SHAH ALAM - Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan terdapat sejumlah daftar pemilih yang meragukan menjelang pemilihan parti bagi penggal 2022-2025.
Pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, JPP juga sudah menjalankan siasatan berhubung dakwaan calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli yang mendakwa pihaknya mengenal pasti sebanyak 54,000 daftar pemilih meragukan.
Bagaimanapun katanya, angka berkenaan tidak sampai 54,000 seperti didakwa Rafizi.
"Kita akan teliti dan terima baik aduan dibuat Rafizi dan cuba sedaya upaya bagi memperbaiki kelemahan sedia ada. Kita juga sudah meminta semua ahli PKR yang datang mengundi secara fizikal supaya mengisi borang 11 bagi membolehkan kita mengenai pasti sama ada individu berkenaan adalah ahli parti yang sah atau pengundi 'hantu'," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium pada Isnin.
Untuk rekod sehingga kini 57 pemimpin PKR di seluruh negara termasuk Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, sudah menang tanpa bertanding jawatan Ketua Cabang disandang mereka sebelum ini kerana tidak dicabar individu lain.
Antara pertandingan paling panas ialah perebutan Ketua Cabang Gombak di mana, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan dicabar oleh bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador dan beberapa calon lain, pada pemilihan parti kali ini.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Rafizi mendakwa pihaknya mengenal pasti sebanyak 54,000 daftar pemilih meragukan menjelang pemilihan parti itu bagi penggal 2022-2025.
Berikutan itu, bekas Naib Presiden PKR tersebut menyatakan sudah menghantar surat aduan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pada 12 April lalu dan menggesa jawatankuasa itu mengambil langkah memastikan anggota parti yang tersenarai dalam kelompok berkenaan tidak dibenarkan mengundi.
Jelas beliau, perkara itu dikenal pasti pihaknya menerusi penemuan senarai data melibatkan 1,500 nama daftar pemilih yang didaftarkan hanya bersandarkan satu nombor telefon.
"Apabila pasukan kami menelefon sebahagian anggota PKR didaftarkan menerusi satu nombor telefon berkenaan, mereka sendiri tidak menyedari sudah didaftarkan sebagai ahli parti.
"Selain itu, terdapat juga isu pendaftaran keahlian parti yang tidak disertakan nombor kad pengenalan yang betul dan isu keahlian ragu disebabkan anggota parti lain yang dibawa masuk menjadi ahli PKR. Ini kerana proses pendaftaran keahlian parti hanya memerlukan nama dan kad pengenalan.
"Perkara-perkara ini telah dibawa kepada JPP dan saya berharap JPP mengambil langkah memastikan kesemua senarai daftar pemilih ragu ini tidak dibenarkan mengundi secara terbuka seperti anggota-anggota lain,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Klik di sini untuk terus membaca