SHAH ALAM - Pengguna pengangkutan e-hailing terutama golongan berpendapatan rendah B40 mengakui mereka berhadapan dengan isu kenaikan harga tambang perkhidmatan tersebut yang agak membebankan. Seorang eksekutif pemasaran dari Bukit Jalil,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengguna pengangkutan e-hailing terutama golongan berpendapatan rendah B40 mengakui mereka berhadapan dengan isu kenaikan harga tambang perkhidmatan tersebut yang agak membebankan.

Seorang eksekutif pemasaran dari Bukit Jalil, Nurul Huda Azman, 27, berkata, dia yang menggunakan perkhidmatan itu untuk ke tempat kerja mendapati harga naik dua kali ganda berbanding kebiasaan.

"Kalau sebelum ini saya peruntukkan sebanyak RM10 sehari untuk ke tempat kerja yang memang berdekatan rumah, sekarang dah naik sekitar RM20 sehari untuk pergi balik.

"Saya perhatikan peningkatan harga ini berlaku juga pada waktu biasa, tidak hanya pada waktu puncak,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Seorang pekerja pengurusan barangan pasar raya di Klang, Nur Hamizah Razian, 26, berkata, kenaikan tambang itu sememangnya jelas dirasakan sejak bermulanya pandemik dua tahun lalu.

Jelasnya, situasi kenaikan tersebut menyebabkan beliau mula memikirkan alternatif pengangkutan lain termasuk menggunakan teksi untuk ke tempat kerja.

Turut merasai peningkatan tambang tersebut ialah penduduk di Mentakab, Pahang, Nurul Khairul Ellysa Khairul Azman, 21, yang menggunakan perkhidmatan tersebut sejak sejak hampir empat tahun untuk pergi ke tempat kerja di sebuah pasar raya di daerah tersebut.

Katanya, situasi tersebut juga menyebabkan dia mula mempertimbangkan pilihan untuk membeli kereta bagi memudahkannya untuk bergerak.

Sementara itu, tinjauan di sosial media juga mendapati ramai netizen pada minggu ini turut berkongsi rungutan mereka terhadap kenaikan tambang e-hailing yang dihadapi oleh mereka.

Seorang lagi pengguna Twitter, @aeshfr turut berkata, dia tidak menyangka bahawa perkhidmatan teksi bermeter kini adalah lebih murah berbanding e-hailing.

"Pernah dari Shah Alam ke Petaling Jaya ketika waktu puncak, e-hailing RM50 tapi semua pemandunya tolak, jadi naiklah teksi bermeter. Ingatkan lagi mahal, tapi baru RM30.

"Ada hikmah kena tolak. Sekurang-kurangnya tahu e-hailing cekik darah sekarang,” ciapnya.

HARGA MUNGKIN KEKAL

Sementara itu, peningkatan kadar harga tambang bagi perkhidmatan e-hailing dijangka bersifat kekal selagi mana polisi kerajaan semasa yang mengamalkan konsep pasaran terbuka itu tidak diubah.

Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia, Arif Asyraf Ali berkata, kadar harga e-hailing bergantung kepada polisi tersebut, di mana jika ada penawaran, maka akan ada permintaan dan sebaliknya.

"Tambang dinamik yang diamalkan dalam pasaran terbuka, ketika penawaran tinggi dan permintaan rendah, adalah pada kadar rendah.

"Manakala pada permintaan tinggi dan penawaran rendah, boleh menjadikan tambang meningkat dari biasa yang juga disebabkan faktor pemandu jauh dari lokasi pengambilan dan melibatkan kos tambahan untuk mengambil penumpang.

"Tiada ketetapan yang dibuat oleh pihak kerajaan seperti harga lantai dan harga siling dalam industri e-hailing sehingga kini. Maka boleh dikatanya ianya akan bersifat kekal selagi mana polisi tersebut tidak diubah,” katanya di sini pada Rabu.

Selain itu, Arif Asyraf berkata, tanggungan kos sara hidup, kos penyelenggaraan dan kos-kos lain juga menjadi antara faktor pemandu meminta harga tambang yang setimpal.

"Di awal industri e-hailing muncul, tambang bermula dari RM10 untuk maksimum 10 kilometer (KM) ke bawah, tetapi kita dapat lihat tiada yang merungut kerana waktu itu, limpahan baucar percuma diberikan oleh pihak syarikat e-hailing secara berleluasa.

"Kos yang semakin meningkat, menyebabkan tambang turut meningkat supaya industri dapat bergerak pada titik yang lebih seimbang dan munasabah agar pemandu tidak perlu bekerja lebih masa,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca