SHAH ALAM - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui golongan muda tidak akan sewenang-wenangnya memberikan sokongan kepada partinya hanya bersandarkan nama semata-mata.
Justeru katanya, masih banyak usaha yang perlu dilakukan bagi memastikan parti dipimpinnya itu terus mendapat kepercayaan anak-anak muda untuk menyertainya.
"Banyak lagi boleh kita buat untuk tambah baik khususnya dari segi kualiti khidmat dan kerja serta tawaran politik dasar yang ingin dibawa kerana anak muda ini tidak akan menyokong hanya kerana parti itu ada pemimpin muda.
"Anak muda mereka akan menilai secara menyeluruh apa dasar perjuangan dan idealisme.
Mereka tidak ingin lihat satu personaliti tetapi pasukan yang boleh dibawa.
"Saya selalu ingatkan sahabat-sahabat pimpinan parti jangan ingat hanya kerana kita ringkasan nama Muda, mereka akan terus menyokong... tidak.
Kita perlu bekerja keras untuk mendapat sokongan mereka,” katanya ketika menjadi tetamu Program Bersama Johan Jaaffar yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian di sini pada Rabu.
Ditanya mengenai keupayaan Muda apabila hanya berjaya memenangi satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, Syed Saddiq mengakui ia satu permulaan yang baik.
Katanya, kejayaan Setiausaha Agungnya, Amira Aisya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa sekali gus menewaskan calon-calon daripada parti-parti besar merupakan satu kebanggaan.
"Saya rasa ini satu permulaan yang baik kerana Muda pun pada peringkat tersebut bertapak kurang dua bulan dan berpendirian menggunakan logo sendiri.
Kita hanya bertanding di tujuh kerusi yang mana ia bukan kerusi mudah, enam daripada tujuh kerusi adalah kerusi felda.
"Kerusi di mana kubu kuat Perikatan Nasional (PN) dan UMNO tetapi dengan itu pun contoh di Puteri Wangsa, Amira Aisya berjaya menang lebih banyak Pusat Daerah Mengundi (PDM) dari Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca