SHAH ALAM - Calon Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Batu, Tian Chua menggesa semua perwakilan parti yang bertanding supaya menggunakan saluran dalaman bagi mengemukakan sebarang aduan terhadap proses pemilihan PKR yang berlangsung sejak 13 hingga 22 Mei hadapan.
Jelas bekas Naib Presiden PKR itu, hal ini kerana beliau tidak bersetuju sekiranya mana-mana calon yang tidak berpuas hati dengan perjalanan proses pemilihan parti ketika ini, melakukan 'kekecohan' seolah-olah cuba mendapatkan perhatian pihak media.
Jelas beliau, tidak dinafikan sistem pemilihan secara hibrid yang menggabungkan kaedah pengundian fizikal dan pengundian elektronik menerusi aplikasi ADIL, mempunyai kelemahan dan sedang ditambah baik oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR.
Bagaimanapun, semua calon bertanding perlu bertanggungjawab untuk meredakan suhu pemilihan dengan tidak perlu 'berbuat bising' terhadap calon lain sehingga dilihat seolah-olah cuba menyerang hal peribadi rakan separti.
"Mungkin ada peratusan permasalahan kecil yang JPP terlepas pandang, tetapi ia akan menjadi rujukan parti. Saya merasakan sepatutnya semua pihak perlu menyelesaikan rasa tidak puas hati menerusi saluran dalaman.
"Saya tidak setuju sekiranya kekecohan dicetuskan semata-mata kerana seseorang calon tidak berpuas hati dengan perjalanan proses pemilihan PKR.
"Walaupun aduan dibuat mungkin ada justifikasi, tetapi semua pihak harus berusaha untuk meredakan suhu pemilihan yang mungkin panas.
"JPP ada pelbagai cara untuk selesaikan aduan calon. Justeru, tidak perlu untuk mana-mana pihak 'berbuat bising' terhadap calon lain, sebaliknya gunakan saluran dalaman untuk kemukakan bukti kelemahan sistem pemilihan PKR," ujarnya kepada Sinar Premium pada Selasa.
INSIDEN PROTES
Beliau berkata demikian bagi mengulas proses pemilihan PKR di beberapa kawasan termasuk cabang Port Dickson dan Bayan Baru yang dikatakan mencetuskan insiden kekecohan sehingga memaksa kehadiran pasukan keselamatan ke lokasi pengundian pada hujung minggu lalu.
Di Dewan Serbaguna Bandar Springhill, Port Dickson, proses pemilihan PKR cabang itu difahamkan berlaku insiden protes yang dilakukan kumpulan yang mendakwa bukan kumpulan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, sehingga memaksa pasukan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) hadir untuk mengawal keadaan.
Di Bayan Baru, Pulau Pinang, kekecohan dilaporkan berlaku berikutan provokasi antara kumpulan yang memancing pengundi bagi menyokong calon mereka.
Media tempatan melaporkan berlaku provokasi selain petugas didakwa tidak mengikut peraturan pengundian di Pusat Pengundian Cabang Bayan Baru yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Georgetown.
Bagaimanapun, calon Ketua PKR Cabang Bayan Baru, Sim Tze Tzin sewaktu dihubungi Sinar Premium menegaskan insiden 'kekecohan' sewaktu proses pemilihan parti cabang itu pada Isnin tidak 'serius' sebagaimana didakwa media.
Sebaliknya, bekas Pengarah Strategi PKR itu menjelaskan berlaku satu insiden pertikaman lidah melibatkan dua kumpulan penyokong parti di cabang Bayan Baru hanyalah disebabkan mereka sedikit beremosi sewaktu proses pemilihan sedang berlangsung.
"Bagaimanapun, keadaan kembali terkawal selepas saya dan seorang lagi calon ketua cabang, Datuk Abdul Halim Hussain masuk campur dan meredakan keadaan.
"Hakikatnya, hubungan saya bersama Datuk Halim adalah sangat baik dan kami menghormati satu sama lain meskipun bertanding merebut jawatan parti yang sama.
"Buktinya, kami sudah pun bersalaman selepas insiden berkenaan dan kami berharap setiap penyokong parti tidak melakukan tindakan emosi yang akhirnya boleh memecahbelahkan parti di sepanjang proses pemilihan kali ini," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca