BANGI - Muafakat Nasional (MN) sukar dipertahankan kerana tindakan pemimpin Pas yang ‘menyerang’ UMNO secara keterlaluan semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, baru-baru ini.
Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tidak menyalahkan UMNO kerana enggan meneruskan kerjasama susulan kenyataan kasar dan mengguris hati dikeluarkan segelintir pemimpin Pas, baru-baru ini.
Berikutan itu, Mohd Khairuddin berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhak mengeluarkan kenyataan untuk menamatkan hubungan dan kerjasama parti itu dengan Pas menerusi MN.
"Saya rasa itu hak masing-masing dan mungkin UMNO terasa hati dengan sikap pemimpin Pas yang menyerang mereka secara keterlaluan semasa kempen PRN Melaka dan Johor.
"Saya rasa sebagai manusia biasa sudah pasti pemimpin UMNO akan terasa apabila diserang dengan dahsyat oleh pemimpin Pas,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Aidilfitri anjurannya di Darul Fuqaha, Bangi, Selangor pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, biarpun MN sudah berkubur UMNO dan Pas tetap perlu berunding bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri yang akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH) di kerusi tertentu.
"Biarpun Pas dan UMNO tiada kerjasama rasmi namun mereka tetap perlu berunding bagi menguntungkan kedua-dua belah pihak. Kalau Pas bertanding di sesuatu kerusi UMNO kena sokong biarpun mereka tidak bertanding di kawasan terbabit dan begitu juga sebaliknya, itulah maksud rundingan kerusi.
"Ini penting kerana terdapat kes di mana jika berlaku pertembungan banyak penjuru termasuk membabitkan wakil UMNO dan Pas maka ia akan memberikan kemenangan kepada PH,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, terdapat kes di mana negeri tertentu seperti Selangor yang masih lagi memerlukan MN untuk menang pada PRU15.
"Justeru, saya berharap Pas dan UMNO dapat bekerjasama rapat bagi memastikan Selangor bukan lagi berada di bawah cengkaman PH selepas PRU15 nanti,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khairuddin masih ‘berteka teki’ sama ada mahu mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus atau tidak pada PRU15 akan datang.
"Buat sekarang saya masih Ahli Parlimen Bebas dan tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana parti buat masa sekarang ini,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca