SHAH ALAM - Seramai 1,911 remaja di bawah usia 17 tahun ditahan di negara ini sejak tahun 2020 hingga Mac lalu akibat terjebak dengan budaya mat rempit atau samseng jalanan. Lebih membimbangkan, ada antara mereka dikesan terjebak dengan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seramai 1,911 remaja di bawah usia 17 tahun ditahan di negara ini sejak tahun 2020 hingga Mac lalu akibat terjebak dengan budaya mat rempit atau samseng jalanan.

Lebih membimbangkan, ada antara mereka dikesan terjebak dengan kegiatan berbahaya itu seawal usia 12 tahun.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, sepanjang tempoh berkenaan, pihaknya sudah menahan seramai 6,094 mat rempit.

Beliau berkata, jumlah itu meliputi tangkapan seramai 1,911 remaja di bawah 17 tahun, selain 4,106 orang mereka yang berusia 18 tahun ke atas dan selebihnya iaitu 77 orang penunggang berusia atas 40 tahun.

"Berdasarkan pemerhatian kita, tahap masalah sosial remaja yang terlibat dalam samseng jalanan sangat membimbangkan terutama sekali dari sudut penglibatan umur mereka yang dikesan seawal umur 12 ke 13 tahun.

"Samseng jalanan atau mat rempit merupakan aktiviti yang dianggap normal pada hari ini dengan menggunakan motosikal sebagai satu hobi serta kegemaran mereka.

"Jika dahulu umur sebegitu mereka bermain bola, gasing dan permainan lain-lain, tapi hari ini, inilah aktiviti sesetengah daripada mereka sehingga mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain,” katanya dalam pertemuan eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya di Bukit Aman, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mohd Nadzri berkata, aksi berbahaya itu adalah pelbagai, antaranya berlumba sesama mereka sama ada berdua atau bertiga selain aksi seperti zig-zag, superman dan wheelie.

Mohd Nadzri - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID

Menurutnya, golongan berkenaan menganggap aktiviti tidak sihat itu mendatangkan keseronokan bagi menunjuk kemahiran dan membezakan diri dengan orang lain, kononnya pencapaian sebegitu akan diiktiraf dalam kalangan kumpulan mereka.

"Dalam hal ini, kemahiran menunggang motosikal menjadi kemegahan diri dan kebanggaan sesama mereka, tapi ia sebenarnya tidak.

"Bagi sudut lain pula, kita tidak nafikan kegiatan samseng jalanan ini ada melibatkan unsur pertaruhan.

"Saya akui ada juga yang menggunakan motosikal untuk berlumba kerana mahu merebut hadiah ditawarkan, tetapi kebanyakan yang berlaku hari ini ialah sekadar bagi aktiviti masa lapang, mahu berseronok dan mencapai satu tahap dalam kalangan sesama mereka. Ini dua perkara yang berbeza,” katanya.

Tambah beliau, di pihak JSPT, tindakan penguatkuasaan tegas akan terus dijalankan dengan lebih kerap.

Jelasnya, aktiviti tersebut merupakan satu masalah sosial kerana ia bukan saja bahaya, malah membuang masa dengan kegiatan tidak berfaedah.

"Bayangkan pada usia seawal 12 hingga 13 tahun masih berada di atas jalan raya tengah-tengah malam. Keduanya, usia sebegitu sudah tentu motosikal bukanlah miliknya. Ini persoalannya.

"Mengapa kawalan motosikal tidak ada daripada ibu bapa? Masalah ini menggugat masa depan remaja kita kerana ia lebih mendatangkan mudarat kepada negara,” ujarnya.

KAWALAN DARI RUMAH

Menurut beliau, kegiatan mat rempit akan berkembang sekiranya peranan tidak dimainkan semua pihak.

Aksi berbahaya samseng jalanan yang sering dikesan pihak polis.

"Kalau kita lihat dari tahun ke tahun tangkapan sangat tinggi. Perkara ini perlu bersama diambil perhatian sewajarnya. Sikap ibu bapa yang ambil ringan ke atas pengawasan anak mereka menyebabkan masalah ini sukar dihapuskan.

"Sebagai contoh, semasa pandemik Covid-19 masih menunjukkan berlakunya penangkapan, sedangkan masa itu larangan untuk keluar rumah dilaksanakan. Lebih-lebih lagi apabila peralihan fasa endemik, kegiatan ini semakin berleluasa dan tangkapan semakin meningkat.

"Pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan tapi kawalan itu sepatutnya bermula dari rumah. Jika dijaga dengan ketat, aktiviti ini pasti dapat dibendung. Dalam hal untuk membasmi aktiviti itu terletak di semua pihak termasuk ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga melaksanakan Op Didik di sekolah bukan hanya untuk isu trafik tapi juga berkaitan kes jenayah.

"Tapi perlu diingat, kawalan ibu bapa juga yang lebih berkesan,” katanya.

GANGGU ORANG AWAM

Mohd Nadzri berkata, polis banyak menerima aduan terutama di kawasan kampung dan perumahan berhubung masalah bunyi bising yang dilakukan kumpulan mat rempit ini.

Antara operasi yang dilakukan polis bagi mengekang kegiatan samseng jalanan. - Foto Bernama

"Orang ramai mengadu suasana tidak harmoni di waktu Maghrib dan tengah malam di mana ketika itu orang mahu berehat dan solat. Oleh sebab itu juga operasi khas iaitu Op Ekzos telah dilaksanakan selama sebulan pada tahun lalu.

"Apabila geng ini berkumpul, di situlah akan wujudkan kes lain seperti pengambilan dadah serta air ketum. Dengan keseronokan begitu, dia akan lakukan perkara lain.

"Perbuatan mereka lebih kepada kepuasan diri, isi masa lapang, keseronokan dan ini yang saya katakan bahaya kerana ia dilakukan dalam waktu harian atau mingguan,” katanya.

Jelas Mohd Nadzri, JSPT juga mengenal pasti lokasi hotspot aktiviti mat rempit.

Ujar beliau, di setiap negeri ada lokasi tertentu yang menjadi kegemaran untuk melakukan aksi, contohnya Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke).

"Apabila melibatkan aktiviti bahaya, ia berisiko mendatangkan kecederaan atau kematian kepada penunggang atau pengguna jalan raya lain.

"Aktiviti berkonvoi tiada halangan selagi ia mematuhi peraturan undang-undang. Apa yang kita kesan pergerakan itu ada yang melakukan aksi berbahaya sama ada wheelie, superman atau bersaing sesama sendiri,” katanya.

BANTU POLIS

Menurut Mohd Nadzri, orang ramai disaran untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang kegiatan mat rempit.

"Kita akan mengambil tindakan biarpun ia hanya menerusi video yang tular di media sosial. Apa juga kesalahan trafik akan diambil tindakan.

"Siasatan akan dijalankan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tegas beliau, selain tindakan penguatkuasaan, ibu bapa diminta memantau anak-anak mereka kerana ia perlu dikekang dari rumah dan bukannya apabila motosikal sudah berada di atas jalan raya.

Klik di sini untuk terus membaca