SHAH ALAM - Pemansuhan permit import (AP) bekalan makanan oleh kerajaan adalah langkah terbaik untuk melimpahkan pasaran dengan barangan yang lebih murah demi mengawal inflasi dan melawan kenaikan harga yang tidak masuk akal. Penganalisis... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemansuhan permit import (AP) bekalan makanan oleh kerajaan adalah langkah terbaik untuk melimpahkan pasaran dengan barangan yang lebih murah demi mengawal inflasi dan melawan kenaikan harga yang tidak masuk akal.

Penganalisis Ekonomi dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, langkah itu juga dapat memastikan negara mendapat bekalan mencukupi bagi barangan makanan yang Malaysia tidak mempunyai kelebihan seperti ayam, daging, tepung dan kelapa.

Menurutnya, buat masa ini kerajaan perlu memasukkan barangan makanan ke pasaran dengan lebih banyak agar harganya lebih murah untuk pengguna.

"Apa yang berlaku sekarang ialah harga agak melambung. Demi untuk melawan ini, kita kena ‘lambakkan pasaran’ dan masukkan barangan dengan harga yang lebih murah untuk kebaikan rakyat dan melawan kenaikan harga yang tidak munasabah.

"Pengecualian AP ini boleh dibuat untuk tempoh suatu jangka masa tertentu, kemudian kita boleh lihat balik kesannya kepada pasaran dan pengguna, namun buat masa ini, tindakan ini tepat untuk dilaksanakan,” kata beliau.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan AP bekalan makanan tidak diperlukan lagi berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, langkah tersebut bagi memastikan bekalan makanan di dalam negara mencukupi dan kerajaan membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk mengimport makanan masuk ke negara ini.

Mengulas lanjut, Baharom berkata, ada barangan makanan yang Malaysia tidak mempunyai kelebihan seperti kelapa menyebabkan harga komoditi itu di Malaysia lebih mahal berbanding di Indonesia.

Baharom

Justeru, pengecualian AP membolehkan harga barangan makanan dapat distabilkan.

"Harga ayam misalnya, tidak stabil dan melambung seperti sekarang. Jadi, beberapa bekalan makanan yang saya rasa kita perlu import sekarang sudah tentunya ayam di samping daging, tepung dan kelapa yang menjadi makanan hakiki rakyat negara ini,” ujar beliau.

Namun katanya, akan ada sedikit kesan buruk buat permulaan seperti petani dan penternak dalam negara akan terhimpit kerana perlu melawan harga ayam dari Thailand.

Bagaimanapun, buat jangka mangsa panjang, ia adalah sesuatu yang baik di mana petani dan penternak negara akan mencari jalan untuk mempelopori teknologi dan inovasi baharu yang boleh mengurangkan kos mereka.

HARGA BARANGAN IMPORT TURUN

Dalam pada itu, Pakar Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia, Profesor Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad berkata, antara kesan pemansuhan serta-merta permit import makanan seperti diumumkan Perdana Menteri pada Rabu ialah harga barangan import akan turun.

Fatimah

Namun menurut beliau, harga barangan juga bergantung kepada situasi pengeluaran antarabangsa, kuantiti dan kualiti barangan yang dibawa masuk.

"Harga barangan akan turun jika situasi pasaran antarabangsa juga dalam keadaan baik. Kalau ada konflik, sukar juga untuk turun.

"Selain itu, data mengenai komoditi makanan, permintaan bekalan dan harga perlu dibuka kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, dengan menghapuskan AP tersebut, ia akan memberikan persaingan perniagaan yang lebih sihat.

"Jadi bukan siapa yang dapat tender sahaja yang untung. Ia beri saingan kepada lebih ramai orang. Anak muda juga boleh merebut peluang ini,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan juga disaran untuk tidak memansuhkan AP sedia ada kepada semua jenis makanan dalam masa yang sama.

Jelasnya, kerajaan wajar menilai tahap keberkesanan dan kesan tiada AP kepada dua atau tiga komoditi terlebih dahulu.

"Ini kerana kalau buka kepada semua jenis bekalan, ia berkemungkinan akan menyebabkan lambakan yang banyak.

"Ini bakal merugikan dan seterusnya pengeluar tempatan juga akan menerima kesannya,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca