AWAL bulan ini, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov mendakwa bekas pemimpin Jerman, Adolf Hitler semasa Perang Dunia Kedua mempunyai darah keturunan Yahudi sehingga mencetuskan kemarahan Israel. Kenyataan Lavrov itu telah mencetuskan... Klik di sini untuk terus membaca

AWAL bulan ini, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov mendakwa bekas pemimpin Jerman, Adolf Hitler semasa Perang Dunia Kedua mempunyai darah keturunan Yahudi sehingga mencetuskan kemarahan Israel.

Kenyataan Lavrov itu telah mencetuskan perbalahan diplomatik dengan rejim Zionis sekali gus menghidupkan semula khabar angin mengenai identiti datuk sebelah bapa Hitler pada tahun 1920-an.

Sebenarnya, Lavrov membuat kenyataan itu berdasarkan kepada teori lama tetapi telah berlegar-legar bahawa pemimpin Jerman tersebut mempunyai darah keturunan Yahudi.

Hitler merupakan diktator Jerman yang memerintah negara tersebut dari tahun 1933 hingga 1945 tetapi dilahirkan di Austria dan terkenal kerana kekejamannya sehingga berlakunya kejadian Holocaust atau pembunuhan beramai-ramai lebih lima juta orang Yahudi.

Menurut seorang ahli sejarah Austria, Roman Sandgruber kepada AFP, bapa Hitler iaitu Alois adalah anak luar nikah dan siapa sebenar bapa Alois itu tidak diketahui.

Sandgruber yang pada tahun lepas menerbitkan biografi pertama Alois Hitler menjelaskan bahawa khabar angin itu mula tersebar pada tahun 1920-an ketika kerjaya politik bekas pemimpin Jerman itu semakin memuncak.

Bapa Hitler itu pernah berkhidmat dalam perkhidmatan kastam dan meninggal dunia pada tahun 1903 tetapi meninggalkan pencen dan simpanan wang untuk menyara isteri dan anak-anaknya.

Alois pada mulanya menggunakan nama keluarga ibunya, Schiklgruber tetapi pada tahun 1876 beliau menukarkan nama tersebut kepada Hitler.

Teori bekas pemimpin tersebut berketurunan Yahudi telah digunakan oleh saingan politik Hitler di Jerman selepas Nazi menguasai Jerman pada tahun 1933.

Selepas Perang Dunia Kedua, seorang penjenayah perang Nazi, Hans Frank menghidupkan semula cerita keturunan tersebut.

Perang Dunia Kedua menyaksikan lebih lima juta orang Yahudi terbunuh. - Foto AFP

SIASATAN RAHSIA

Dalam satu memoir yang diterbitkan selepas hukuman mati ke atasnya pada tahun 1946, Frank pernah menyatakan bahawa beliau telah menyelidik secara rahsia keturunan Hitler.

Frank merupakan ahli politik, peguam dan ketua jeneral yang menakluk Poland semasa Perang Dunia Kedua pernah diberitahu Hitler bahawa bekas pemimpin Jerman tersebut telah diugut oleh seorang anak saudaranya berhubung dengan keturunan Yahudinya.

Nenek sebelah bapa Hitler iaitu Maria Anna Schicklgruber melahirkan Alois pada tahun 1837.

Frank mendakwa bahawa beliau mengetahui bahawa pada masa itu, Maria bekerja sebagai tukang masak untuk sebuah keluarga Yahudi yang menggunakan nama Frankenberger di bandar Graz, Austria.

Majikannya telah membayar nafkahnya sehingga Alois mencapai umur 14 tahun, tulis Frank dalam memoirnya itu dengan mendakwa bahawa pertukaran surat antara nenek Hitler dengan keluarga tersebut sebagai buktinya.

Frank turut mendedahkan bahawa Hitler telah memberitahunya bahawa neneknya telah membiarkan lelaki Yahudi itu menyangka beliau adalah bapa Alois kerana untuk mendapatkan wang itu daripadanya.

TIADA BUKTI KUKUH

Bagaimanapun, ahli sejarah tetap berasa ragu-ragu dengan pendedahan Frank.

Tiada bukti kukuh untuk menyokong dakwaan tersebut, kata Sandgruber.

Satu lagi masalah adalah pada masa yang dimaksudkan itu, orang Yahudi tidak mempunyai hak untuk tinggal di Graz.

Justeru, siapakah datuk Hitler?

"Ini adalah soalan tanpa jawapan," kata seorang ahli sejarah, Ofer Aderet menulis dalam akhbar Haaretz baru-baru ini.

Menteri Luar Israel ,Yair Lapid juga telah membidas kenyataan Lavrov sebagai satu kenyataan yang tidak boleh dimaafkan dan keterlaluan serta merupakan kesilapan sejarah yang dahsyat.

Bagaimanapun, Presiden Rusia, Vladimir Putin menamatkan perbalahan tentang isu keturunan Hitler berdarah Yahudi apabila beliau meminta maaf kepada Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett berikutan kenyataan Lavrov. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca