SHAH ALAM - Faktor cuaca dan serangan serangga perosak menyebabkan stok durian berkurang sehingga 60 peratus dan menyebabkan raja buah itu akan mengalami kenaikan harga sebanyak 10 peratus pada tahun ini.
Presiden Save Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang berkata, disebabkan masalah bekalan juga, kebanyakan pengusaha kebun durian tidak berani untuk mengambil tempahan buah itu untuk dieksport ke luar negara.
"Musim kali ini tidak stabil dan buah juga tidak cantik. Malah tiada lagi alternatif lain yang boleh digunakan untuk halang serangga perosak.
"Pokok-pokok durian itu juga mungkin akan mati, jika nak sihatkan pokok itu semula memakan masa yang lama lebih kurang satu atau dua tahun,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah memaklumkan harga jualan durian pada musim kali ini dijangka meningkat sekali ganda disebabkan hasil yang berkurangan tetapi mempunyai permintaan tinggi.
Beliau juga memberi ingatan kepada penggemar buah berkenaan untuk bersedia dengan kemungkinan kenaikan harga yang tidak dapat dielakkan kerana pengeluaran tanaman itu yang berkurangan kerana terpalit dengan faktor hujan berpanjangan tahun lalu.
Mengulas lanjut, Wilson berkata, harga yang meningkat turut disebabkan peningkatan kos operasi dan harga baja yang meningkat disebabkan impak perang Rusia-Ukraine.
"Sebagai contoh durian Musang King, kalau tahun sebelum ini dijual RM45 satu kilogram, tahun ini naik sedikit dengan anggaran melebihi RM55.
"Bagaimanapun, harga tersebut tidaklah melampau seperti yang diperkatakan oleh masyarakat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Wilson berkata, kerajaan perlu memikirkan jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah serangga perosak.
"Sehingga kini tiada lagi racun yang boleh mengatasi masalah itu.
"Kalau boleh kita kena duduk berbincang sama ada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk cari jalan penyelesaian dengan segera.
"Kalau tidak memang stok untuk tahun-tahun berikutnya akan berkurang dan semakin teruk,” jelasnya.
Dalam pada itu, Wilson berkata, musim durian dijangka hanya bertahan sehingga tiga bulan sahaja bermula Jun sehingga Ogos ini.
HANYA SEPOKOK BERBUAH
Dalam pada itu, serorang pekebun durian, Abd Manan Ishak, 63 dari Kampung Teluk Ira di Temerloh berkata, hanya sebatang pokok durian di ladangnya berbuah setakat ini.
Abd Manan memberitahu, keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan situasi tersebut terjadi.
"Daripada 20 pokok yang ada di dalam kebun saya, satu pokok sahaja yang berbuah setakat ini.
"Ikutkan situasi yang ada sekarang, memang dijangkakan pengeluaran buah durian berkurangan kali ini,” katanya.
Ujarnya, hasil durian kampungnya pada tahun ini juga tidak banyak berbanding tahun lalu.
"Jika berterusan, memang harga durian tahun ini akan meningkat,” katanya.
Abdul Manan dikenali kerana hasil durian kampung premium yang dikenali Chok Villa sering menjadi tumpuan para penggemarnya kerana rasanya yang lemak manis, pahit serta isinya warna kuning keemasan.
Klik di sini untuk terus membaca