PENDUDUK Palestin pada Sabtu dan Ahad lalu memperingati Hari Nakba atau malapetaka, 74 tahun selepas negara haram Israel ditubuhkan yang kemudian diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perhimpunan juga diadakan di beberapa buah negara di dunia untuk menyokong perjuangan Palestin pada Hari Nakba itu apabila hampir 800,000 penduduknya diusir keluar dari kediaman masing-masing oleh rejim Zionis Israel pada 1948 dan tahun-tahun seterusnya.
Sehingga kini terdapat lebih lima juta pelarian Palestin di Tebing Barat, Semenanjung Gaza, Jordan, Lubnan dan Syria, kata PBB selepas peristiwa pengusiran mereka akibat penubuhan negara haram Israel.
Semasa perhimpunan bagi meraikan hari itu diadakan di Tebing Barat yang dijajah rejim Zionis dan Gaza, penduduk Palestin melepaskan belon-belon berwarna yang tertera nama bandar yang dijajah oleh Israel pada tahun 1948.
Dalam perhimpunan itu, terdapat juga penduduk Palestin yang dilihat memegang gambar wartawan wanita Al-Jazeera, Shireen Abu Akleh, 51, yang terkorban pada 11 Mei lalu ketika Israel melancarkan operasi tentera di Jenin, Tebing Barat.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, Shireen ditembak oleh tentera Israel rejim Zionis ketika sedang membuat liputan di bandar tersebut dan wartawan itu pula sudah bekerja dengan Al-Jazeera lebih 20 tahun.
Pada hari memperingati itu, terdapat sepanduk yang tertera perkataan bahawa 'Kepulangan kami tidak dapat dielakkan' dan 'Baitulmaqdis adalah ibu kota abadi Palestin' manakala ada penduduk Palestin yang mengibarkan bendera Palestin di Gaza.
Laman- laman media sosial turut dibanjiri dengan cerita-cerita perpindahan penduduk Palestin pada tahun 1948 yang menyebabkan Israel menguasai Tel Aviv.
Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas membuat ucapan pada malam Sabtu lalu di bandar Ramallah dengan menyatakan penduduk Palestin yang hebat tidak boleh dikalahkan dan mereka tinggal tanpa mengira kesukaran, komplikasi dan jenayah kejam pihak penjajah.
Perarakan di Ramallah yang disertai oleh ribuan penduduk Palestin dan bermula dari makam bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat sebelum menuju ke pusat bandar.
Di Gaza, perarakan juga diadakan dan ia bermula dari Dataran Al-Katiba dan menuju ke ibu pejabat PBB di Bandar Gaza.
Hamas turut mengeluarkan kenyataan sempena memperingati hari ulang tahun itu dengan menyatakan tiada kesahihan untuk penjajahan Israel dan penentangan menyeluruh akan dilakukan sehingga Palestin dibebaskan daripada cengkaman Zionis.
Pada setiap tahun, Israel merobohkan ratusan rumah Palestin dan berdasarkan data yang dikumpulkan oleh Pejabat Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) antara tahun 2009 hingga 2022, sekurang-kurangnya 8,413 bangunan milik penduduk Palestin telah dirobohkan oleh tentera Israel menyebabkan sekurang-kurangnya 12,491 orang kehilangan tempat tinggal.
Lebih 700,000 peneroka haram Yahudi tinggal di sekurang-kurangnya 250 penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang dijajah Israel.
Serangan peneroka terhadap penduduk Palestin dan harta benda mereka adalah perkara biasa di Tebing Barati dan Baitulmaqdis Timur yang menempatkan kira-kira lebih 2.9 juta penduduk Palestin.
Israel turut membiayai dan membina penempatan haram Yahudi dengan menawarkan insentif dan skim perumahan secara subsidi.
Sejak penubuhan Israel itu banyak pertempuran yang berlaku termasuk Perang Enam Hari pada tahun 1967, intifada Palestin dan Perang Gaza serta operasi serangan udara selama 11 hari pada Mei tahun lalu.
Israel masih bertindak secara haram kerana pemindahan secara paksa penduduk Palestin di wilayah yang dijajah adalah melanggar undang-undang antarabangsa.
Tindakan rejim Zionis di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur itu telah menyebabkan bilangan peneroka haram Yahudi di kedua-dua wilayah tersebut berkembang dengan lebih cepat berbanding penduduk Israel di Israel.
Justeru, peristiwa Nakba dianggap sebagai proses perpindahan penduduk secara berterusan yang tidak pernah berhenti. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca