SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Satu audit khas perlu dilakukan ke atas Sapura Energy Bhd (SEB) bagi mengetahui kedudukan kewangan syarikat dari segi aset, liabiliti, potensi dan masa depannya. Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Satu audit khas perlu dilakukan ke atas Sapura Energy Bhd (SEB) bagi mengetahui kedudukan kewangan syarikat dari segi aset, liabiliti, potensi dan masa depannya.

Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, untuk melakukan audit khas ini, Khazanah Nazional Berhad (Khazanah) merupakan entiti yang paling sesuai kerana mempunyai pengalaman mengenai perkara terbabit.

Jelasnya, dengan melakukan audit khas ini, Khazanah boleh menentukan adakah SEB masih berpotensi untuk diselamatkan dan mempunyai potensi besar pada masa hadapan.

Beliau dalam masa sama turut menolak cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disokong oleh UMNO agar Petronas mengambil alih SEB.

"Saya rasa Petronas adalah entiti yang tidak sesuai disebabkan Petronas merupakan pelanggan kepada SEB.

"SEB merupakan kontraktor kepada Petronas dan SEB (pernah) menuduh Petronas telah menurunkan harga kontrak beberapa tahun lepas apabila harga minyak menurun tetapi tidak mengembalikan kepada harga asal walaupun sekarang harga minyak sudah naik tiga kali ganda misalnya.

"Jadi, adalah tidak sesuai Petronas untuk datang mengambil alih atau menolong SEB pada masa ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

DR NUNGSARI

UMNO pada Ahad bersetuju agar pengauditan forensik dilakukan ke atas SEB selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkannya baru-baru ini.

Parti itu juga dilaporkan bersetuju dengan cadangan Najib bahawa Petronas sesuai untuk mengambil alih SEB.

Barjoyai menambah, audit forensik boleh dilakukan semasa audit khas ini dijalankan bagaimanapun ia harus dilakukan oleh pengurusan SEB sendiri.

"Semasa melakukan audit khas, kita boleh masukkan elemen audit forensik.

"Audit forensik ini matlamatnya adalah untuk mencari penyalahgunaan kuasa, kewangan dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi tidak bersetuju dengan cadangan agar kerajaan menyelamatkan SEB.

"Saya tak setuju SEB ‘diselamatkan’ oleh kerajaan. Petronas, Khazanah adalah dana awam. Ada lagi syarikat minyak dan gas yang masih beroperasi. Biarlah mereka yang mengambil alih perniagaan, pekerja dan aset SEB,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca