PRESIDEN negara ialah anak kelima daripada lapan adik-beradik. Perdana Menteri ialah abang ketiga, Menteri Kewangan adalah adiknya yang keenam, manakala Menteri Parit Air ialah abang sulung. Menteri Sukan adalah anak kepada Perdana Menteri,... Klik di sini untuk terus membaca

PRESIDEN negara ialah anak kelima daripada lapan adik-beradik. Perdana Menteri ialah abang ketiga, Menteri Kewangan adalah adiknya yang keenam, manakala Menteri Parit Air ialah abang sulung.

Menteri Sukan adalah anak kepada Perdana Menteri, manakala Menteri Pertanian Canggih kebetulannya anak Menteri Parit Air. Negara ini Sri Lanka.

Keluarga yang berdinasti di Istana Presiden dan kabinet ialah Rajapaksa. Yang melantik Presiden Gotabaya Rajapaksa bukan penjajah atau kuasa asing tetapi rakyat Sri Lanka sendiri.

Rajapaksa memenangi pilihan raya Presiden dengan 52 peratus undi pada 2019 dan partinya memenangi pilihan raya Parlimen dengan 59 peratus undi pada 2020.

Sri Lanka sekarang hampir muflis. Bukan sahaja disebabkan kesan wabak dan perang Ukraine tetapi kerana korupsi serta dasar ekonomi populis yang mengosongkan ‘baitulmal’.

Rakyat bangkit menuntut pengunduran keluarga Rajapaksa selepas sengsara dengan ketiadaan minyak, elektrik, ubat, makanan dan kerja.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Mahinda Rajapaksa terpaksa meletak jawatan bersama kabinetnya setelah serangan kuncu-kuncunya ke atas pembantah mencetuskan rusuhan.

Akan tetapi, Gotabaya Rajapaksa enggan undur dan melantik seorang pemimpin pembangkang sebagai Perdana Menteri (PM) untuk membeli masa.

Bekas PM, Ranil Wickremesinghe menjadi PM untuk kali kelima. Kerana tiada jaminan kestabilan dan reformasi, masyarakat antarabangsa tidak giat membantu dan Sri Lanka terus sengsara.

PENDERITAAN RAKYAT

Apa iktibar untuk negara lain seperti Malaysia? Pertama, jangan difikirkan sebuas-buasnya harimau tak akan memakan anaknya sendiri.

Keluarga Rajapaksa popular dalam kalangan komuniti majoriti Sinhalese (Buddha) kerana tegas menekan minoriti, mulanya orang Tamil (Hindu) dan kemudiannya orang Muslim.

Sungguhpun kerajaan Rajapaksa tidak membunuh, menyeksa dan menghina orang, mereka tetap mencuri kekayaan negara dan sebagai kumpulan majoriti, orang Sinhalese menjadi mangsa terbesar kerakusan burung pegar yang seketurunan dan seagama dengan mereka.

Dalam penderitaan, ramai Sinhalese kini melawan Rajapaksa bersama golongan minoriti yang tertindas.

Kedua, tiada jamuan yang percuma. Gotabaya Rajapaksa memenangi pertandingan Presiden 2019 dengan menjanjikan dasar populis untuk potong cukai.

Siapa tidak suka bayar kurang cukai? Namun, kurang cukai maka semakin keringlah ‘baitulmal’. Apabila kerajaan tiada wang untuk import, maka mereka yang dilepaskan cukai dahulu turut sengsara.

Itu iktibar yang kita mesti ingat. Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Energy dibayar RM200,000 sehari pada 2018 ketika syarikat itu rugi lebih RM2 bilion.

Kalau orang kebanyakan yang pendapatannya tak sampai RM200 pun melimpah simpati mereka, sampai ingin Petronas menyelamatkan kelas kayangan seperti Sapura, janganlah menangis apabila sumber Petronas kekeringan suatu hari nanti sehingga tak dapat membantu rakyat kebanyakan!

Ketiga, jangan dilepaskan anjing yang tersepit. Mahinda Rajapaksa menjadi Presiden selama 10 tahun (2005-2015) sebelum dikalahkan oleh bekas penyokongnya, Maithripala Sirisena yang berkempen melawan rasuah.

Sebelum kes rasuah keluarga Rajapaksa diadili, rebutan kuasa berlaku pada 2018 antara Presiden Sirisena yang kembali menyokong Mahinda Rajapaksa dan Perdana Menterinya, Ranil Wickremesinghe. Ia membuka jalan untuk kembalinya Rajapaksa pada 2019 dan membawa Sri Lanka ke ambang muflis.

* Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihanraya, politik parti dandemokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca