BERITA mengenai usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempelawa pelabur-pelabur Amerika Syarikat (AS) termasuk pengeluar kereta elektrik terkemuka, Tesla untuk melabur di Malaysia yang tersiar baru-baru ini ternyata mengujakan banyak pihak.
Berada dalam senarai ialah seorang kenalan saya, yang dikenali dalam kalangan rakan kami sebagai peminat tegar kereta elektrik sehingga pada hujung namanya diletakkan huruf KK yang bermaksud ‘kereta karan’.
"Kalau Tesla buka kilang di sini, sudah tentu harga kereta elektrik akan menjadi lebih murah, merasalah juga orang macam saya memilikinya.
"Waktu itu kalau isteri saya ajak balik kampung dia tiap-tiap hari pun dah tak jadi masalah,” katanya yang turut dikenali sebagai antara orang yang paling kerap berulang alik ke kampung isterinya yang terletak nun di utara Perlis. Nasib dialah, siapa suruh kahwin dengan anak manja kesayangan emak abah.
Sebenarnya, selain kenalan saya itu, hampir semua peminat kereta elektrik tertarik pada kenderaan jenis itu bukanlah sangat disebabkan oleh sifatnya yang mesra alam sekitar.
Tahap kesedaran kita tentang pemanduan senyap tanpa asap belum cukup tinggi. Sebab itu mereka tidak kisah memandu dalam keadaan asap rokok berebut-rebut keluar daripada hidung dan mulut. Yang lebih dipedulikan adalah soal setakat mana sesebuah kenderaan itu, kereta terutamanya ‘makan duit’.
Adalah satu fakta yang diketahui umum bahawa kenderaan elektrik (EV) lebih menjimatkan berbanding kenderaan yang menggunakan pembakaran dalaman (ICE). Banyak kajian yang pernah dibuat menunjukkan penjimatan itu mencecah sehingga lebih 50 peratus.
Nissan Malaysia misalnya, pernah mengeluarkan laporan bahawa untuk model Nissan Leaf yang menggunakan bateri berkapasiti 40 kWh bagi jarak purata 295 km sekali cas, kos untuk setiap kilometer hanyalah 7 sen.
Jauh bezanya kalau dibanding dengan kos menggunakan petrol RON95. Apatah lagi jika guna RON97. Bukan setakat poket kita yang koyak, dompet isteri pun boleh ikut koyak.
Kereta elektrik juga khabarnya sangat menjimatkan dari segi penyenggaraan. Banyak komponen yang ada dalam kereta ICE tidak diperlukan dalam kereta elektrik.
Contohnya, palam pencucuh, pam, minyak enjin, injap dan penapis minyak. Malah, penjagaan brek kereta elektrik pun dikatakan tidak seteruk menjaga brek kereta biasa kerana kenderaan EV menggunakan brek regeneratif yang menghantar balik tenaga ke bateri dan mengurangkan geseran.
Semua itu memang mengujakan. Yalah, bagi insan di bawah kayangan macam kita, dapat menjimatkan sekupang dua sudah cukup besar ertinya.
Walaupun sekarang ini sekupang dua belum tentu cukup untuk membolehkan kita menggunakan tandas awam, namun kalau dikumpul-kumpul dapatlah juga untuk membeli teh ais ikat tepi yang harganya sudah hampir sama dengan harga sekilo gula!
Tetapi di sebalik kelebihannya sebagai kenderaan yang menjimatkan, kos untuk memiliki kereta elektrik sekarang ini sangat tinggi. Walaupun dalam Bajet 2022, kerajaan mencadangkan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais, cukai jualan dan juga cukai jalan bagi kenderaan EV, namun realitinya harga kenderaan itu masih tidak murah.
Pertanyaan kepada ‘Pak Cik Google’ menghasilkan jawapan bahawa semua kereta elektrik yang berjenama biasa-biasa, masih dijual dengan harga purata terendah sekitar RM150,000. Walaupun mungkin tidak terlalu kayangan, namun harga itu tetap mencecah awan Cirrus, yakni awan yang tertinggi di antara semua jenis awan.
Sebab itulah, apabila kenalan saya yang ada ‘KK’ pada hujung namanya begitu mengharap Tesla membuka kilang gergasinya di sini, ia bukanlah kerana ketaksubannya kepada jenama syarikat milik Elon Musk itu.
Sebaliknya, ia adalah manifestasi kepada kehendak orang biasa-biasa untuk menikmati keajaiban teknologi luar biasa dengan harga biasa-biasa juga. Sesuatu yang tidak mudah tetapi bukan pula mustahil.
PERSAINGAN
Bagaimanapun, harga itu tentulah tidak akan kekal begitu. Apabila pengeluarannya bertambah banyak dan persaingan bertambah sengit, harganya pasti menurun.
Saya masih ingat suatu ketika dahulu, harga televisyen warna hampir sama dengan harga dua tiga petak sawah. Tetapi sekarang ini harganya lebih murah daripada sepasang baju raya sesetengah ‘akak-akak’ kita.
Penganalisis pasaran automatif menjangkakan menjelang 2035, lebih 45 peratus daripada kereta yang berada di atas jalan raya adalah kereta elektrik.
Banyak pengeluar menyasarkan bahawa bermula dari 2035, mereka hanya mengeluarkan kereta elektrik sahaja. Jika itu berlaku, bermakna dalam tempoh 15 tahun selepas itu, kadar kereta elektrik yang berada di jalan raya adalah 95 peratus. Waktu itu pam-pam minyak sudah tentulah menjadi benda pelik.
Nasibnya mungkin sama macam pondok telefon awam sekarang ini. Masih ada tetapi hanya terjumpa sekali-sekala. Yang ada di mana-mana dan di merata-rata sudah tentulah ‘port’ untuk mengecas bateri kereta.
Bagaimana dengan nasib mekanik-mekanik kereta? Akan senasibkah mereka dengan pomen mesin taip yang hilang ghaib selepas kemunculan komputer?
Kemungkinan itu ada. Walaupun perkhidmatan membaiki atau membaik pulih masih diperlukan oleh kereta elektrik, namun wujud keberangkalian kaedah membaikinya lebih mudah berbanding kereta ICE. Kita tidak tahu secanggih mana teknologi kereta elektrik pada masa itu.
Mungkin ia menggunakan cip-cip yang boleh ‘dirawat’ atau diganti dengan mudah oleh sesiapa sahaja. Untuk melakukan kerja-kerja yang lebih berat seperti menukar tayar, pemilik kenderaan mungkin boleh menggunakan khidmat robot yang disediakan di stesen-stesen robot berbayar. Itu pun jika kereta masih menggunakan tayar.
Dan kita juga tidak tahu apakah ketika itu kereta elektrik masih relevan. Perkembangan pesat teknologi akan menyebabkan tidak mustahil secara tiba-tiba para saintis dan perekacipta menemui sumber tenaga lain yang lebih baik daripada tenaga elektrik untuk menggerakkan kenderaan.
Manalah tahu entah-entah tanah liat di sekeliling rumah kita itu boleh diproses dan ditukar menjadi sumber tenaga yang lebih murah dan berkuasa.
Itu baru soal kereta elektrik dan kenderaan darat. Belum lagi masuk hal kereta terbang atau kereta yang boleh bergerak di atas dan di dalam air. Semuanya serba mungkin kerana sayugia diingat bahawa apa yang kita temui dan nikmati setakat ini hanyalah cebisan kecil daripada pelbagai rahsia dan khazanah alam.
Masih terlalu banyak yang ALLAH bekalkan. Masih terlalu banyak yang perlu kita cari dan gali tetapi untuk mencari dan menggali, kita perlu bangkit daripada bermimpi.
Kalau asyik bersembang pandai di bistro, kedai kopi dan di depan papan kekunci, sampai bila-bila pun kita tidak akan sampai ke mana-mana. Orang lain mengusap perut kerana mendapat isi, kita menepuk kepala sebab mendapat kuah. #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 akan menulis mengenai pengurusan perubahan.
Klik di sini untuk terus membaca