AWANG rasa sebahagian besar pengguna jalan raya menghormati ambulans. Tak perlulah diperingatkan tentang Akta Pengangkutan Jalan Raya 1978 yang membawa hukuman denda, gantung lesen atau penjara bagi pemandu yang tidak beri laluan pada ambulans.
Tapi yang Awang risau adalah macam-macam ‘VIP᾿ salah guna jalan raya untuk keselesaan mereka. Awang percaya kes anak seorang ahli politik menggunakan dua polis trafik untuk kemudahannya bukan kes berasingan. Mungkin banyak kes yang seperti itu berlaku.
Orang seperti inilah yang sepatutnya didenda, ditarik lesen atau dipenjara. Orang seperti ini membebankan lagi kerja polis trafik kita selain tidak berlaku adil kepada pengguna jalan raya.
Awang percaya kalau ‘anak VIP’ boleh buat begitu bagaimana dengan ‘VIP’ sendiri? Apakah mereka layak diiringi oleh polis trafik semata-mata kerana mereka ahli politik?
Pada pendapat Awang, pengguna jalan raya naik meluat banyak sangat ‘gangguan’ di jalan raya oleh pelbagai kenderaan ‘VIP’ jenis ini. Sudahlah pengguna jalan raya tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, diminta ke tepi apabila kenderaan ‘VIP’ lalu.
Awang harap pihak polis trafik dan bahagian protokol di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sediakan senarai siapa yang wajar atau tidak guna khidmat polis trafik.
Dalam kes yang berlaku apabila ‘anak VIP’ terbabit, Awang tak mahu semakin hilang hormat pengguna pada bunyi siren yang jalan raya termasuk kenderaan seperti ambulans.
Klik di sini untuk terus membaca