SOSOK tubuh bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim dikenali ramai sebagai figura politik negara yang memiliki perjalanan karier paling berwarna-warni dan penuh suka duka. Bahkan anak kelahiran Cherok To’ Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang... Klik di sini untuk terus membaca

SOSOK tubuh bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim dikenali ramai sebagai figura politik negara yang memiliki perjalanan karier paling berwarna-warni dan penuh suka duka.

Bahkan anak kelahiran Cherok To’ Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang kini berusia 75 tahun telah menempuh roller coaster politik cukup luar biasa.

Anwar pernah berada di puncak kerjaya politiknya semasa era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad namun ketika berada di puncak itu juga, episod paling hitam menghantui dirinya dan keluarga.

Tanggal 2 September 1998 menjadi lipatan dalam sejarah Malaysia di mana beliau dipecat daripada Timbalan Perdana Menteri dan turut dilucutkan jawatan sebagai Menteri Kewangan selepas 16 tahun empat bulan berada dalam kabinet Dr Mahathir.

Tidak berakhir di situ, malah Anwar turut dipenjarakan sehingga menyaksikan kebangkitan suara reformasi di jalanan menuntut keadilan buat dirinya.

Anwar walaupun dalam penjara tapi pengaruhnya menembusi jeriji besi dan tembok batu penjara.

Malah, menyebut nama Anwar bermakna menyebut keadilan.

Menariknya sehingga ke hari ini Anwar tetap menjadi idola kebanggaan dalam kalangan pengikut setianya, malah pelbagai kontroversi yang menimpa bukan penghalang bagi ikon reformasi itu untuk bergelar Ketua Pembangkang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah, keampuhan Anwar memegang takhta selaku Presiden PKR langsung tidak tercabar.

Buktinya tiada seorang pun yang mahu tampil mencabar kedudukan beliau dalam pemilihan parti itu bagi penggal 2022/2025.

Ia membuktikan bahawa Anwar terus kekal ‘kebal’ dan tiada siapa yang berani untuk mencabar Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Pengaruh Anwar dalam PKR sangat kuat malah beliau juga mendapat dukungan kuat daripada parti-parti pembangkang.

MATLAMAT AWAL PKR

Penganalisis politik veteran, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, PKR ditubuhkan untuk membela Anwar melalui reformasi institusi dan politik.

"Semasa ketiadaan Anwar, isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik menerajui PKR dengan bantuan pemimpin lain dan sokongan ahli.

"Sekembalinya Anwar, Wan Azizah mengosongkan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar.

"Anwar itu PKR dan PKR itu Anwar dan ini akan berlarutan sehingga Anwar sendiri yang memutuskan kepimpinan PKR perlu berubah tangan,” kata Kok Seong kepada Sinar Premium.

Beliau juga tidak menafikan kesopanan atau sifat beradab selain penghormatan kepada Anwar juga adalah faktor kenapa figura itu tidak dicabar untuk jawatan yang disandangnya.

"Ini juga ada kaitan dengan pembawaan politik Anwar dalam PKR yang tidak bersifat konfrontasi dengan mana-mana pihak.

"Dengan kata lain, ‘perasaan malu alah’ ikut memainkan peranan dalam hal ini (tidak menandingi jawatan Anwar),” katanya sambil menambah mengelak perpecahan parti adalah sebab lain yang menyebabkan penyandang sesuatu jawatan tidak dicabar.

Kok Seong

DERHAKA

Penolong Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar juga berpandangan sama di mana parti PKR yang ditubuhkan pada tahun 1999 itu sudah terlalu sinonim dengan Anwar.

"Personaliti Anwar yang sangat kuat dalam PKR dan karisma beliau banyak menentukan hala tuju parti tersebut malah bagi sebahagian ahlinya, parti itu memperjuangkan Anwar,” tegasnya.

Tambah Tunku Mohar, melihat sepanjang perjalanan penubuhan PKR, kepimpinan beliau dicorakkan sebagai membantu dan mendokong Anwar meraih keadilan sewajarnya.

Tunku Mohar

"Tidak menghairankan jika hingga kini masih tiada yang berani tampil untuk mencabar kepimpinan Anwar.

"Anwar ini seorang yang berkarisma, banyak membaca dan mempunyai daya intelek yang tinggi. Pidatonya antara yang terbaik dalam kalangan ahli politik.

"Beliau mampu menarik sokongan pengundi dengan pidatonya,” kata Tunku Mohar yang menyifatkan Anwar seorang pemimpin dengan kaliber tersendiri dan diakui belum ada pemimpin PKR lain yang menyamai ketokohannya.

Ditanya adakah jika ada yang tampil mencabar Anwar boleh dianggap derhaka terhadap PKR, Tunku Mohar berkata, ia tidaklah sampai ke tahap dianggap derhaka namun melawan Anwar mungkin tidak mendatangkan kebaikan bagi pencabarnya.

Bagi Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib, tiada siapa berani mencabar Anwar kerana beliau merupakan akar tunjang kepada parti tersebut.

Dr Kartini

"Objektif penubuhan PKR itu sendiri adalah untuk membebaskan Anwar maka jika induknya dijatuhkan, apa lagi yang tinggal? Kerana itu, Anwar masih diperlukan oleh PKR.

"Bagaimanapun, kalau diukur dari segi pencapaian politik selepas membuat penampilan semula setelah diberi pengampunan dan kebebasan mungkin masih terdapat keraguan untuk melihat Anwar berjaya.

"Beliau gagal beberapa kali untuk memperoleh SD ketika kemelut eksekutif tahun lalu dan sehingga kini masih mempertahankan gelaran ‘PM dalam senarai menunggu’ untuk tempoh yang agak lama,” katanya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca