PERNAHKAH anda terfikir bahawa hari yang paling bahagia bersama pasangan boleh bertukar menjadi tragedi yang mencemaskan?
Peristiwa ini terjadi di Alor Setar, Kedah pada bulan Mac lalu ketika dua pasangan sejoli sedang merakamkan foto perkahwinan mereka di tebing Sungai Anak Bukit lalu terdengar satu bunyi percikan air yang sangat kuat berserta jeritan seorang wanita panik.
Rupa-rupanya jeritan itu datangnya dari seorang wanita selepas anaknya kecilnya yang juga merupakan orang kelainan upaya (OKU) terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
Mohd Anuar Ahmad, 33, yang lengkap berpakaian pengantin, tanpa berfikir panjang, meninggalkan isteri dan jurugambar terus berlari ke arah wanita itu.
Dia terkejut apabila mendapati seorang kanak-kanak hampir lemas dibawa arus sungai yang dalam dan deras.
Ramai orang kampung datang apabila mendengar jeritan si ibu meminta tolong namun mereka semua tidak berani untuk turun dan berenang ke sungai itu kerana alirannya yang deras serta kemungkinan terdapat buaya di situ.
Tidak memikirkan risiko tersebut, Mohd Anuar yang sebelum itu segak berbaju pengantin berwarna merah jambu, segera menanggalkan sampin dan terus terjun ke sungai untuk menyelamatkan kanak-kanak lelaki yang berumur 10 tahun itu.
"Semasa saya terjun ke sungai, fikiran saya kosong dan tidak sempat untuk berasa cemas atau takut kerana tindakan drastik yang saya lakukan itu adalah spontan sebaik melihat ada orang yang perlu diselamatkan.
"Kami memang sangat kasihan terhadap anak itu yang tenggelam timbul dengan tangan yang terkapai-kapai serta keadaan air yang deras. Apa yang saya inginkan waktu itu hanyalah menyelamatkan nyawa kanak-kanak ini,” katanya kepada Sinar Premium dalam pertemuan di lokasi kejadian baru-baru ini.
Lebih mencemaskan, Mohd Anuar berkongsi semasa menyedari kejadian itu, kanak-kanak OKU tersebut sudah pun berada di tengah-tengah sungai
Namun dengan kudrat yang ada, Mohd Anuar berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu.
"Selepas berjaya menyelamatkan budak ini, saya melihat dia berada dalam keadaan yang baik. Oleh kerana dia seorang anak yang istimewa, dia bertindak seperti tidak ada apa-apa yang berlaku pada dirinya.
"Reaksi dan muka kanak-kanak ini sangat tenang seolah-olah dia sedang bermandi-manda di dalam kolam,” katanya yang masih mengingati setiap detik insiden itu.
Namun, keadaan tenang itu tidak lama apabila kanak-kanak berkenaan menyedari bahawa dia berada di dalam pelukan orang yang tidak dikenali dan meronta-ronta lalu menggigit tangan Mohd Anuar untuk melepaskan diri.
Seorang penduduk di kawasan itu yang juga cuba untuk membantunya turut digigit di tangan dan tengkuk sehingga berdarah.
Penduduk itu juga merupakan seorang budiman yang cuba membantu Mohd Anuar dengan menarik tangannya untuk naik ke tebing apabila melihat dia sedang bertungkus lumus menyelamatkan kanak-kanak malang itu.
Mesti ramai yang tertanya-tanya bagaimana pula dengan reaksi isteri apabila mendapat tahu tindakan drastik suaminya yang terjun ke sungai?
Ketika wartawan Sinar Premium bertanyakan hal itu kepada pengantin perempuan, Norhaslinda Mahmud, 38, dia hanya mampu tersenyum dan gelak.
Norhaslinda berkata, semasa melihat Mohd Anuar sudah terjun ke sungai, dia tidak merasa takut kerana yakin bahawa suaminya seorang yang pandai berenang dan tahu apa yang dilakukannya.
Walaupun yakin akan suaminya, Norhaslinda tidak menafikan bahawa dia turut berasa terkejut akan tindakan drastik suaminya yang berani mati itu.
Katanya, tidak sempat berdoa atau menghadamkan keadaan tersebut kerana ia berlaku terlalu pantas.
MEMAHAMI NALURI SEORANG IBU
Di manakah Norhaslinda ketika suaminya sedang berjuang menyelamatkan kanak-kanak OKU yang lemas itu? Dia sebenarnya sedang memainkan peranan untuk menenangkan ibu kepada kanak-kanak OKU yang lemas itu.
Kata Norhaslinda, kondisi wanita itu sangat sedih dan dia tidak henti menjerit dan menangis serta berada dalam kegelisahan.
Sebagai seorang ibu tunggal yang membesarkan anak selama 10 tahun, hatinya sangat luluh apabila mendengar suara dan jeritan ibu kepada anak itu. Lebih menyayat hati apabila ketiga-tiga adik beradik yang dibawa oleh wanita itu merupakan kanak-kanak Autisme.
"Tolong-tolong! Anak saya OKU dia tak reti apa-apa...” Begitulah jeritan sayup tangisan ibu kepada anak OKU yang terngiang-ngiang di fikiran Norhaslinda sehingga kini.
"Saya amat memahami perasaan seorang ibu apabila anaknya di dalam bahaya. Saya bayangkan nyawa kanak-kanak itu seperti anak sendiri. Bagaimana perasaan kita sekiranya anak yang kita lahirkan sedang tergapai-gapai kelemasan di dalam sungai?” katanya.
Selepas melihat Mohd Anuar dan mangsa selamat, wanita itu terus terduduk terus menangis memanjatkan kesyukuran.
Dia kemudiannya memeluk Norhaslinda dan mengucapkan terima kasih kepada kedua mempelai itu serta meminta maaf kerana mengganggu penggambaran pengantin yang sedang mereka lakukan.
Sejujurnya, Norhaslinda dan suami tidak menyalahkan sesiapa walaupun detik indah merakam memori perkahwinan berakhir begitu sahaja.
Pun begitu tegas mereka, apa yang berlaku itu juga merupakan kenangan yang tidak akan dilupakan sambil menjelaskan tanggungjawab membantu insan memerlukan perlu diberikan keutamaan.
Ketika ditanya kepada pasangan dua sejoli ini sama ada mereka ada berasa ralat kerana peristiwa ini telah menyebabkan baju pengantin yang dipakai kotor atau ia sedikit sebanyak mengganggu rancangan mereka kembali merakam gambar perkahwinan, mereka dengan tenang menjawab tidak berasa kesal walau sedikit pun.
"Wlaupun baju pengantin sudah berlumpur dan tidak dapat digunakan lagi, baju ini adalah benda yang boleh dibeli namun nyawa orang tiada gantinya,” kongsi Mohd Anuar.
Dalam pada itu, Norhaslinda berkata, apabila kejadian mengejutkan itu berlaku di depan mata, dia sudah tidak terfikir akan penggambaran kahwin kerana sudah bergambar sebelum kejadian.
Malah, dia berasa amat terharu dengan tindakan suami dan selepas pulang ke rumah, ucapan terima kasih kepada suami tidak lekang dari bibir.
WIRA DI MATA DUNIA
Kejadian yang berlaku itu tidak hanya disaksikan oleh pengunjung di taman berkenaan malah video durasi 29 saat yang merakamkan detik istimewa buat Mohd Anuar dan Norhaslinda itu turut tular di laman sosial Tik Tok dan Facebook.
Warganet memuji tindakan Mohd Anuar sehingga ada yang melabelkan dia sebagai wira.
Malah, Mohd Anuar turut menerima sijil penghargaan khas Hero Bomba yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon atas keberaniannya membantu pasukan bomba dalam menyelamatkan satu nyawa.
"Saya terkejut kerana tiba-tiba wakil daripada bomba Alor Setar memanggil kami untuk datang ke balai dan memberi penghargaan. Kami berasa amat terharu dan berterima kasih kepada pihak bomba kerana menghargai pertolongan ini.
"Sebenarnya, ini merupakan kali kedua saya berpengalaman menyelamatkan mangsa daripada lemas. Kali pertama saya menyelamatkan orang berlaku di Bukit Wang, Jitra yang mana ketika itu saya pergi bermandi-manda bersama rakan-rakan.
"Seorang budak lelaki dalam lingkungan tiga tahun terlepas dari tangan ibunya dan kebetulan saya berada di situ lalu terus menariknya. Saya tidak menyangka peristiwa lebih kurang sama berlaku kembali,” katanya.
Norhaslinda yang merupakan suri rumah sepenuh masa itu berkata, dia tidak menyangka hal seperti ini yang selalu dilihat melalui media sosial terjadi pada diri sendiri.
Dia akui, berasa sebak dan terharu membaca komen netizen yang memberi doa-doa yang baik kepada mereka.
Namun, Norhaslinda dan suami juga tidak mahu bergembira di atas kesusahan orang lain atau menganggap hari kejadian itu sebagai suatu pengalaman yang menyeronokkan kerana tidak mahu mengambil kesempatan atas nasib yang menimpa kanak-kanak OKU itu.
Cuma bagi Norhaslinda, dia adalah insan yang paling berbangga kerana berkahwin dengan orang yang gagah dan berani serta mementingkan nyawa orang sekeliling.
"Apabila kejadian ini terjadi semasa hari perkahwinan dan saya melihat sendiri suami sanggup terjun untuk tolong orang, semestinya perasaan saya bertambah sayang. Jika boleh, saya mahu menjaga suami lebih dari nyawa sendiri.
"Baju pengantin itu kini sangat simbolik bagi kami. Kami memang simpan baju itu untuk kenangan dan jika terpandang, kami pasti akan teringat peristiwa itu. Ini merupakan hadiah perkahwinan yang bermakna buat kami,” katanya.
KAMBING PUNCA CINTA BERPUTIK
Apabila bertanyakan tentang bibit-bibit cinta mereka, pasangan ini tersenyum malu mengatakan bahawa mereka adalah jodoh sebelah rumah yang berkenalan dalam masa yang singkat selama dua bulan.
Norhaslinda berkata, mereka saling mengenali tetapi tidak pernah bertegur sapa walaupun mengukirkan senyuman setiap kali bertemu.
Dia pada awalnya merancang untuk berkahwin dengan orang lain namun jodoh tidak kesampaian.
Dalam pada masa yang sama, ibu kepada suami pula sedang mencari calon isteri buat Mohd Anuar namun tiada yang berkenan di hati.
Mohd Anuar yang dikenali sebagai seorang yang sangat pemalu itu dalam diam sebenarnya menaruh hati terhadap jirannya iaitu Norhaslinda.
Walaupun diam tanpa kata-kata, gerak-geri tubuh badan menunjukkan sebaliknya.
"Tidak sampai dua bulan, saya terus bertunang dan berkahwin. Punca kami kahwin adalah disebabkan kambing kerana semasa saya tidak jadi kahwin dengan pasangan sebelum ini, dia menyimpan kambing yang telah saya tempah dan sekarang saya bukan sahaja mendapat kambing tetapi tauke kambing sekaligus.
"Sebagai ibu tunggal, saya terfikir adakah dia sudi menerima saya kerana dia adalah anak teruna dan saya tua lima tahun daripadanya namun saya mendapat reaksi yang positif dari keluarganya. Orang kata kerana jodoh, ALLAH permudahkan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca