SHAH ALAM - Struktur pertanian, penggunaan teknologi dan ciri keusahawanan menjadi punca Malaysia tidak mempunyai keupayaan tinggi dalam menghasilkan agromakanan untuk keperluan rakyat sendiri.
Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN), Profesor Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin berkata, ia menyebabkan negara telah merekodkan lebih daripada RM50 bilion import bahan makanan.
"Pada amnya Malaysia mengimport banyak barang makanan asas seperti beras sebanyak 30 peratus, daging lembu (78 peratus), daging kambing (hampir 90 peratus dan sayur kobis bulat (60 peratus).
"Ini membuktikan kita masih bergantung kepada import makanan untuk barangan asas.
"Pada tahun 2020, defisit import makanan negara dalam lingkungan RM17.4 bilion,” katanya.
Mengulas lanjut, Md Nasir berkata, bagi struktur pertanian negara terbahagi kepada dua iaitu sektor tanaman industri yang dipelopori oleh syarikat perladangan manakala sektor pemakanan oleh pekebun kecil.
"Contohnya, sektor tanaman industri seperti kelapa sawit memang maju dan dipelopori oleh syarikat perladangan”.
"Seperti minyak sawit, sebanyak 70 peratus oleh syarikat perladangan dan selebihnya oleh pekebun kecil. Tetapi untuk pengeluaran makanan tidak ada struktur seperti minyak sawit.
"Sebaliknya, yang banyak keluarkan adalah dipelopori oleh pekebun-pekebun kecil atau pertanian kecil. Ini isu struktur pengeluaran kita,” ujarnya.
Tambah beliau, ia bukanlah disebabkan pelaburan dalam sektor makanan tidak menguntungkan tetapi pelaburan kepada kelapa sawit lebih menguntungkan.
"Ini kita boleh lihat sendiri lebih kurang lima juta hektar tanah negara kita adalah kelapa sawit. Tetapi untuk makanan ini dalam lingkungan 700,000 hektar sahaja.
"Jadi kita lihat banyak perbezaan daripada tanah untuk pengeluaran makanan dan tanaman industri. Jadi ini menunjukkan produktiviti pengeluaran makanan adalah terhad.
"Bagaimanapun, apabila bercakap tentang makanan, kita ada tiga, tanaman makanan, ternakan dan perikanan, tetapi secara amnya ia masih dipelopori oleh pekebun-pekebun kecil.
"Jadi apabila dipelopori oleh pekebun kecil, teknologi adalah rendah berbanding dengan minyak sawit,” jelas beliau.
Kata Md Nasir, kebergantungan negara kepada makanan import dalam jangka masa panjang tidak begitu baik.
Menurutnya, ia kerana sekiranya sebuah negara itu tidak cukup makanan dalam tiga hari sahaja, maka, negara itu akan kacau bilau.
"Untuk itu, ekosistem pertama adalah polisi yang memberikan insentif kepada pekebun kecil supaya mereka boleh menggunakan teknologi dan mempunyai ciri-ciri keusahawanan tani.
"Kalau cukup tiga-tiga perkara itu insya-ALLAH kita boleh meningkatkan pengeluaran kita,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca