SHAH ALAM - Permintaan teksi bagi teksi bermeter atau berdaftar dengan e-hailing ketika ini meningkat sebanyak 40 peratus berikutan beberapa faktor, antaranya sektor pelancongan dan juga pintu sempadan negara dibuka semula sejak 1 April... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Permintaan teksi bagi teksi bermeter atau berdaftar dengan e-hailing ketika ini meningkat sebanyak 40 peratus berikutan beberapa faktor, antaranya sektor pelancongan dan juga pintu sempadan negara dibuka semula sejak 1 April lalu.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain berkata, faktor lain pula ialah tindakan syarikat perkhidmatan e-hailing yang mengenakan kadar tambang yang terlalu tinggi sehingga menyebabkan orang ramai memilih untuk menaiki teksi.

"Sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik, permintaan teksi meningkat sehingga 40 peratus berbanding sewaktu pandemik, kita (pemandu teksi) hilang sumber pendapatan 100 peratus.

"Terdapat faktor peningkatan permintaan, antaranya sektor pelancongan dan pintu sempadan negara telah pun dibuka. Selain itu, tindakan syarikat e-hailing yang menaikkan kadar tambang terlalu tinggi.

"Jadi ini antara faktor yang memberi kesan kepada pemandu teksi mendapatkan penumpang,” katanya di sini pada Rabu.

Mengulas mengenai kadar harga tambang teksi pula, Kamarudin berkata, ia telah pun ditetapkan kerajaan setelah mengambil kira beberapa aspek antaranya kos operasi, sara hidup dan perbelanjaan semasa.

"Kadar tambang teksi sebenarnya satu kadar tambang yang boleh dikatakan efisien dan tepat. Tak ada naik turun sebab kerajaan dah kaji semua aspek.

"Sebagai contoh, jika dari Kuala Lumpur (KL) Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), anggarannya ialah bawah RM80. Itu bagi teksi bermeter bajet (merah putih). Jika naik teksi berwarna biru, tambang dah berlainan bergantung kepada kelas teksi yang digunakan,” katanya.

TIDAK MUNASABAH GLC BANGUNKAN APLIKASI

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM), Ajit Johl berkata, adalah tidak munasabah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diberi tugasan membangunkan aplikasi e-hailing menerusi bagi menyelesaikan isu ketidaktentuan harga.

Katanya, ini kerana tujuan utama sesuatu perniagaan dijalankan untuk mencari keuntungan dan bukan untuk mengawal harga.

"Kerajaan tidak perlu memberi saingan kepada syarikat ride share (e-hailing) untuk mengawal selia harga dengan menggunakan syarikat GLC.

"Sebaliknya GLC boleh melabur di dalam syarikat ride share tempatan yang sedia ada dan memperbaiki mutu servis yang ditawarkan.

"Ini akan memberi syarikat tempatan peluang untuk bertanding dengan gergasi daripada luar negara, yang mempunyai sumber kewangan yang jauh lebih tinggi,” katanya di sini pada Rabu.

Pada Sabtu lalu, kerajaan menerusi GLC dicadangkan perlu membangunkan aplikasi e-hailing bagi menyelesaikan isu ketidaktentuan penawaran harga.

Ajit berkata lagi, semua pihak tahu e-hailing itu dibawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

"Jadi mereka ini sepatutnya yang mengawal harga bukan GLC,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca