PERKEMBANGAN politik yang sihat berlaku dalam negara sejak beberapa minggu lalu. Kita dapat melihat beberapa siri debat antara mereka yang menawarkan diri untuk menjadi pemimpin sesetengah parti mahupun debat mengenai dasar mana yang lebih... Klik di sini untuk terus membaca

PERKEMBANGAN politik yang sihat berlaku dalam negara sejak beberapa minggu lalu.

Kita dapat melihat beberapa siri debat antara mereka yang menawarkan diri untuk menjadi pemimpin sesetengah parti mahupun debat mengenai dasar mana yang lebih baik untuk negara. Ia adalah perkembangan yang positif.

Sekiranya momentum itu diteruskan dan parti-parti lain juga mengambil langkah sama, maka kita akan melihat tahap kematangan dalam landskap politik negara bukan sahaja akan menunjukkan ada peningkatan dan kemajuan, malah turut menjanjikan tata kelola yang lebih baik untuk Malaysia pada masa hadapan.

Kenapa saya berpandangan demikian? Kerana antara syarat penting dalam tadbir urus baik mana-mana organisasi adalah ketelusan dan akauntabiliti pemimpin serta anggotanya.

Mana-mana pemimpin yang berani tampil bertanggungjawab atas apa yang mereka ucapkan dan membenarkan diri serta ucapan dan gerak badan mereka dibaca khalayak ramai, maka kita sudah memulakan satu perjalanan agar integriti politik di Malaysia akan terus diraikan.

Lebih kurang 15 tahun lalu, saya dan rakan-rakan telah menyunting sebuah buku bertajuk Integriti politik di Malaysia: Ke arah kefahaman yang lebih sempurna.

Ia telah diterbitkan oleh Institut Integriti Malaysia. Dalam kandungan buku tersebut, kita ada menyentuh tajuk-tajuk penting bagi memupuk budaya integriti dalam kalangan anggota parti politik.

Antara tajuk yang memberi penelitian agar dapat membantu pembaca memahami makna integriti politik dengan lebih sempurna adalah

(1) Kenapa integriti dan tadbir urus baik penting dalam negara,

(2) Integriti & Mas’uliah dalam kepimpinan,

(3) Demokrasi berparlimen di Malaysia,

(4) Integriti pilihan raya dan sistem pilihan raya Malaysia,

(5) Cabaran integriti badan kehakiman,

(6) Kebebasan bersuara: Antara wibawa moral dan tanggungjawab wartawan (media) dan ahli politik,

(7) Peranan wanita dalam membentuk budaya integriti dan

(8) Pemuda sebagai pemangkin integriti politik negara.

BUDAYA POLITIK MULIA

Semua fokus tajuk adalah untuk memperbetulkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat pada seseorang individu dan peranan yang perlu dilakukan bagi menjadikan budaya dalam sistem kehidupan seharian.

Begitu juga disentuh antara institusi penting seperti badan kehakiman, Parlimen, eksekutif dan sistem pilihan raya.

Malah, media juga disentuh mempunyai peranan dalam usaha kita ini.

Perkembangan sihat ini perlu kita baja dan terus istiqamah. Seperti pokok yang kita tanam, kalau pokok tidak disiram, dibaja dan dibiarkan untuk mendapat cahaya matahari yang cukup, pokok tersebut juga akan mati.

Begitu jugalah budaya politik mulia yang berteraskan integriti, perlu kita jaga dan baja bersama.

Mungkin masanya sudah tiba untuk parti-parti politik dalam negara tanpa memerlukan akta atau dasar negara, memulakan sistem pengurusan dana politik masing-masing yang telus, tidak terdedah kepada sumbangan daripada orang asing, yang kalau tidak kita jaga akan mempengaruhi masa depan negara.

Kedaulatan negara ini perlu kita jaga. Parti-parti politik boleh memulakan dengan mudah meminjam prosedur sedia ada di jabatan-jabatan kerajaan sebagai good practice untuk diadaptasi bagi kegunaan parti.

Apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Berapa tuntutan perjalanan, untuk apa dan sebagainya agar pengurusan operasi parti politik juga dilaksanakan dengan telus dan mengikut tata kelola yang baik.

Parti-parti politik juga elok menyediakan latihan berterusan untuk semua peringkat anggota.

Matlamat akhir program latihan mestilah untuk melahirkan generasi pimpinan akan datang dalam kalangan yang mempunyai integriti tinggi dan mengamalkan nilai-nilai mulia.

Dewasa ini kita telah melihat bagaimana negara-negara di dunia menjadi hancur hanya kerana pemimpin negara mereka yang tidak amanah dan berintegriti.

Lihat apa yang telah berlaku di Somalia, Zimbabwe dan yang terbaharu di Sri Lanka. Negara kita juga tidak terkecuali. Lihat saja kemelut 1MDB.

Masalah integriti dalam kalangan ahli politik di dalam dan luar negara perlu menjadi iktibar untuk kita melihat masa depan kita dalam politik Malaysia.

Sekiranya kita ingin menyelamatkan Malaysia daripada jatuh menjadi sebuah lagi negara seperti Somalia, Zimbabwe dan Sri Lanka, maka integriti harus dijunjung dan nilai-nilai mulia harus menjadi nilai utama dalam parti.

Tidak guna kalau negara mempunyai pelan integriti atau pelan anti-rasuah serta dasar yang muluk-muluk tetapi rakyat daripada pemimpin sehingga pengikutnya tidak faham kenapa integriti itu penting dan kenapa rasuah harus diperangi habis-habisan.

Kita perlu membuka mata melihat kehancuran di negara-negara yang rasuahnya berleluasa di mana pemimpin mereka beraja di mata dan bersultan di hati.

Ini perlu kita elakkan sebaik mungkin daripada terus berlaku di Malaysia.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca