PENCEROBOHAN Rusia ke atas Ukraine baru-baru ini mendorong Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran tentang krisis makanan global yang akan berlaku akibat gangguan dalam pengeluaran dan eksport.
Memandangkan perang yang berterusan di Ukraine, persoalannya ialah sejauh manakah Malaysia bersedia dari segi sekuriti makanan sekiranya krisis itu berterusan?
Bersetuju atau tidak hakikatnya kita sememangnya tidak bersedia untuk menghadapi krisis makanan pada skala global, tapi adakah kerana kita tidak mempunyai keupayaan?
Umum sudah maklum, Malaysia mengimport lebih RM50 bilion nilai makanan setiap tahun, di mana kita hanya mengeluarkan 46 peratus daripada jumlah permintaan sayuran, 70 peratus daripada jumlah permintaan beras, 61 peratus buah-buahan dan 25 peratus daging.
Menurut Penganalisis Ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, untuk memenuhi kehendak rakyat Malaysia, permit import (AP) makanan tidak lagi produktif malah mewujudkan kartel yang mengawal turun naik harga barang dan kini ia menjadi lebih kritikal apabila mata wang Dolar meningkat naik dan Ringgit Malaysia turun.
Oleh itu antara pelan jangka panjang dicadangkan ialah meningkatkan pengeluaran makanan domestik.
Antaranya melalui penggunaan tanah serta merubah dasar pertanian dari hanya memihak kepada eksport komoditi seperti kelapa sawit sahaja kepada pertanian tanaman makanan.
Kerajaan mesti menekankan kepada kepesatan dan pembangunan para petani kecil yang menyediakan beras, sayur-sayuran dan buah-buahan.
"Kita mesti membantu para petani yang berjaya untuk mengeksport hasil mereka, tetapi yang berlaku sebaliknya iaitu kita melihat semakin banyak kemusnahan tanah ladang untuk bahagian industri dan pengembangan bandar," katanya.
Dalam pada itu negara mempunyai cukup kawasan untuk sawit dan pertanian makanan, tetapi insentif dalam industri pertanian sangat lemah berikutan pelesenan, konsesi dan sekatan ke atas akses pasaran.
Sebenarnya rantaian nilai bekalan ini dikawal kukuh oleh orang tengah yang bermula dari mendapat kebenaran mengimport barang-barang makanan.
Negara memerlukan revitalisasi pasaran dan inovasi baharu saluran pasaran untuk membantu para petani tempatan. Ekonomi digital yang sampai tepat pada waktunya perlu digunakan impak semaksimumnya.
"Covid-19 dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu telah mendedahkan kelemahan kita dalam sekuriti makanan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca