SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia diminta menempatkan atau menghantar anggota dan pegawainya secara lebih kerap ke sekolah menerusi program Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) bagi mencegah kegiatan buli dalam kalangan pelajar. Presiden... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia diminta menempatkan atau menghantar anggota dan pegawainya secara lebih kerap ke sekolah menerusi program Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) bagi mencegah kegiatan buli dalam kalangan pelajar.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, ia antara pendekatan terbaik sebagai sistem amaran awal untuk menangani kes buli di sekolah.

Menurutnya, polis juga disaran menjalankan pemantauan dengan lebih kerap iaitu dua minggu sekali atau sebulan sekali di sekolah ‘panas’ atau sekolah yang dikenal pasti mempunyai masalah disiplin termasuk sekolah berasrama penuh.

"Mungkin pihak polis tidak berupaya menempatkan anggotanya di semua sekolah secara tetap.

"Tetapi mereka boleh beri keutamaan kepada sekolah ‘panas’ dan datang lebih kerap buat pemantauan. Kehadiran polis di sekolah perlu sekurang-kurangnya sebulan sekali sama ada dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau semasa perhimpunan sekolah.

"Datang secara berkala dari masa ke masa, diikuti dengan ceramah dan motivasi, maknanya manfaatkan sepenuhnya program PPS ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, khidmat anggota dan pegawai polis yang dilantik sebagai PPS dalam menangani kes buli di institusi pendidikan sebelum ini masih kurang berkesan.Mohamad Ali turut menyarankan agar elaun khas diberikan kepada pegawai bertugas bagi memberi motivasi untuk mereka melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik pula berkata, setiap sekolah mempunyai sekurang-kurangnya seorang anggota polis ditugaskan memantau keadaan termasuk kes buli.

Namun ujarnya, terdapat sekolah yang tidak menyampaikan maklumat penting kepada pihak polis berhubung kes buli dalam kalangan pelajar.

"Jika ada berlaku salah laku buli, dadah atau apa sahaja yang tidak boleh ditangani pihak sekolah, mereka perlu segera laporkan kepada polis.

"Jangan malu atau tertekan apabila sekolah kita ada isu buli sebab kita nak tangani isu ini supaya tidak berleluasa,” jelas beliau.

UNDANG-UNDANG ANTIBULI

Sementara itu, pakar undang-undang melihat cadangan untuk memperkenalkan undang-undang antibuli adalah tindakan tepat dalam membendung masalah buli di sekolah.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood bagaimanapun berkata, akta itu juga harus memberi penekanan kepada kegiatan buli yang tidak membabitkan kecederaan fizikal.

"Di bawah Kanun Keseksaan, jika ada kesalahan buli yang melibatkan serangan fizikal dan menyebabkan kecederaan, ia lebih mudah dibawa ke mahkamah.

"Namun, kebanyakan kes buli tidak melibatkan kecederaan dan mangsa hanya dibuli secara mental dan emosi. Jadi, amat sukar untuk pembuli dikenakan hukuman,” katanya kepada Sinar Harian.Menurut Nik Ahmad Kamal, negara tiada undang-undang khusus untuk menghukum pesalah yang membuli mangsa secara mental dan emosi.

Beliau berkata, buli secara mental dan emosi itu juga mendatangkan kesan yang cukup besar kerana ia akan mengganggu kehidupan dan pelajaran mangsa.

Klik di sini untuk terus membaca