PERUBAHAN iklim ini berlaku susulan fenomena pemanasan global yang diakibatkan oleh pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada aktiviti manusia yang kini berada pada tahap membimbangkan, dan jika tiada tindakan drastik diambil bagi... Klik di sini untuk terus membaca

PERUBAHAN iklim ini berlaku susulan fenomena pemanasan global yang diakibatkan oleh pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada aktiviti manusia yang kini berada pada tahap membimbangkan, dan jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengurangkan pelepasan GHG, dunia dijangka berdepan bencana alam lebih dahsyat.

Hakikatnya, perubahan iklim bukan sahaja memberi kesan fizikal kepada alam tetapi juga terhadap sektor pertanian khususnya tanaman makanan.

Perubahan iklim turut memberi impak kepada sistem semula jadi dan kehidupan manusia seperti pengeluaran makanan dan rantaian pasaran komoditi dengan implikasinya terhadap ketersediaan makanan dan keupayaan untuk diakses oleh masyarakat.

Natijahnya, kerencaman dalam perubahan iklim akan mengubah penggunaan makanan dengan memberi kesan kepada status pemakanan penduduk.

Ini bukan polemik baharu, sebaliknya sudah menjadi perhatian di peringkat global sejak hampir tiga dekad lepas.

Secara asasnya, terdapat dua faktor pencetus utama perubahan iklim yang memberikan impak kerugian dan kerosakan kepada produktiviti sektor pertanian, iaitu peningkatan suhu dan corak perubahan taburan hujan yang tidak menentu.

Fenomena itu meningkatkan risiko dan kejadian bencana seperti banjir, kemarau yang berpanjangan, anjakan musim hujan serta kenaikan aras air laut.

Berpandukan laporan Climate Change Scenarios For Malaysia 2001-2099 yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kekerapan musim kering dan panas telah meningkat sejak 2005 di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Justeru, tanaman padi yang merupakan tanaman makanan ruji masyarakat negara ini adalah antara yang paling berpotensi terkesan oleh perubahan iklim, sekali gus mengancam sekuriti bekalan beras negara.

Sejak tahun 2000, perubahan cuaca semakin ketara dan berlaku dengan lebih ekstrem, sekali gus menjejaskan hasil dan kualiti padi yang dikeluarkan.

Apabila cuaca panas, suhunya terlalu tinggi dan ini tidak sesuai untuk padi yang sentiasa memerlukan air, manakala kadar hujan yang lebat dan ekstrem pula menyebabkan banjir di sawah dan turut mengganggu tumbesaran padi sehingga ada tanaman padi mati.

Perubahan cuaca yang berlaku turut menyebabkan kemunculan penyakit atau perosak baharu yang mempunyai daya tahan sangat tinggi yang sebelum ini tidak pernah ditemukan.

Kesan perubahan iklim terhadap tanaman padi semakin ketara apabila dalam tempoh lima tahun dari 2017 hingga 2021, sebanyak 40,828.28 hektar tanaman padi di Semenanjung Malaysia musnah akibat banjir, manakala 9,336.45 hektar pula terjejas oleh kemarau.

Manakala laporan Malaysia's 3rd National Commmunication and 2nd Biennial Update Reports (TNC and BUR2), secara keseluruhannya kira-kira 18 peratus daripada 350,000 hektar kawasan tanaman padi terdedah kepada kekerapan berlakunya musim kering yang berpanjangan, melibatkan kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia.

Akibatnya, perbandingan dengan 113 negara dalam Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) 2020, telah menurunkan kedudukan Malaysia daripada tangga ke-28 pada 2019 kepada tangga ke-43 pada 2020.

Untuk rekod, anggaran nilai kerosakan bagi penanaman padi berdasarkan data permohonan Tabung Bencana bagi tempoh 2017 hingga 2021 menunjukkan nilai kerosakan akibat banjir ialah sebanyak RM128.8 juta dan akibat kemarau RM21.6 juta.

Menyedari impak perubahan iklim kepada sekuriti makanan negara, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) merangka inisiatif untuk mentransformasikan industri padi dan beras secara menyeluruh melalui Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025 bagi meningkatkan pengeluaran padi dan pendapatan pesawah.

Antaranya memperkenalkan spesies tanaman baharu yang lebih berdaya tahan dan tempoh penuaian yang singkat agar dapat meningkatkan pengeluaran hasil walaupun dalam keadaan cuaca semasa.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca