TIDAK terkesan dengan beberapa kontroversi pada awal penubuhannya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) terus bergerak maju dengan menawarkan pembaharuan politik kepada rakyat negara ini.
Justeru, kata Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, idealisme partinya adalah ingin mengetengahkan kepimpinan baharu, bertenaga, berintegriti, mengangkat politik berbilang bangsa dan agama serta memberi fokus kepada politik khidmat dan dasar.
Ini kerana, ujar beliau, Malaysia perlu mengubah dasar politik sedia ada jika ingin melahirkan generasi pemimpin yang mampu mendepani pelbagai cabaran mendatang.
Dalam program Bersama Johan Jaaffar anjuran Sinar Harian, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar turut menegaskan, fungsi dan peranan parti-parti pembangkang bukan hanya pandai mengkritik tetapi mesti tampil dengan penyelesaian kepada permasalahan rakyat.
Ikuti kupasan beliau mengenai pelbagai isu dalam wawancara eksklusif yang dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.
JOHAN: Adakah YB puas hati dengan kejayaan Muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di mana kali pertama Muda terlibat dan menang satu kerusi menerusi Amira Aisya merangkap Setiausaha Agung parti?
SYED SADDIQ: Ini satu permulaan yang baik kerana Muda pun pada peringkat tersebut bertapak kurang dua bulan dan berpendirian menggunakan logo sendiri.
Kita hanya bertanding di tujuh kerusi yang mana ini bukan kerusi mudah. Enam daripada tujuh kerusi ialah kerusi Felda, kubu kuat Perikatan Nasional (PN) dan UMNO.
Tetapi dengan itu pun, contohnya di Puteri Wangsa, Amira Aisya berjaya menang lebih banyak Pusat Daerah Mengundi (PDM) berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Seakan ada satu gelombang sangat besar kita lihat di Tenang dan Bukit Permai di mana kita nombor dua, berjaya mengalahkan PN yang sebelum ini ada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di dua kawasan tersebut.
Tidak mencukupi untuk kita berhenti di sini kerana saya yakin akhirnya rakyat ingin melihat apa tawaran Muda untuk membangunkan negara, bukan sekadar mengkritik tetapi memberikan penyelesaian kepada masalah rakyat. Itu keutamaan kita.
- Apa yang boleh ditawarkan oleh Muda?
Banyak. Sebab itu kalau tengok idealisme Muda itu memang ingin mengetengahkan kepimpinan baharu, bertenaga, berintegriti, mereka yang mengangkat politik berbilang bangsa dan agama serta fokus kepada politik khidmat dan dasar.
Dari segi penambahbaikan dasar, banyak perkara telah Muda cadangkan. Contohnya sistem percukaian lebih adil dan tidak hanya menjerat mereka dalam kumpulan pertengahan.
Kita perlu ada sistem cukai yang adil. Kita juga mencadangkan supaya anak-anak muda di universiti diberikan laptop atau tablet secara percuma atau subsidi yang tinggi kerana ini pelaburan bagi jangka masa panjang.
Banyak kita bincangkan tentang pembukaan industri baharu seperti industri hem, perubatan kanabis dan ketum. Walaupun ini sensitif tetapi kita berhujah berdasarkan data dan sains. Fokus Muda ialah untuk membina Malaysia yang maju, bermaruah dan berintegriti. Kita ingin memastikan proses penggubalan dasar itu didorong bukan oleh sentimen emosi tetapi oleh data dan sains.
- YB cakap mengenai laptop untuk orang muda, pelajar universiti. Ini abad ke-21 tetapi kita masih dengar ada pelajar terpaksa panjat bukit, panjat pokok dan sebagainya untuk mendapatkan sambungan internet. Terbaharu membabitkan pelajar yang dikatakan masih tidak ada laptop walaupun sudah berada pada tahun akhir. Pada pandangan YB, apa sebenarnya yang berlaku?
Ini perkara yang sangat serius. Saya tahu ramai beranggapan mungkin satu atau dua orang sahaja pelajar universiti (yang tidak mempunyai laptop), tidak.
Lihat sahaja penilaian yang dikeluarkan kementerian, di mana satu daripada tiga pelajar di Semenanjung tidak ada laptop. Di Sabah dan Sarawak, satu daripada dua tidak ada langsung walhal kita sudah masuk ke tahun kedua. Maksudnya ramai anak muda yang tergelincir, tersisih.
Ini belum saya bicarakan soal yang ada tetapi internet sangat lemah. Contoh di Muar bila saya pergi ke Sungai Balang, saya jumpa keluarga ada lapan anak dan mereka semua bersekolah.
Ada yang sekolah menengah, ada sekolah rendah tetapi ayahnya hanya ada satu telefon, terpaksa pinjamkan kerana Isnin anak sulung pakai, esok anak bongsu pakai. Ini sangat tidak baik.
Jadi saya buat pelbagai inisiatif untuk raih dana. Setakat ini kita berjaya memberikan lebih 1,700 laptop dan tablet berkualiti.
Sedikit sebanyak yang kita lakukan ini untuk selamatkan sistem pendidikan, jurang digital itu harus dikurangkan dan sebab itu Muda sentiasa membawa isu ini ke Parlimen.
- Bukankah ada usaha untuk menyebarkan laptop dan digerakkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) suatu masa dahulu. Apa sebenarnya yang terjadi?
Dalam bab ini saya agak kecewa dan sedikit rasa marah. Apabila kita sudah ada dana yang sangat banyak, SKMM akan pungut banyak cukai termasuk daripada syarikat-syarikat telekomunikasi terbesar.
Mereka ada berbilion ringgit tetapi kualiti laptop dan tablet yang diberikan itu sangat mengecewakan. Tanya sahaja anak-anak dan cikgu-cikgu yang dapat tablet dan laptop pada tahun 2012 - 2013.
Banyak yang mengadu dan merungut kepada saya, dua dan tiga bulan, rosak. Kini kita dengar kerajaan membelanjakan lagi sekali RM450 juta tetapi apabila ada paparan (contoh laptop yang akan diberikan) dan netizen mengatakan ia tablet tidak berkualiti atau cap ayam.
Walhal kalau kita ikut pelan, RM450 juta dia hendak berikan kepada 400,000 pelajar, minimum maksudnya satu tablet itu kosnya RM1,200.
Saya dekat Muar, saya boleh beri tablet berkualiti harganya RM550. Saya beli bukan macam kerajaan (beli dalam kuantiti yang banyak) dan boleh dapat diskaun lagi.
Itu pun tablet berkualiti dan terkenal, takkanlah kita tidak boleh bagi yang berkualiti? Kita kena usahakan yang terbaik kerana mereka hendak gunakan tablet ini bukan setahun tetapi lima tahun.
Yang lebih mengecewakan selepas kerajaan kata akan beri RM450 juta. Baru dua hari lepas kita dengar bahawa ini bukan pemberian tablet hanya pinjaman. Bagi saya ini tidak sepatutnya berlaku.
- Undi18 yang pertama kali diperkenal semasa PRN Johor, ramai tidak tahu sebahagian besar yang disebutkan sebagai lapan juta itu bukan berusia 18 hingga 21 tahun tetapi ada yang belum mendaftar. Ramai orang meletakkan harapan begitu tinggi kepada Muda. Ada semacam kekecewaan berlaku pada PRN Johor. Apa pandangan YB?
Sejujurnya saya rasa ini bukan kekecewaan. Sebab itu saya selalu ingatkan kepada sahabat dalam kerajaan dan pembangkang, jangan ingat hanya kerana anak muda itu diberikan undi, undi itu akan jatuh milik salah sebuah parti, tidak.
Kalau kita tidak berjaya memberi inspirasi, kita tidak berjaya untuk berjuang membela, menawarkan pakej-pakej baharu kepada anak muda, jangan haraplah mereka akan undi kita.
Saya rasa di Johor itu permulaan pertama di mana kategori undi 18 ini dibawa masuk tetapi selagi kita tidak ada tawaran spesifik, kita angkat suara mereka dan memartabatkannya, jangan harap undi mereka.
Sebab itu pada PRU15 ini saya selalu ingatkan sahabat-sahabat dan saya rasa banyak parti politik mula sedar. Sebab itu di Johor semua parti berlumba-lumba calonkan anak muda.
Bila menang berlumba-lumba letak Menteri Besarlah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mudalah, tetapi saya berharap sepatutnya semua parti mengangkat idealisme yang sama, pembaharuan, tawaran dasar baharu kerana jika tidak, parti yang paling ke hadapan ialah parti yang akan berjaya menjadi parti masa hadapan kerana undi-undi ini.
Jadi, saya rasa kita tidak boleh sahaja lihat dari sudut kekecewaan itu kerana PRN ini lazimnya peratusan yang keluar mengundi sangat rendah.
- Kalau YB dapat terangkan berapa sebenarnya mereka yang berusia 18 hingga 21 tahun itu?
Saya pecahkan betul-betul. Ini angka saya dapat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila saya membentangkan pindaan Undi18 ini.
Jumlah yang selalu diuar-uarkan ialah 7.8 juta tetapi ini perbezaan undi pada tahun 2018. Kalau undi dibuat pada tahun 2023 iaitu satu penggal penuh dan daripada 7.8 juta penambahan baharu ini yang khas kepada Undi18 sahaja, maksudnya 18 hingga 20 tahun ialah 1.8 hingga ke dua juta.
Undi automatik, maksudnya mereka yang tidak berdaftar sebelum ini, walaupun dia berumur 40 tahun, ada dalam empat juta, dan ada tambahan lagi dua juta.
Tengok juga antara 1.5 hingga ke dua juta bagi mereka yang sebelum ini berumur 18 tahun tapi sekarang sudah berumur 21 tahun.
Jadi, itu penambahan setiap tahun dan jumlah keseluruhannya dalam 7.8 juta.
- Apakah jumlah 1.8 hingga dua juta itu akan membuat perubahan dalam konteks senario pilihan raya?
Ya. Sangat besar. Saya beri contoh yang sangat mudah. Kalau kita bahagikan dua juta ini kepada 200 Parlimen, jumlahnya sangat besar. Kalau kita pecahkan lagi, lihat di kawasan Parlimen, keputusan PRU14, banyak kawasan tetap dalam kawasan marginal di mana kemenangan tidak melebih lima peratus.
Bayangkan kalau setiap Parlimen tambahan 2,000 hingga 3,000 undi sahaja, itu boleh menyebabkan seseorang itu menang atau kalah.
Sebab itulah semua parti berlumba-lumba untuk memikat pengundi muda.
- Bukankah itu merupakan kuasa ketiga dalam politik Malaysia?
Ia tidak begitu mudah kerana sistem politik negara adalah sistem first past the post. Maksudnya ia perlukan gabungan tetapi dalam politik hari ini apa-apa boleh jadi.
Yang penting rakyat kita tidak taksub kepada mana-mana parti politik.
Kalau kita lihat trend pengundian di Johor pada tahun 2013 sebelum PRU14, BN selalu akan dapat 60 hingga 65 peratus tetapi kali ini kekal 40 peratus, pengundi lain berpecah.
Ia menunjukkan bahawa individu itu tidaklah taksub kepada mana-mana parti tetapi kalau parti itu berjaya untuk menangkap imaginasi mereka, menunjukkan jalan hadapan untuk membina Malaysia maju, individu itu sanggup memberikan undi mereka.
- Saya hendak menarik perhatian pada sebuah filem popular di Hollywood yang berkisahkan calon Presiden Amerika Syarikat dalam awal 1980-an. Watak utama filem itu berkata dunia akan berubah sekiranya orang muda ambil peduli. Apakah orang muda di Malaysia ambil peduli?
Saya rasa mereka ambil peduli, sebab itulah mereka yang paling terkehadapan protes apabila laptop dan tablet tidak diberikan secara adil.
Apabila anak-anak muda di universiti, institusi pengajian tinggi awam (IPTA), IPTS, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dapat subsidi RM150 tersebut tetapi akhirnya mereka tidak dapat berbelanja secara dalam talian.
