PELANTIKAN Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan sebagai Presiden ketiga Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan pemerintah ke-17 Abu Dhabi pada Sabtu sememangnya sudah dijangka memandangkan beliau telah memegang tanggungjawab penting berkaitan dasar, perundangan dan ekonomi sebelum mengambil alih tampuk pemerintahan negara kaya minyak itu.
Beliau dilihat sebagai ‘orang kuat’ yang telah memacu kebangkitan negara Teluk tersebut menjadi lebih terkenal di peringkat antarabangsa setelah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi yang mengawal kewangan emiriah berkenaan.
Sheikh Mohammed, 61, dikatakan sudah sekian lama ‘memegang kuasa’ di sebalik pentadbiran abangnya, Sheikh Khalifa setelah presiden kedua itu tidak lagi muncul di khalayak umum sejak 2004.
Pada November tahun sama, anak ketiga pengasas UAE, Sheikh Zayed Sultan Al Nahyan itu telah dinamakan sebagai Putera Mahkota Abu Dhabi.
Pada 2009, menerusi nota kepada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang dibocorkan WikiLeaks, bekas Duta Amerika, Richard Olson menggelar Sheikh Mohammed atau MBZ sebagai ‘pemimpin yang menguruskan UAE’.
Bak kata pepatah, diam-diam ubi berisi, Sheikh Mohammed berjaya merealisasikan cita-citanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang menyaksikan UAE membina profilnya sebagai pemain serantau walaupun dikenali sebagai seorang pemimpin yang ‘low profile’.
Beliau juga menjadi pemimpin Teluk pertama yang menormalkan hubungan dengan Israel sekali gus melanggar konsensus Liga Arab selama beberapa dekad yang sepakat untuk mengasingkan Tel Aviv sehingga penubuhan Palestin sebagai sebuah negara merdeka.
UAE yang terkenal dengan struktur pencakar langit menakjubkan kini mampu berdiri gah sebaris dengan negara Barat apabila ia semakin maju dalam sektor aeroangkasa.
Ia mencipta sejarah tersendiri dalam dunia Islam apabila menjadi perintis menghantar angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan melancarkan misi Hope ke planet Marikh sempena ulang tahun penyatuan negara itu pada Julai 2020 ketika komuniti antarabangsa masih bergelut dengan pandemik Covid-19.
Pengalaman tentera Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dilahirkan pada 11 Mac 1961 dan mendapat pendidikan di sekolah tentera di Britain di mana beliau tamat latihan dari Royal Military Academy Sandhurst pada 1979.
JAWATAN TINGGI TENTERA
Pengalaman ketenteraan beliau melayakkannya memegang jawatan tertinggi termasuk komander tentera udara, timbalan ketua turus dan ketua turus pada 1993.
Kira-kira setahun kemudian, Sheikh Mohammed dinaikkan pangkat sebagai jeneral.
Pada 2015, beliau juga dipercayai ada kaitan dengan keputusan untuk mengerahkan pasukan tentera di bawah gabungan Arab yang diketuai Riyadh ke Yemen untuk memerangi kumpulan pemberontak Huthi yang masih bermaharajalela hingga kini.
Konflik di Sanaa merupakan kempen ketenteraan pertama yang disertai UAE yang turut menyaksikan ramai anggota mereka terkorban.
Berhubung kehidupan peribadinya, beliau melangsungkan perkahwinan dengan anggota kerabat diraja, Sheikha Salama Hamdan Al Nahyan dan dikurniakan sembilan cahaya mata.
Sheikh Mohammed jarang tampil untuk berucap di khalayak umum malah beliau pernah menolak ucapan perasmian Louvre Abu Dhabi dan menyerahkannya kepada pemerintah Dubai, Mohammed Rashid pada November 2017.
Di bawah kepimpinannya, Abu Dhabi telah memupuk hubungan politik dan perdagangan di seluruh rantau Arab serta menerajui dasar keselamatan domestik yang tegas.
Pada masa yang sama beliau cuba membina reputasi toleransi di UAE yang bertentangan dengan negara jirannya yang konservatif, namun bertindak tegas terhadap individu yang didakwa ada kaitan dengan ekstremis.
Kira-kira lima tahun lalu, beliau pernah membuat keputusan kontroversi apabila mengumumkan Masjid Besar Abu Dhabi di Al Mushrif yang juga dikenali sebagai Masjid Sheikh Zayed sempena nama bapanya akan dinamakan semula sebagai Masjid Mariam Umm Issa.
Ia dikatakan sebagai salah satu cara untuk menguatkan ikatan kemanusiaan antara penganut agama yang berbeza di bawah inisiatif untuk memaparkan imej cemerlang, hidup secara harmoni dan toleransi yang diamalkan di negara tersebut.
Selain itu, Sheikh Mohammed adalah seorang peminat tegar bola sepak dan merupakan presiden kelab tempatan di oasis Al-ain, kota kelahiran bapanya dan bandar kedua terbesar di Abu Dhabi.
Beliau juga gemarkan aktiviti memburu dan bersukan serta pernah dilihat menunggang basikal di sekitar ibu kota dan dikatakan seorang individu yang berjiwa seni kerana amat meminati puisi. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca