SAYA bermesej dengan Olan bila memesan kerepek pisang tanduk daripadanya. Sambil itu saya ucapkan tahniah kerana seronok melihat foto berbalang-balang kerepek jualannya di media sosial. Sempat juga saya mengusik yang dia sudah boleh saya... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA bermesej dengan Olan bila memesan kerepek pisang tanduk daripadanya. Sambil itu saya ucapkan tahniah kerana seronok melihat foto berbalang-balang kerepek jualannya di media sosial. Sempat juga saya mengusik yang dia sudah boleh saya gelar tauke.

Katanya, perniagaan pelbagai kerepek hanyalah usaha kecil-kecilan. Jika ditolak dengan segala kos, dia hanya memperoleh RM3 untuk sebalang kerepek. Purata jualannya adalah lima balang sehari dan dia hanya dapat untung bersih RM450 sahaja sebulan.

Olan pandai bertukang. Dia sering dipanggil oleh temannya jika kawannya itu tidak cukup tangan untuk menyiapkan kerja-kerja membetulkan rumah. Olan adalah salah seorang ‘mangsa’ ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pendapatan keluarganya tidak melebihi RM2,500 sebulan.

Dia tidak lagi benarkan isterinya bekerja selepas bersalin. Katanya, kos pengangkutan dan makan minum lebih mahal dan isterinya tidak dapat membantu kewangan keluarga walaupun bekerja. Olan sendiri diberhentikan kerja sebagai staf perkhidmatan di bidang perhotelan.

Dalam keadaan kita melihat mereka yang mewah berbelanja pada musim perayaan, apakah ia gambaran kemakmuran? Tidak banyak syarikat memberi bonus.

Barangkali Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi rezeki kepada ramai untuk berbelanja lebih. Namun, sekejap sahaja RM10,000 akan habis kerana pelbagai pembayaran dan perbelanjaan perayaan.

Tahun lalu sebanyak 37,415 perniagaan dilaporkan gulung tikar susulan terkesan akibat pandemik Covid-19. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 26,007 adalah usahawan mikro, diikuti 2,738 lagi membabitkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) yang menjalankan survei menganggarkan 580,000 perniagaan mewakili 49 peratus daripada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berisiko menutup perniagaan menjelang Oktober depan sekiranya mereka masih tidak dibenarkan beroperasi.

Persatuan Majikan Malaysia turut menyuarakan bahawa banyak perniagaan berdepan kesukaran apabila kerajaan mewajibkan penggajian minimum RM1,500 mulai Mei ini. Banyak perniagaan yang baru hendak pulih terpaksa berdepan kenaikan gaji kakitangan yang dianggap mendadak.

SALING MEMBANTU

Apa yang kita boleh buat? Beruntunglah jika kita masih mempunyai pekerjaan dan majikan yang mampu membayar gaji walaupun tanpa bonus mahupun kenaikan.

Jika kita pandang di sekeliling, kita mula nampak riak wajah-wajah yang hilang senyuman bila mendepani kesukaran mengawal perbelanjaan kerana kenaikan harga barang.

Jika kita bukan daripada golongan yang membeli kereta baharu secara tunai, rumah baharu, makan-makan, terbang-terbang ataupun boleh menabur wang merata-rata, kita semua adalah golongan yang perlu berhati-hati mengawal perbelanjaan.

Yang penting, kita perlu saling membantu sesama sendiri agar masing-masing dapat terus berdiri. Kita perlu bantu orang seperti Olan. Jika kita biasa membeli kerepek dalam peket yang dibeli di pasar raya, pastikan kita beli sebalang daripada Olan.

Jika kita biasa membeli kek dari kedai yang popular, belilah daripada mereka yang menjual melalui media sosial atau grup WhatsApp setaman.

Mari kita bantu mereka. Biarlah mereka kaya kerana kita membantu mereka kaya. Bukankah kita sudah selalu sangat membantu yang kaya menjadi lebih kaya?

Bila kita membeli daripada jenama-jenama terkenal antarabangsa, kita mengkayakan yang sudah kaya. Mereka tidak akan miskin jika kita tidak membeli daripada mereka.

Kita bukannya hendak boikot jenama-jenama yang sudah jadi cita rasa kita. Kita cuma hendak bantu juga saudara-saudara kita untuk hidup.

Niat itu penting. Bila kita membeli dengan niat membantu, kita akan dapat pahala. Ia sama sekali tidak sama apabila kita membeli daripada jenama besar. Sebab bila kita membeli tanpa niat untuk membantu perniagaan yang besar itu, daripada mana datangnya pahala?

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca