SHAH ALAM - Malaysia akan mengalami krisis makanan yang teruk sekiranya pelbagai masalah seperti inflasi, kenaikan harga minyak, cuaca ekstrem, pandemik Covid-19 dan peperangan antara Rusia-Ukraine terus berlarutan.
Pakar Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia, Profesor Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad berkata, dalam keadaan sekarang, meskipun berhadapan dengan krisis makanan, namun ia tidak terlalu teruk.
"Situasi kita sekarang ini masih boleh bertahan. Cuma yang kurang adalah daging, susu dengan daging kambing. Tetapi buah-buahan masih dalam keadaan yang baik. Kalau situasi semasa sekarang ini terus berlaku, memang kita akan parah.
"Katakanlah China terus ‘lockdown’, masalah cuaca terus berlaku, memang kita akan tersepit sebab kita memang banyak import daging dari luar negara. Kalau negara pembekal alami masalah, kita juga terima kesannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas mengenai berapa lama negara mampu bertahan dengan bekalan makanan ketika ini, beliau berkata, perkara itu juga adalah bergantung kepada masalah yang berlaku terhadap negara import tersebut.
"Kita tidak boleh ramal berapa lama kita boleh bertahan. Kita kena melihat kepada faktor-faktornya. Kalau negara luar ada masalah, kita juga terpalit. Jadi, kita perlu bersedia sahaja.
"Apa yang kita boleh buat sekarang ini adalah menyelesaikan masalah yang berlaku dalam negara kita,” ujarnya.
Oleh itu, beliau berkata, kerajaan perlu menjadikan makanan sebagai keutamaan dengan mencari inisiatif dalam memastikan produktiviti di negara ini sentiasa mencukupi untuk seluruh rakyat.
"Kita telah silap dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Kita hanya menumpu kepada kelapa sawit. Namun begitu dalam sektor makanan kita agak terpinggir. Usaha untuk membangunkan sektor makanan tidak mencukupi.
"Kita tidak pernah buat agenda meningkatkan produktiviti rambutan, nangka, cempedak, tembikai dan sebagainya. Yang ada hanyalah durian. Itupun (dilakukan) swasta,” ujarnya.
Tambahnya, industri baja tempatan perlu dibangunkan dan dikembangkan memandangkan negara terlalu banyak mengimport barangan tersebut mencecah sehingga 90 peratus.
"Kita tiada usaha untuk bangunkan baja. Walhal bahan mentah baja banyak. Biojisim kita banyak. Getah, sampah buangan, sisa makanan juga banyak. Ini semua boleh salur kepada baja.
"Macam Taiwan, mereka menjadi negara sifar pembaziran. Jadi, pembaziran ini boleh salurkan kepada baja. Kita tidak ada usaha itu. Tidak ada inisiatif. Memanglah pertanian ini mengambil masa yang lama, tetapi masih belum terlambat lagi untuk kita lakukan,” katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi, Manokaran Mottain mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan konsep pertanian moden iaitu pertanian dalam bangunan terbiar sebagai langkah alternatif dalam mendepani krisis bekalan makanan sekali gus dapat meningkatkan ekonomi rakyat.
"Konsep pertanian moden itu memang mudah dan perlu dilakukan dengan cara yang betul. Ada bangunan-bangunan kerajaan yang telah ditinggalkan memandangkan mereka pindah ke Putrajaya.
"Jadi bangunan kerajaan (yang diabaikan) itu boleh ditukarkan menjadi tempat pertanian. Maknanya pertanian dalam bangunan.
Mengulas lanjut, Manokaran berkata, kerajaan juga boleh memberikan insentif atau menghidupkan semula ‘Buku Hijau’ bagi menggalakkan para graduan universiti untuk menceburi bidang pertanian moden.
"Dahulu semasa zaman Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein, rancangan ‘Buku Hijau’ itu memang berjaya tetapi lama kelamaan ia ditinggalkan," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca