SHAH ALAM - Pas dijangka mencatatkan keputusan lebih baik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding PRU14, meskipun perlu memilih sama ada kekal dalam Perikatan Nasional (PN) atau kembali menyertai Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pas dijangka mencatatkan keputusan lebih baik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding PRU14, meskipun perlu memilih sama ada kekal dalam Perikatan Nasional (PN) atau kembali menyertai Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO.

Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, hal ini kerana Pas yang berjaya memenangi 18 kerusi Parlimen dan menjadi kerajaan di negeri Kelantan dan Terengganu pada PRU14 meskipun bertanding secara bersendirian, pastinya memperoleh kekuatan tambahan melalui gabungan salah satu koalisi berkenaan.

Ujarnya, perkara itu dapat dibuktikan menerusi peningkatan mendadak prestasi Pas sewaktu bersama PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, apabila banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi calon parti berlaku pertambahan undi sehingga tiga kali ganda berbanding PRU14 meskipun negeri Pantai Barat bukan kubu kuat parti itu.

"Secara zahirnya, kegagalan Pas memuktamadkan kerjasama di antara PN dan MN mungkin memberi mudarat kepada parti itu susulan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berjaya mencapai kejayaan besar pada dua PRN walaupun bersandarkan 43 peratus undi popular.

"Namun, dari segi strategi politik, sekiranya Pas kekal memilih PN pada PRU15, mereka bukan sahaja mampu mengekalkan penguasaan di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, malahan diyakini meraih beberapa kerusi penting di kawasan Pantai Barat.

"Dengan pencapaian PN terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di PRN Melaka dan Johor tidak boleh dipandang rendah, saya yakin prestasi Pas pada PRU15 pastinya lebih baik berbanding PRU14 tanpa mengira parti itu mahu kekal bersama PN atau MN," ujarnya kepada Sinar Premium pada Selasa.

MUNGKIN TINGGAL KENANGAN... Detik bersejarah termeterainya Muafakat Nasional di antara UMNO dan Pas pada tahun 2019.

Beliau berkata demikian bagi mengulas hala tuju masa hadapan MN di antara UMNO dan Pas yang dianggap semakin samar menjelang PRU15.

Hal ini susulan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menegaskan kerjasama UMNO dan Pas melalui MN bagi menghadapi PRU15 perlu dilupakan kerana Pas didakwa bersikap talam dua muka apabila bertindak mempertahankan Bersatu.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin Pas seperti Ketua Penerangan, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin dan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor masih menyokong supaya kerjasama dengan UMNO menerusi pakatan MN diteruskan.

DIJANGKA KEKAL BERSAMA BERSATU

Mengulas lanjut, Mazlan menjangkakan Pas akan kekal dengan keputusan kekal bekerjasama dengan Bersatu melalui PN berbanding membuat pusingan U untuk kembali bersama MN tanpa Bersatu pada PRU15 kelak.

Ujarnya, pandangan beliau itu bersandarkan sikap Pas yang dilihat lebih selesa bekerjasama dengan parti yang tidak begitu dominan dan mudah dibawa berunding seperti Bersatu.

Ditambah dengan keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) UMNO pada Ahad lalu mengesahkan pindaan perlembagaan parti dibuat untuk membolehkan proses pemilihan parti diadakan selepas PRU15, Mazlan melihat ia isyarat jelas masa hadapan UMNO kini ditentukan sepenuhnya Ahmad Zahid dan ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga dari kiri) ketika melancarkan Ikrar Perikatan Nasional Demi Bangsa Johor. - Foto Bernama

"Secara jelas, naratif politik yang dibawa Ahmad Zahid ketika ini adalah 'No Anwar, No Bersatu dan No Pas', tetapi saya tidak nafikan masih ada dalam kelompok pimpinan UMNO yang masih mahukan MN.

"Justeru, bersandarkan situasi politik terkini, MN dari segi teori adalah baik, tetapi dari segi praktik amat rumit untuk direalisasikan.

"Bagaimanapun, tidak mustahil UMNO memberikan kuasa autonomi kepada negeri-negeri tertentu seperti Selangor untuk meneruskan kerjasama MN di negeri masing-masing, dengan syarat ia mesti tidak memberi ruang kepada Bersatu untuk mengambil kesempatan," katanya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca