SHAH ALAM - Parti-parti pembangkang perlu mencontohi ‘pembaharuan politik’ yang ditonjolkan UMNO-Barisan Nasional (BN) dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini apabila banyak menonjolkan anak-anak muda sebagai calon parti itu.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perubahan positif yang ditunjukkan parti itu sewajarnya menjadi ikutan parti-parti sejajar lain dengan usaha untuk melahirkan lebih ramai golongan muda sebagai pemimpin negara.
Ini kerana katanya, jika sesebuah parti itu tidak berusaha untuk berubah dan memberi tawaran baharu kepada rakyat, maka suatu hari nanti rakyat yang akan mengubah mereka.
"Saya ingin berikan kredit kepada UMNO, mereka banyak calonkan anak muda dan apabila menang, mereka (anak muda) juga dilantik dalam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Melaka dan Johor.
"Saya berasakan ini satu trend yang baik dan kita berlumba secara sihat untuk politik pembaharuan, nilai yang ingin kita bawa. Namun pelik bin ajaibnya, dahulu kita (parti pembangkang) kata UMNO ini tidak berubahlah tetapi tiba-tiba kita yang seperti tertinggal di belakang.
"Sebab itu dalam bab ini saya berharap semua parti berlumba-lumba tonjolkan yang lebih baik, bukan ‘bunuh-membunuh’ sebaliknya menunjukkan politik yang paling positif kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Bersama Johan Jaaffar yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian di sini pada Rabu.
Tambahnya, masih banyak pembaharuan yang perlu dilakukan dalam sistem politik sekiranya Malaysia ingin mengikuti jejak beberapa negara seperti New Zealand, Finland, Korea Utara dan Ireland yang menonjolkan pemimpin berusia antara 30-an dan 40-an sebagai Perdana Menteri atau Presiden negara berkenaan.
"Harapan saya suatu hari nanti kita akan menuju ke sana kerana itu saya selalu ingatkan sahabat-sahabat khususnya di pihak parti politik pembangkang, jika kita tidak berubah, rakyat akan ubah kita atau parti lawan akan berubah lebih cepat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca