PERDANA Menteri baru saja selesai mengadakan lawatan kerja selama empat hari di Amerika Syarikat yang dianggap beliau sebagai lawatan yang telah dapat mengukuhkan lagi hubungan Malaysia–Amerika Syarikat selain ASEAN–Amerika Syarikat.... Klik di sini untuk terus membaca

PERDANA Menteri baru saja selesai mengadakan lawatan kerja selama empat hari di Amerika Syarikat yang dianggap beliau sebagai lawatan yang telah dapat mengukuhkan lagi hubungan Malaysia–Amerika Syarikat selain ASEAN–Amerika Syarikat.

Sebagai rakan politik dan perdagangan penting, hubungan dua hala antara kuasa dunia tersebut dengan Malaysia secara khusus dan negara-negara ASEAN secara am adalah sesuatu yang tentunya bakal menjadi tumpuan kuasa global lain, yang hari ini dilihat mempunyai hubungan semakin renggang dengan Amerika Syarikat.

Dari aspek sejarah, hubungan antara sebahagian besar negara-negara ASEAN dan Amerika Syarikat adalah hubungan yang dilihat semakin akrab. Sejak tahun 2002, negara tersebut telah memberikan bantuan bernilai lebih AS$12.1 bilion dalam bentuk bantuan pembangunan, ekonomi, kesihatan serta berkaitan keselamatan.

Bagi tahun 2023, Rejim Rumah Putih telah memohon bajet berjumlah lebih AS$800 juta sebagai bantuan bilateral kepada negara-negara ASEAN yang dianggap negara sahabat serta lebih AS$25 juta bagi mengeratkan lagi hubungan serta mempertingkat kemampuan ASEAN menangani cabaran serantau.

Salah satu perkembangan baru antara negara-negara ahli ASEAN semenjak 2019 ialah penubuhan forum dikenali sebagai ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP).

AOIP dilihat sebagai forum yang meletakkan kerjasama pembangunan ekonomi dan kemakmuran serantau sebagai agenda utama berbanding mana-mana agenda politik atau perebutan wilayah.

Penubuhan AOIP disambut baik oleh Amerika Syarikat memandangkan hubungan perdagangan dua hala antara negara tersebut dan ASEAN mempunyai nilai tinggi. Amerika Syarikat merupakan sumber pelaburan langsung terbesar bagi negara ahli ASEAN dengan nilai dagang pada 2020 mencecah lebih AS$360 bilion.

Antara inisiatif utama diumumkan Amerika Syarikat pasca Sidang kemuncak Amerika Syarikat - ASEAN yang baru saja selesai ini adalah mengambil dan mempercepat langkah-langkah mengawal perubahan iklim global, melaksana pembangunan mampan, kemakmuran inklusif, menyokong akses pendidikan kepada semua, mempromosi sektor kesihatan global dan keselamatan sektor tersebut.

Kesemua perkara diumumkan ini dilihat sebagai mempunyai objektif yang selaras dengan apa yang mahu diketengahkan oleh AOIP, ini termasuklah dalam usaha menjadikan rantau ini sebagai kawasan atau zon maritim bebas dari konflik.

Secara amnya hasrat pihak Amerika Syarikat mahu membantu dasar AOIP mengekalkan rantau ini agar bebas dari konflik atau unjuran kuasa oleh mana-mana kuasa global adalah sesuatu yang amat positif, namun ia memerlukan satu penilaian kritikal.

Ini bertujuan untuk tidak dijadikan sebagai satu mekanisme yang kelak boleh menjerut negara-negara ASEAN untuk dilihat sebagai berpihak kepada kuasa-kuasa tertentu. Ini bertentangan dengan dokumen Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN) yang turut ditandatangani oleh Malaysia pada 1971 yang mengekalkan rantau ASEAN sebagai rantau berkecuali.

Hasrat kerjasama maritim yang diketengahkan Amerika Syarikat pasca sidang kemuncak ini termasuklah melancarkan inisiatif serantau baru degan nilai AS$60 juta yang bakal diketuai oleh pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat atau US Coast Guard (USCG).

Inisiatif ini termasuklah kehadiran anggota dan aset di perairan negara-negara ASEAN bagi membantu atas permintaan negara ahli untuk latihan dan pembinaan keupayaan pasukan atau agensi pengawal pantai masing-masing.

USCG bakal menggerakkan aset fizikal berupa kapal kelas Cutter bagi melaksana operasi keselamatan perairan bersama di samping sebagai platform latihan. Amerika Syarikat juga bakal ‘mendermakan' kapal-kapal USCG yang telah dinyahtauliah kepada pasukan pengawal pantai negara-negara ASEAN bagi membantu pasukan-pasukan tersebut melaksana operasi untuk menjadikan perairan Pasifik sebagai zon bebas.

Seharusnya niat Amerika Syarikat menyokong dasar AOIP adalah sesuatu yang perlu diterima dengan tangan terbuka. Namun negara-negara ASEAN perlu berwaspada agar ‘bantuan’ yang diberi tidak mempunyai niat tersembunyi yang mampu mendatangkan mudarat dari segi hubungan diplomatik dan strategik dengan kuasa-kuasa global lain.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca