BARU-baru ini heboh mengenai laluan bawah pejalan kaki di Tembok Laut Padang Kota Lama, Georgetown yang ditutup sementara untuk orang awam berikutan berlaku air laut pasang mencapai ketinggian melebihi kawasan tersebut. Projek menelan... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-baru ini heboh mengenai laluan bawah pejalan kaki di Tembok Laut Padang Kota Lama, Georgetown yang ditutup sementara untuk orang awam berikutan berlaku air laut pasang mencapai ketinggian melebihi kawasan tersebut.

Projek menelan belanja RM12.9 juta yang baru dibuka kepada orang awam dikatakan bermasalah serta boleh mengundang bahaya.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan berkata, pasukan penguat kuasa mengadakan kawalan keselamatan dan tidak membenarkan orang awam berada di laluan berkenaan.

Malah, Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir), Datuk Dr Muhamad Farid Saad turut meminta kerajaan negeri melaksanakan audit forensik bagi mengenal pasti punca berlakunya situasi berkenaan.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk Ar Yew Tung Seang berkata, tiada isu kecacatan atau kesilapan reka bentuk berhubung pembinaan persiaran teres bawah Tembok Laut Padang Kota Lama berkenaan sehingga menyebabkan ia terpaksa ditutup kepada orang awam ketika fenomena air laut pasang.

Beliau berkata, bahagian itu sudah dijangka akan dipenuhi air berikutan air laut pasang yang diramal berlaku dua hingga tiga jam dalam tempoh kumulatif 30 hingga 45 hari setahun.

Sebenarnya, bukan isu laluan bawah pejalan kaki di Tembok Laut Padang Kota Lama sahaja yang dipertikaikan penduduk di Pulau Pinang, bahkan Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang dikenali sebagai Jalan berkembar tertinggi di Malaysia juga ditakungi air selepas hujan lebat pada Februari lalu.

Video berdurasi 10 saat berhubung kejadian itu tular di laman sosial dan mendapat kecaman ramai, malah ada yang melahirkan kekecewaan apabila projek bernilai RM378.2 juta tidak mempunyai sistem saliran yang baik.

Selain itu, Pusat Intelligent Operations Centre MBPP pada jam 6.30 petang Sabtu lepas memaklumkan berlakunya takungan air di bahagian penghujung Jejantas Bukit Kukus menghala ke Jalan Tun Sardon.

Berikutan kejadian itu, jurutera pengendali projek MBPP bagi Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) diminta mengemukakan penjelasan terperinci mengenai kejadian air bertakung di jalan tersebut.

MBPP dalam satu kenyataan pada Isnin juga mengarahkan perunding projek serta kontraktor untuk turun padang bagi menyelesaikan segera masalah tersebut.

Jurutera yang mengendalikan projek MBPP diarahkan untuk mengemukakan penjelasan terperinci mengenai kejadian tersebut.

JALAN DITAKUNGI AIR

Kejadian Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang ditakungi air selepas hujan lebat kira-kira 40 minit itu merupakan satu lagi kejadian yang memalukan.

Jalan yang bernilai RM378.2 juta dibuka secara rasmi kepada kegunaan orang ramai bermula 13 Januari lalu.

Projek tersebut merupakan lebuh raya tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 61.5 meter selain menyediakan lorong basikal di sepanjang jalan berkembar tersebut.

Projek itu merupakan satu jalan alternatif kepada kira-kira 60,000 penduduk di kawasan Paya Terubong dan Air Itam untuk berhubung ke kawasan Bukit Jambul, Bukit Gambir, Balik Pulau dan kawasan sekitarnya.

Tidak setakat itu, dalam kejadian berasingan pada 11 Mei lalu, air bertakung berlaku selepas hujan lebat menyebabkan aliran trafik di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sesak.

MBPP dalam satu kenyataan memaklumkan, keadaan lalu lintas di lebuh raya terbabit bergerak perlahan akibat air bertakung sehingga pertengahan jalan berhadapan projek pembinaan iaitu bersebelahan Mutiara Height.

Dengan kelemahan beberapa projek pembangunan ini, ramai yang melahirkan kebimbangan sekiranya projek mega yang direncanakan kerajaan negeri Pulau Pinang seperti terowong dasar laut dan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) tidak akan selamat.

Sudah pasti tiada siapa yang mahu berdepan sebarang risiko sekiranya sesuatu pembangunan dan kemajuan mahu dibuat di negeri berkenaan. Lebih-lebih lagi ia melibatkan kos berjuta-juta ringgit.

Klik di sini untuk terus membaca