SHAH ALAM - Majoriti anak muda di Malaysia ambil tahu dan kisah tentang politik negara, namun mereka lebih memilih untuk tidak bersikap taksub atau menyertai mana-mana parti, kata Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Menurutnya, budaya atau trend yang ditonjolkan itu secara dasarnya sesuatu yang sangat baik untuk negara.
"Majoriti anak muda kisah tentang politik tetapi mereka tidak menyertai mana-mana parti atau taksub menyokong mana-mana parti.
Trend ini bermaksud pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mereka boleh undi saya tetapi kalau saya gagal berkhidmat kepada mereka, tukar lah. Ia tidak lah kekal setia (kepada mana-mana parti) sampai bila-bila.
"Melihat dari segi cakna anak muda kepada politik ini, ia sangat baik. Mereka tahu pendidikan apa dimahukan, kos sara hidup dan yang lain,” katanya dalam Program Bersama Johan Jaaffar yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Muar itu berkata, semua parti politik di negara ini juga perlu terlebih dahulu berubah sekiranya ingin menjadikan politik sebagai ‘kenderaan’ kepada anak muda.
Jelasnya, parti-parti politik tidak boleh hanya mengekalkan struktur kepimpinan dan cara yang sama sekiranya ingin menarik kepercayaan serta sokongan anak muda terhadap mereka.
"Contoh baru-baru ini ada perbincangan mengenai isu kanabis atau ketum bagi perubatan, ya mudah untuk orang kritik tetapi apa jalan penyelesaian?
Apakah kita benarkan, apakah kita tidak akan benarkan? Apa jalan jalan penyelesaian, kerangka yang kita ingin ketengahkan.
"Jadi masih ada banyak penambahbaikan yang kita boleh buat. Saya kongsikan ini semua kerana saya perasan apabila isu ini yang dibincangkan, di situlah rakyat memberikan reaksi lebih positif jika dibandingkan oh saya hendak kamu jadi Perdana Menteri, oh saya hendak kamu jadi menteri.
"Sebab itu kita perlu ubah daripada politik kuasa kepada politik dasar dan pembaharuan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca