MEKANISME pengagihan subsidi kepada rakyat terus diperdebatkan kerana wujud pandangan ia perlu diperkemaskan agar tidak berlaku ketirisan yang bakal menyebabkan kerugian kepada perbelanjaan negara.
Tidak kurang juga ada pihak yang mencadangkan agar subsidi seperti petrol dan elektrik diberikan mengikut keperluan rakyat atau lebih tepat mengikut kumpulan pendapatan.
Umum mengetahui harga minyak mentah dunia telah meningkat kepada AS$100 setong bagi Brent Crude pada masa sekarang dan secara tidak langsung turut memberikan kesan kepada perbelanjaan subsidi.
Justeru Sinar Harian telah menemu bual Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi mendapatkan penjelasan berhubung pemberian subsidi dan isu-isu berkaitan ekonomi negara.
SINAR HARIAN: Kerajaan akan mengkaji semula mekanisme subsidi petrol supaya ia lebih bersasar serta menumpukan subsidi kepada golongan rentan dan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan. Apakah perkembangan terkini?
TENGKU ZAFRUL: Bagi melindungi pengguna daripada cabaran kos sara hidup, kerajaan telah menetapkan harga siling RON95 pada RM2.05 seliter sejak Februari 2021 semasa harga minyak Brent Crude adalah sekitar AS$60 setong. Harga RM2.05 seliter ini kekal hingga sekarang, walaupun Brent Crude telah mencecah AS$100 setong.
Pada Februari 2021, subsidi produk petroleum yang ditanggung oleh kerajaan hanya RM200 juta. Namun, menjelang Januari 2022, ia adalah RM2 bilion dan telah pun melebihi RM4 bilion pada Mac 2022. Subsidi menyeluruh ini dimanfaatkan oleh semua golongan masyarakat kaya atau miskin. Jika tidak kerana subsidi, jumlah ini boleh digunapakai untuk pelbagai inisiatif pembangunan yang lain terutamanya bagi golongan rentan dan B40.
Harga petrol di Malaysia juga adalah antara yang terendah di dunia, malah lebih rendah daripada negara-negara pengeluar minyak yang lebih besar seperti Indonesia dan Arab Saudi. Ini juga menyebabkan ketirisan melalui penyeludupan RON95 ke luar negara.
- Menurut Datuk Seri, golongan yang berpendapatan tinggi akan menikmati lebih subsidi berdasarkan tahap penggunaan yang lebih besar berbanding dengan mereka yang berpendapatan rendah. Apakah cadangan untuk menyelesaikan isu ini?
Golongan berpendapatan tinggi menikmati lebih subsidi berdasarkan penggunaan yang lebih besar dan ini jelas daripada data Tenaga Nasional Berhad (TNB). Contohnya, untuk separuh tahun pertama 2022, kerajaan telah mengekalkan tarif elektrik untuk kesemua rumah kediaman besar atau kecil dengan kos subsidi melebihi RM700 juta.
Contohnya, lebih kurang 10 peratus pengguna elektrik kediaman merupakan golongan berpendapatan tinggi yang menggunakan lebih 600kwj sebulan atau bil elektrik melebihi RM220 sebulan. Jumlah manfaat yang dinikmati oleh 10 peratus peratus pengguna ini mewakili hampir 40 peratus daripada jumlah keseluruhan subsidi.
Manakala golongan yang menggunakan kurang daripada 300kwj atau bil elektrik sehingga RM70 sebulan merupakan 60 peratus daripada bilangan pengguna yang secara keseluruhan menikmati hanya 25 peratus daripada nilai subsidi
Buat masa ini, 4.6 juta pengguna kurang daripada 300kwj hanya menerima subsidi secara puratanya RM40 untuk tempoh 6 bulan, manakala bagi 0.9 juta pengguna melebihi 600kwj, purata subsidi yang diterima adalah 7.5 kali lebih tinggi atau sekitar RM300.
Adakah ini adil? Sehubungan itu, kerajaan juga sedang mengkaji untuk melaksanakan subsidi elektrik dan bahan api secara lebih bersasar kepada golongan yang berpendapatan lebih rendah berdasarkan penggunaan elektrik isi rumah yang lebih rendah. Tiada kaedah yang sempurna bagi subsidi bersasar tetapi kita harus mencuba sedaya upaya untuk mengurangkan ketirisan ini dan memastikan sumber negara yang terhad ditumpukan untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukannya.
- Dalam fasa peralihan endemik, apakah rancangan Kementerian Kewangan baharu bagi merangsang ekonomi?
Tumpuan utama kerajaan dalam fasa peralihan endemik adalah untuk memastikan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial sepenuhnya, sementara terus mengukuhkan tahap vaksinasi penduduk supaya Malaysia tetap terlindung daripada ancaman Covid-19.
Pada masa yang sama keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama juga menunjukkan trend pertumbuhan meningkat, iaitu 4.3 peratus pada Januari, 5.2 peratus Februari dan 5.4 peratus Mac 2022. Insya-ALLAH, trend ini dijangka berterusan dan pertumbuhan KDNK suku kedua 2022 dijangka melebihi pencapaian lima peratus suku pertama 2022.
Pelbagai langkah Bajet 2022 sedang giat dilaksanakan bagi merangsang pemulihan ekonomi bukan sahaja dari segi pencapaian KDNK, tetapi juga untuk mendorong pemulihan pendapatan bagi rakyat dan perniagaan.
Ada banyak aduan orang ramai berkenaan harga barang yang semakin meningkat dan kos sara hidup meningkat, bagaimanakah kerajaan membantu mereka khasnya M40 yang bertukar jadi B40?Apa yang tidak dijangka semasa penyediaan Bajet 2022 adalah kenaikan harga komoditi dan makanan yang mendadak ekoran konflik Ukraine-Rusia dan gangguan kepada rantaian bekalan global.
Sehubungan itu, kerajaan telah mengekalkan harga RON95 pada paras RM2.05 seliter walaupun kos sebenarnya melebihi RM4 seliter di mana bil subsidi petrol dijangka melebihi RM30 bilion menjelang hujung tahun.
Kerajaan juga menanggung RM700 juta subsidi baharu ayam dan telur juga bagi tempoh Februari hingga Mei 2022.
Buat masa ini, harga ayam di Malaysia kekal pada paras RM8.90 satu kilogram berbanding negara-negara jiran
Fenomena global harga komoditi tinggi dijangka berterusan dan kerajaan akan terus berusaha untuk mengawal kenaikan harga demi membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup dan menyokong momentum pemulihan ekonomi.
Dengan dasar tersebut, kadar inflasi di Malaysia diunjurkan di antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus berbanding unjuran kadar inflasi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) iaitu 5.7 peratus bagi negara maju dan 8.7 peratus bagi negara membangun untuk 2022. Kadar inflasi Malaysia hanyalah 2.2 peratus bagi bulan Mac 2022, berbanding negara-negara lain.
Sebagai langkah jangka pendek untuk menangani peningkatan inflasi dan mengurangkan kos sara hidup rakyat, kerajaan telah dan akan terus melaksanakan langkah seperti mengawal harga barangan dan perkhidmatan keperluan khususnya melalui penyaluran pelbagai subsidi.
Kadar bantuan tunai BKM di bawah Bajet 2022 untuk golongan B40 juga ditambah baik berbanding tahun sebelumnya dengan isi rumah bakal menerima BKM sehingga RM2,000. Bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) juga telah ditambah baik.
Kalau dulu, isi rumah yang berpendapatan di bawah RM980 sahaja yang layak terima bantuan JKM, kini kita sudah permudahkan agar mereka yang berpendapatan di bawah RM1,169 sebulan pun layak terima bantuan. Bantuan JKM ini melibatkan peruntukan RM2.4 bilion untuk memanfaatkan 440,000 penerima.
Oleh kerana lebih ramai B40 bekerja secara informal atau sebagai pekerja gig dengan tiada gaji tetap, mereka mungkin menghadapi cabaran untuk mendapat pinjaman perumahan.
Sehubungan itu, kerajaan juga menyediakan jaminan bernilai RM2 bilion untuk Skim Pinjaman Kredit Perumahan (SJKP) melalui bank-bank komersil untuk membolehkan pinjaman perumahan kepada golongan ini termasuk pekerja gig, usahawan mikro dan petani.
Di samping itu, Bajet 2022 juga telah menyediakan kemudahan kredit mikro bernilai RM1.8 bilion daripada agensi kerajaan seperti TEKUN, Agrobank, BSN dan Bank Rakyat. Pelbagai skim diperkenalkan termasuk pinjaman sehingga RM10,000 dengan moratorium kadar faedah dan bayaran balik selama setahun.
- Dasar gaji minimum RM1,500 amat membimbangkan SME adakah Datuk Seri berjumpa dengan perniagaan terutamanya perniagaan mikro untuk mendengar cadangan mereka?
Sepertimana yang telah diumumkan, pelaksanaan gaji minimum untuk usahawan mikro telah ditangguhkan sehingga tahun 2023.
Secara amnya, pelaksanaan gaji minima RM1,500 adalah positif untuk pekerja terutamanya dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang kian meningkat ekoran fenomena inflasi di peringkat global.
Pada masa yang sama, kenaikan gaji minimum adalah selaras dengan keperluan untuk model ekonomi Malaysia beralih daripada kos dan nilai tambah rendah kepada model yang berasaskan pengetahuan dan nilai tambah tinggi. Ini juga bertujuan untuk menggalakkan peningkatan produktiviti setimpal dengan kenaikan pendapatan pekerjanya.
Kementerian Kewangan sentiasa terbuka untuk mendengar cadangan PKS bagi menyokong peralihan ini yang akan dipertimbangkan untuk Bajet 2023. Ini merangkumi usaha peningkatan daya saing serta produktiviti melalui bantuan seperti geran dan pinjaman mudah berkaitan automasi dan digitalisasi serta membuka pasaran eksport termasuk melalui landasan dalam talian.
- Dasar Semalaman (OPR) telah dinaikkan ke 2.0 peratus baru-baru ini. Banyak M40 terkesan kerana beban pinjaman rumah mungkin juga meningkat, adakah perlunya keputusan ini dibuat pada masa ini?
Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (MPC BNM) mengambil kira pelbagai faktor untuk memastikan dasar monetari mampu menyokong kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Pengurangan Kadar Dasar Semalaman, atau OPR sebelum ini kepada 1.75 peratus, iaitu kadar terendah dalam sejarah adalah untuk menyokong ekonomi ekoran wabak Covid-19 yang melanda.
Walaupun kadar OPR dinaikkan kepada dua peratus, ia masih rendah jika dibandingkan dengan tempoh pra-pandemik pada tahun 2019 iaitu tiga peratus.
Oleh itu, kadar pada tahap dua peratus bermakna dasar monetari sedia ada kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi kekal mampan.
Meskipun kenaikan OPR bakal memberi kesan kepada peminjam dari segi peningkatan kadar faedah pinjaman, peningkatan ini dijangka memanfaatkan pendeposit yang diwakili oleh sebahagian besar golongan M40 menerusi peningkatan faedah yang diterima oleh pendeposit.
Kini, dengan trend pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, OPR dinaikkan kepada dua peratus baru-baru ini. MPC BNM telah pun menyatakan pelarasan OPR akan dilakukan secara beransur-ansur. Jika kenaikan dibuat secara mendadak, ia mungkin membantutkan trend pertumbuhan ekonomi yang baru sahaja bermula.
Namun, bagi peminjam, kerajaan unjurkan persekitaran pendapatan dan prospek pekerjaan yang terus memulih akan membantu menyokong kapasiti peminjam isi rumah untuk membayar hutang. Seperti yang disebutkan tadi, menerusi inisiatif JaminKerja di bawah Bajet 2022, kerajaan menyediakan 600,000 peluang pekerjaan baharu.
- Bilakah ekonomi negara kita dijangka pulih? Apakah pandangan Datuk Seri berhubung keadaan ekonomi negara kita pada separuh kedua tahun ini?
Prestasi KDNK suku pertama sebanyak 5.0 peratus dan petunjuk ekonomi terkini menunjukkan bahawa pemulihan ekonomi sudah pun bermula. Insya-ALLAH, ekonomi Malaysia tahun ini dijangka berkembang antara 5.3-6.3 peratus disokong oleh permintaan dalam negeri yang lebih tinggi dan sokongan daripada permintaan luar, peningkatan aktiviti ekonomi terutamanya dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa; dan pasaran buruh yang terus memulih.
Pembukaan semula sempadan antarabangsa juga akan meningkatkan ketibaan pelancong dan aktiviti perdagangan, seterusnya memacu pemulihan dalam sektor perkhidmatan.
Tambahan lagi, Bajet 2022 yang mengembang dan penyambungan semula projek yang mempunyai kesan pengganda tinggi, termasuk program pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 akan turut membantu mengekalkan pertumbuhan.
Namun begitu, kita masih perlu berhati-hati terhadap perkembangan global dan geopolitik terkini yang berpotensi mengakibatkan tekanan ekonomi dalam pelbagai aspek, terutamanya inflasi global berikutan harga komoditi yang terus meningkat dan juga gangguan kepada rantaian bekalan.
Faktor-faktor ini boleh menjejaskan momentum pemulihan ekonomi negara memandangkan Malaysia merupakan sebuah ekonomi terbuka dengan jumlah perdagangan adalah kira-kira 120 peratus daripada KDNK.
Tambahan pula, tekanan inflasi telah mendorong pelbagai bank pusat, termasuk Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk meningkatkan kadar dasar dengan lebih pantas yang menyumbang kepada persekitaran kewangan global yang lebih ketat.
Peningkatan harga komoditi dan makanan dan kekurangan tenaga buruh mungkin mengehadkan potensi pertumbuhan Malaysia.
Kerajaan dan agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan pelbagai risiko ekonomi dan memastikan keberkesanan keputusan dasar dalam mengurus kejutan luaran yang boleh memberi kesan ke atas kesejahteraan rakyat dan perniagaan.
Keutamaan kerajaan dalam jangka masa sederhana adalah untuk melaksanakan pembaharuan struktur yang akan meningkatkan potensi, daya tahan dan prospek ekonomi negara serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.
Secara keseluruhan, langkah dan komitmen kerajaan ini akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif untuk semua, Insya-ALLAH.
INFO
Harga RON95 bagi setiap liter
Malaysia RM2.05
Arab Saudi RM2.71
UAE RM4.30
Indonesia RM4.98
Thailand RM5.99
Singapura RM9.29
Norway RM10.37
Harga ayam bagi setiap kg
Malaysia RM8.90
Indonesia RM11.17
Thailand RM11.35
Singapura RM28.90
Kadar inflasi bagi Mac 2022
Malaysia 2.2 peratus
Indonesia 2.6 peratus
Australia 4.5 peratus
Singapura 5.4 peratus
Thailand 5.7 peratus
UK 7.0 peratus
AS 8.5 peratus
Klik di sini untuk terus membaca