabit bertindak melaga-lagakan kedua-dua pemimpin berkenaan kerana tidak senang melihat hubungan baik yang terjalin antara Ketua Menteri Melaka dan Ab Rauf.
Berikutan itu, beliau yang juga Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka menafikan terdapat desakan dalam kalangan barisan Exco kerajaan negeri supaya Sulaiman berundur daripada jawatan Ketua Menteri.
"Saya cuba untuk tidak mahu komen mengenai isu yang cuba dibuat-buat oleh sesetengah pihak untuk melaga-lagakan kepimpinan Ketua Menteri Melaka dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, tetapi semakin lama dibiarkan semakin menjadi-jadi pihak yang tidak bertanggungjawab ini.
"Tidak pernah sekelumit pun sepanjang saya menjadi EXCO Kerajaan Negeri ada usaha yang meminta kami untuk menukar kepimpinan kerajaan negeri dari mana-mana pihak, maka dakwaan untuk meminta YAB Ketua Menteri meletakkan jawatan adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berasas kerana ia tidak pernah langsung berlaku dan dibincangkan bersama kami wakil rakyat," katanya.
PERBINCANGAN KETUA BAHAGIAN
Dalam pada itu, Muhamad Akmal juga menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai dakwaan terdapat perbincangan dalam kalangan Ketua Bahagian UMNO dan Pemangku Ketua Bahagian UMNO bukan wakil rakyat untuk menukar individu dilantik sebagai Ketua Menteri.
"Kami tidak pasti pula jika ia dibincangkan bersama dengan ketua bahagian dan pemangku ketua bahagian yang bukan wakil rakyat untuk menukarkan kepimpinan Ketua Menteri.
"Dan sepengetahuan saya, kerajaan negeri dan Ketua Menteri ini dibentuk dan dipilih oleh wakil rakyat dan bukannya dipilih oleh Ketua Bahagian UMNO mahupun pemangku Ketua Bahagian yang bukan wakil rakyat, jadi saya harap kepada pihak yang suka melaga-lagakan orang ini janganlah jadi seperti sudu lebih dari kuah.
"Tugas kami hari ini setelah mendapat kepercayaan rakyat adalah untuk membangunkan negeri dan berkhidmat pada rakyat negeri melaka, bukannya sibuk berpolitik menjatuhkan mana-mana pihak," katanya.
Berikutan itu, Muhamad Akmal berkata semua Exco Kerajaan Negeri akan terus bekerja untuk rakyat dan membiarkan politikus berkenaan dengan labu labunya.
"Jika ia tetap berterusan, saya mohon agar Lembaga Disiplin UMNO untuk mengambil tindakan ke atas 'si kitol' yang memecah belahkan UMNO negeri melaka ini," katanya.
Terdahulu, media melaporkan terdapat desakan supaya Sulaiman digantikan dengan individu lain seperti yang dibincangkan menerusi satu forum yang disertai dua Ketua Umno bahagian bukan dalam kalangan wakil rakyat iaitu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Tangga Batu) dan Datuk Hasan Abd Rahman (Jasin) serta pemangku Ketua Umno Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman.
Berikutan itu, UMNO Bahagian Alor Gajah mencadangkan Sulaiman segera dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang baharu menggantikan Ab Rauf.
Perkara itu disuarakan Rospandi yang mahu jawatan itu digantikan dengan Sulaiman, susulan timbul spekulasi gerakan menyingkirkan Sulaiman baru-baru ini.
Klik di sini untuk terus membaca