PETALING JAYA - Permintaan terhadap durian kekal tinggi meskipun harga jualannya telah meningkat di pasaran.
Peniaga durian, Jamila Hasan, 36, berkata, perubahan harga durian tidak akan memberi kesan kepada pembeli.
"Daripada pengalaman saya yang dah berniaga selama enam tahun, sama ada (harga) meningkat atau menurun, apabila musim durian muncul pada bulan Jun dan Disember, pelanggan akan tetap sama banyaknya.
"Masa tahun pertama pandemik Covid-19 dulu, pendapatan (kami) meningkat, bukan secara bersemuka, tetapi melalui dalam talian.
"Sebab orang tetap akan cari durian bila tiba musimnya, jadi kita boleh beri pilihan kepada mereka untuk membeli secara dalam talian,” katanya.
Dalam pada itu, peniaga durian, Abby Ong, 28, berkata, stok bekalan durian masih lagi kurang memandangkan musim durian baru sahaja mula.
Menurutnya, semua durian di kedainya itu mendapat bekalan daripada pembekal di Raub, Pahang, termasuk durian jenis Musang King, XO, Sultan King, Mas Johor dan Udang Merah.
"Seperti jenis Musang King, kita tidak dapat banyak (stok) sebab kebanyakan (durian) Musang King dieksport ke China.
"Jadi kita ‘lokal’ dapat sedikit sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, seorang jurutera, Mohd Herman Muhamad, 40 berkata, harga durian telah banyak meningkat berbanding harga tahun lepas.
Bagaimanapun, Mohd Herman yang bekerja di Doha, Qatar itu berkata, dia tidak ingin lepaskan peluang untuk makan durian memandangkan dia perlu kembali bertugas tidak lama lagi.
Klik di sini untuk terus membaca