SHAH ALAM - Hanya enam pemilihan Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di seluruh negara termasuk lima di Kelantan dan satu di Kedah terpaksa ditangguhkan sementara waktu kerana pelbagai masalah teknikal seperti sistem internet tidak stabil dan kekecohan yang berlaku.
Lima cabang di Kelantan yang ditangguhkan pemilihan termasuklah Bachok, Gua Musang, Tumpat, Pengkalan Chepa dan Ketereh, manakala di Kedah pula membabitkan Cabang Padang Serai.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya terpaksa menangguhkan proses pengundian PKR Cabang Padang Serai kerana berlaku ketegangan berikutan timbul salah faham dalam kalangan penyokong calon bertanding merebut jawatan di cabang terbabit.
Berikutan itu, Zaliha berkata, JPP mengadakan perbincangan dengan mereka bertanding dan bersetuju untuk menangguhkan pemilihan peringkat cabang terbabit kerana bimbang tercetusnya pergaduhan dalam kalangan sesama penyokong PKR sendiri.
"Setakat ini hanya enam pemilihan peringkat cabang termasuk lima di Kelantan dan satu di Kedah terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu kerana masalah teknikal dan kekecohan yang timbul.
"Bagaimanapun, JPP akan menetapkan satu tarikh baharu bagi membolehkan ahli parti di keenam-enam cabang berkenaan dapat menunaikan tanggungjawab bagi memilih barisan kepimpinan baru, sebelum Kongres Nasional PKR, berlangsung tidak lama lagi," katanya kepada Sinar Premium, pada Isnin.
Zaliha turut melahirkan rasa syukur kerana proses pemilihan cabang PKR di lokasi lain berlangsung dalam suasana yang agak teratur dan berjalan lancar berbanding tahun sebelum ini.
Beliau berkata, antara negeri lain yang sudah selesai mengadakan pemilihan dan pengundian secara fizikal di peringkat cabang setakat hari ini ialah Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Perlis, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
"Untuk Selangor, negeri yang dicatatkan paling ramai ahli ditetapkan pengundian pada 21 Mei dan Perak, Sabah dan Sarawak pada 22 Mei.
"Selain pengundian secara fizikal, turut diadakan pengundian dalam talian melalui aplikasi ADIL yang akan mula dilaksanakan 18 hingga 20 Mei. Bagi pengundian secara dalam talian untuk anggota parti luar negara, aplikasi pengundian di buka pada 17 Mei ini," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca