SHAH ALAM - Pengalaman luas dimiliki oleh Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai bekas Timbalan Menteri dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) mampu membantu Ahli Parlimen Pasir Salak melaksanakan tugas selaku Duta Besar Malaysia ke... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengalaman luas dimiliki oleh Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai bekas Timbalan Menteri dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) mampu membantu Ahli Parlimen Pasir Salak melaksanakan tugas selaku Duta Besar Malaysia ke Indonesia baharu dengan lebih cemerlang.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pelantikan tersebut adalah satu penghargaan buat ahli kelab BBC yang dipimpin oleh Tajuddin selaku Pengerusi.

Mohd Khairuddin

"Beliau juga sememangnya berkelayakan untuk menggalas tugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia dengan pengalaman luas beliau sebagai Timbalan Menteri di beberapa kememterian sebelum ini.

"Apatah lagi Indonesia yang merupakan negara paling ramai umat Islam memerlukan seseorang seperti Tajuddin yang mempunyai jiwa Melayu Islam yang kuat bagi menjadi duta mewakili Malaysia bagi menjadi penghubung budaya dan agama yang dikongsi bersama oleh dua negara jiran ini.

"Peluang baru pemerkasaan hubungan ekonomi antara dua negara juga boleh diterokai apatah lagi melibatkan komoditi sawit dan getah serta hasilan pertanian di samping tenaga buruh daripada Indonesia," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

MAHFUZ KATA TAJUDDIN AKAN POPULARKAN MALAYSIA

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, secara sinis berkata, beliau percaya pelantikan Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia mampu melonjakkan nama negara di peringkat antarabangsa dengan cara tersendiri.

Mahfuz Omar

Berikutan itu, Mahfuz yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia di zaman Pakatan Harapan memerintah, mengucapkan tahniah kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerana mencadangkan nama Tajuddin sebagai Duta Besar ke Indonesia yang baharu.

"Saya percaya pelantikan Tajuddin akan banyak membantu memperkenalkan Malaysia bukan sahaja ke Indonesia, malah ke seluruh dunia seperti mana bekas Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Razak telah mengangkat 1Malaysia Develoment Berhad (1MDB) untuk membolehkan Malaysia dikenali di seluruh dunia.

"Saya percaya Tajuddin yang kita kenali mempunyai karekter dan imej tertentu akan menjadi faktor 'wow' untuk mempopularkan serta membolehkan Malaysia lebih dikenali oleh masyarakat antarabangsa.

"Bila kita mengangkat tokoh seperti ini (sebagai Duta Besar ke Indonesia) maka orang akan katakan 'wow' inilah Malaysia dan membantu melonjakkan nama negara di mata dunia," sindir Mahfuz.

BELUM RASMI TANPA PERKENAN AGONG

Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, secara umumnya mana-mana individu belum boleh digelar Duta atau Pesurujaya Tinggi Malaysia ke luar negara selagi tidak mendapat perkenan serta watikah pelantikan rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong seperti mana lantikan lain.

"Selagi tiada watikah pelantikan diterima daripada Yang di-Pertuan Agong dan tarikh berkuat kuasa, maka individu berkenaan belum rasmi boleh digelar sebagai perwakilan Malaysia ke luar negara.

"Selain itu, watikah pelantikan rasmi juga boleh dikeluarkan oleh pihak tertentu yang dilantik menjalankan tugas sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong jika baginda berada di luar negara melebihi 15 hari," katanya dalam jawapan ringkas kepada Sinar Premium.

Sementara itu, sumber yang memahami proses dan protokol pelantikan Duta dan perwakilan Malaysia ke luar negara berkata, proses pelantikan seseorang calon Duta Besar atau Pesurujaya Tinggi Malaysia, merangkumi pencalonan oleh kerajaan, persetujuan dari negara 'hos' dan penganugerahan watikah daripada Yang di-Pertuan Agong.

"Calon Duta atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia seterusnya perlu menyerahkan watikah pelantikan tersebut kepada ketua negara atau ketua kerajaan negara yang menerima Duta Besar tersebut," katanya kepada Sinar Premium.

Difahamkan, sehingga kini Tajuddin belum menjadi Duta Besar ke Indonesia yang sah kerana sehingga kini beliau tidak menerima sebarang surat perlantikan rasmi dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong seperti perwakilan negara lain.

Tajuddin hanya boleh dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia selepas beliau menyerahkan watikah pelantikan dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Untuk rekod mengikut Fasal 114, Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) boleh melantik sesiapa sahaja yang layak menjadi Duta dan Pesuruhjaya Tinggi selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, Tajuddin mengesahkan pelantikannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia bagi menggantikan Datuk Zainal Abidin Bakar yang tamat perkhidmatannya.

Pelantikan Tajuddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menamatkan segala spekulasi mengenai penempatan Duta Besar ke Indonesia yang bertiup kencang, sebelum ini.

Klik di sini untuk terus membaca