KOMENTAR penulis tentang beberapa insiden kemalangan meragut nyawa yang melibatkan lori dalam ruangan MUNDAR-MANDIR DI KAKI LIMA terbitan Isnin, 16 Mei baru-baru ini nampaknya telah mencetuskan kemarahan para pemandu lori.
Tajuk tulisan itu ‘Pembunuh’ nombor satu di lebuh raya merupakan antara isu yang dibangkitkan mereka. Mereka menyatakan kenapa mereka dituduh sebegitu rupa.
Kebanyakan rasa marah ini dilemparkan di dalam laman Facebook para pemandu lori dan anggota-anggota persatuan pemandu lori.
Yang pertama, izinkanlah penulis menjelaskan terlebih dahulu bahawa tajuk dan tulisan itu merujuk secara khusus kepada insiden-insiden kemalangan yang melibatkan kepentingan ramai dan awam. Ia tidak merujuk kepada pemandu lori secara umum.
Ia penulis nyatakan secara jelas dengan merujuk dan memberi contoh beberapa insiden maut yang melibatkan lori dan pemandu lori.
Rencana itu juga memberi contoh bagaimana insiden berkenaan berakhir dengan pemandu lori yang terlibat dengan kemalangan-kemalangan maut itu dicaj di mahkamah atas dakwaan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian kepada pemandu lain di lebuh raya.
Satu lagi insiden maut yang disebut melibatkan sebuah lori yang berhenti di atas lebuh raya tanpa sebab dengan enjin dan lampu dipadamkan dan perbuatan pemandu lori itu yang didapati sedang lena tidur oleh para pengguna lebuh raya yang lain telah menyebabkan satu nyawa yang tidak bersalah melayang.
Dia kemudian cuba melarikan diri selepas dikejutkan oleh pengguna lebuh raya lain dan dikejar sejauh 40 kilometer sebelum berjaya dihentikan dan selepas itu diserahkan kepada pihak berkuasa.
Tiada satu contoh pun yang disebut dalam tulisan itu merujuk kepada para pemandu lori dan lori treler lain yang berhemah serta cermat di dalam pemanduan mereka.
Hakikat bahawa mereka tidak disebut menggambarkan bahawa contoh-contoh diberikan itu tidak merujuk dan melibatkan pemandu-pemandu lori serta lori treler lain yang sentiasa berhati-hati dalam menjalankan kerja dan tugas harian mereka di lebuh raya sama seperti petugas serta pekerja lain dalam pelbagai sektor serta industri.
Yang kedua, di dalam rencana itu, penulis berkata dengan jelas: "Ia adalah tentang kemalangan meragut nyawa yang melibatkan lori dan lori treler sehinggakan terlintas di hati, apakah lori kini menjadi ‘pembunuh’ nombor satu di lebuh raya.”
Ayat itu merujuk secara khusus kepada insiden atau kemalangan meragut nyawa melibatkan lori treler baru-baru ini.
Kenapa contoh itu disebut? Kerana insiden kemalangan maut itu baru sahaja berlaku dan begitu dahsyat sekali sehingga meragut nyawa lima sahabat karib dan paling penting, ia melibatkan kepentingan ramai kerana setiap seorang daripada kita termasuklah penulis sendiri adalah pengguna lebuh raya dan jalan raya di negara ini.
Dan kemalangan itu sungguh dahsyat dan mengerikan sehingga terlintas di hati secara spontan, apakah lori kini menjadi ‘pembunuh’ nombor satu di lebuh raya.
Ia adalah satu bentuk pertanyaan yang jawapannya mungkin betul dan mungkin salah.
Melihat kepada kejadian itu, penulis seperti rakyat Malaysia yang lain wajar bertanya atau terdetik untuk bertanya tentang keselamatan pengguna yang lain secara umum kerana kita semua sekali lagi, adalah pengguna lebuh raya dan jalan raya.
Pertanyaan tentang keselamatan para pemandu lain yang tidak bersalah adalah satu pertanyaan yang pada hemat penulis adalah wajar. Ia adalah satu pertanyaan dan bukannya tuduhan.
Dan yang terakhir, ingin dijelaskan adalah hakikat bahawa perkataan ‘pembunuh’ itu diletak dalam bentuk tanda petik tunggal (’) adalah untuk menggambarkan pertanyaan yang terdetik dalam hati itu adalah satu bentuk metafora yang menceritakan tentang kegelisahan dan ketakutan pengguna lebuh raya serta jalan raya akan insiden-insiden melibatkan lori atau lori treler pada masa lalu dan masa kini dengan harapan komentar ini memberi keinsafan, teladan dan peringatan kepada kita semua agar lebih berhati-hati semasa memandu.
Akhir kalam, kepada semua pemandu termasuklah pemandu kenderaan lain yang sentiasa berhemah dan cermat serta tertib di dalam pemanduan mereka (termasuklah pemandu lori), penulis ingin menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf seandainya tulisan ini ataupun tulisan sebelum ini mencetuskan kemarahan serta mengguris hati kalian.
Penulis tiada niat lain melainkan untuk kita semua mengambil iktibar daripada insiden-insiden kemalangan yang terjadi dan moga kita semua dilindungi ALLAH SWT hendaknya.
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca