KEPUTUSAN Perhimpunan Agung (PAU) Khas yang meluluskan pindaan perlembagaan bagi membolehkan pemilihan jawatan tertinggi parti diadakan selepas enam bulan Pilihan Raya Umum diadakan tiada kena mengena dengan usaha menyelamatkan mana-mana... Klik di sini untuk terus membaca

KEPUTUSAN Perhimpunan Agung (PAU) Khas yang meluluskan pindaan perlembagaan bagi membolehkan pemilihan jawatan tertinggi parti diadakan selepas enam bulan Pilihan Raya Umum diadakan tiada kena mengena dengan usaha menyelamatkan mana-mana individu daripada kes mahkamah dihadapi mereka.

Ini termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang dibicarakan di mahkamah atas dakwaan rasuah, pecah amanah dan penyelewengan membabitkan dana awam serta kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pindaan perlembagaan berkenaan sebenar adalah sebahagian daripada usul dikemukakan oleh sebahagian daripada usul dikemukakan oleh ahli dan pemimpim UMNO di peringkat akar umbi dan bahagian, sebelum diangkat ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) seterusnya diluluskan dalam PAU Khas hari ini.

BUKAN SELAMATKAN KLUSTER MAHKAMAH

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berpandangan bahawa keputusan PAU Khas berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan usaha menyelamatkan Ahmad Zahid dan Najib daripada kes mahkamah dihadapi mereka sekarang.

"Saya tidak rasa kelulusan pindaan Perlembagaan UMNO ini mempunyai kaitan dengan usaha menyelamatkan individu tertentu kerana amat mustahil untuk mereka mempengaruhi berpuluh Ahli MKT yang terdiri daripada golongan kritis dan bijaksana terhadap masa depan parti. Oleh itu, saya sukar menerima jika ada pihak berpandangan pindaan ini dibuat demi menyelamatkan dan kepentingan individu tertentu dalam UMNO.

"Tambahan pula, seperti kita tahu bahawa Ahmad Zahid Hamidi sendiri adalah seorang pemimpin bertanggungjawab mencetuskan idea supaya semua jawatan tertinggi UMNO termasuk Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan semula dalam Pemilihan UMNO pada 2019 selepas lebih 30 tahun kedua-kedua kerusi panas itu tidak dipertandingkan," katanya kepada wartawan Sinar Premium.

Berikutan itu, Awang Azman menjelaskan, adalah kurang tepat jika ada pihak tertentu mendakwaan pindaan berkenaan adalah bertujuan menyelamatkan individu tertentu termasuk Presiden UMNO dan Najib daripada kes mahkamah dihadapi mereka sekarang.

Awang Azman berkata, jika perkara itu berlaku mustahil Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli MKT UMNO tidak membantah cadangan berkenaan jika keputusan berkenaan dibuat atas kepentingan individu tertentu sahaja.

"Malah, saya difahamkan cadangan pindaan itu juga secara dasarnya dipersetujui oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sendiri dan sebab itulah mereka menasihatkan UMNO mengadakan PAU Khas bagi membuat ketetapan rasmi," katanya.

Ditanya mengenai impak pindaan itu, Awang Azman berkata, jika perkara berkenaan dilaksanakan maka ia dapat mengelak berlakunya sabotaj, lompat parti dan undi protes dalam kalangan ahli dan pemimpin UMNO yang kecewa apabila tewas dalam pemilihan parti, semasa PRU15 nanti.

Pada Sabtu lalu, menerusi satu temu bual dengan Sinar Harian, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata,

adalah tidak wajar pindaan perlembagaan UMNO dibuat jika hanya sekadar bertujuan mengekalkan kedudukan satu atau dua pemimpin tertentu.

UMNO LEBIH DEMOKRATIK

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berpandangan, pindaan berkenaan menunjukkan UMNO mengambil pendekatan lebih demokratik dalam memilih kepimpinan parti.

"Melibatkan lebih ramai ahli melalui pendekatan muafakat dan pemimpin yang dipilih benar-benar mendapat sokongan akar umbi. Pindaan pemilihan ini juga membuktikan UMNO lebih mementingkan soal kestabilan parti terutama untuk berhadapan dengan PRU15.

Mohd Izani

"Meskipun pindaan ini memberi peluang kepada ahli parti memilih kepimpinan, ia mestilah berlaku dalam keadaan ahli mempunyai kebebasan dan tidak dikawal dan dipengaruhi oleh mana-mana pihak," katanya.

Pensyarah kanan, Politik Dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani, pula berkata, biarpun pindaan berkenaan sudah diluluskan oleh PAU Khas namun pelaksanaannya masih tertakluk kepada keputusan ROS.

"Pindaan ini beri pilihan sama ada terima pakai 18 bulan atau 6 bulan selepas PRU. Oleh kerana PRU pun boleh jadi 3 tahun, 4 tahun atau 5 tahun dlm satu penggal, jadi perkiraan pindaan ini ada rasionalnya. Namun ia bergantung kepada penerimaan ROS kerana sama ada menerima pakai masa kini atau selepas pemilihan UMNO kelak," katanya.

Mohd Azizuddin

Terdahulu, media melaporkan PAU Khas hari ini meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO membabitkan tiga fasal iaitu Fasal 10.16, Fasal 15.3 dan Fasal 18.2.

Berikutan itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, justeru pemilihan parti tetap diadakan tiga tahun sekali seperti yang terkandung dalam Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

Katanya, sebaliknya peruntukan dan fasal baharu yang dipinda dan dimasukkan adalah fasal pengecualian kepada pemilihan tiga tahun sekali itu.

"Fasal pertama yang dipinda adalah Fasal 10.16 yang sekarang ini memperuntukkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, Bahagian dan Cawangan.

"Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan. Fasal ini akan dipinda untuk memberi kuasa dan pilihan kepada MKT untuk membuat satu lagi bentuk penangguhan kepada pemilihan parti iaitu penangguhan selama enam bulan selepas sesuatu PRU diadakan," katanya membentangkan usul pindaan Perlembagaan UMNO pada PAU Khas, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Ahad.

Klik di sini untuk terus membaca