Merekalah yang protes hingga kerajaan perlu keluarkan kenyataan. Mereka tahu apa yang berlaku, mereka kisah tentang sistem pendidikan, mereka terkesan paling teruk tentang kos sara hidup, mereka paling terbeban kalau apabila tamat pengajian tetapi gaji tidak meningkat sudah lebih 20 tahun, mereka paling teruk terkesan kalau rumah itu rumah hanya mampu tengok, bukan mampu milik.
Mereka tahu tetapi tidak bermaksud mereka akan undi kamu hanya kerana lagi satu (parti) itu jahat. Tidak semudah itu.
- Orang muda selalunya dikatakan antiestablishment (golongan pemegang kuasa). Apakah maknanya kepada parti politik?
Antiestablishment itu saya rasa tidak. Saya ingat apabila saya bawa ke kabinet isu pindaan perlembagaan ini, ramai sahabat di peringkat bawah yang tidak setuju.
Anak muda dikatakan antiestablishment tapi banyak contoh sebaliknya di negara-negara lain.
Contohnya Indonesia, Presiden Joko Widodo (Jokowi) menang dalam Pemilu kedua dan dilantik semula adalah kerana sokongan anak muda.
Anak muda ini tidak taksub kepada parti politik atau personaliti politik. Kalau kamu buat kerja dengan baik, akan dapat banyak sokongan dan kalau kamu tidak buat dengan baik, mereka tidak akan sokong kamu.
Lihat di Johor sahaja, kalau mereka antiestablishment, UMNO akan kalah kerana anak muda tolak tetapi tidak. Bukan semudah itu.
Yang kedua anak muda ini hanya kisah tentang generasi mereka. Saya selalu kata kepada mereka yang kata anak muda ini golongan manja.
Mereka mana ambil kisah tentang politik, mereka ini manja. Saya selalu ingatkan kepada sahabat-sahabat yang buat dakwaan ini bahawa anak muda pada zaman sekarang mereka hidup dalam sebuah generasi di mana ibu bapa mereka apabila bersara, besar kemungkinan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka bawah RM10,000.
Ini jelas, data lebih 50 peratus bawah RM10,000. Beban untuk menjaga ibu bapanya terletak di tangan anak muda.
Ini juga generasi di mana harga rumah agak luar biasa. Dulu, kalau ingat ibu bapa kita sudah boleh dapat pinjaman bank umur 25 hingga 30 tahun tetapi anak muda sekarang kalau dapat rumah pada usia 40 tahun sudah bersyukur.
Ini juga generasi di mana kos sara hidup naik paling cepat, gaji permulaan, kita lihat kadar penambahan gaji dan masukkan sekali dengan kadar inflasi, gaji graduan itu sebab sudah statik lebih 10 tahun dan ini agak menyulitkan kedudukan anak muda, walhal dengan itu pun mereka tetap kena bekerja dua tiga kerja.
Pagi kerja pejabat, malam jadi pemandu Grab dan masih ada pihak yang kata anak-anak muda manja. Tidak betul, sebab itu saya rasa kita perlu tolong, bimbing anak muda kerana ingatlah anak muda ini yang akan mewarisi negara kita tercinta ini.
- Salah satu perkara yang banyak di perkatakan orang ialah tentang keyakinan terhadap orang politik. Mereka berada di tahap paling rendah dari segi teras kepercayaan. Bagaimana golongan pimpinan Muda dapat mengubah persepsi ini?
Jangan salahkan anak muda. Saya rasa bukan anak muda sahaja tetapi semua rakyat Malaysia, setiap lapisan ada pandangan yang sama kepada orang politik.
Ini kritikan pada diri saya juga kerana mereka lihat orang politik hanya pandai mencatur politik kuasa, mengangkat politik wang, jawatan, kontrak dan bukan membela masa depan mereka, anak mereka, cucu mereka. Mereka lihat politik ini seperti sudah tidak ada nilai.
Saya undi kamu hari ini, esok kamu lompat kerana dapat tawaran menteri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Itu tidak masuk akal.
Sebab itulah orang hilang harapan kepada institusi politik dan ini agak merisaukan kerana institusi politik itulah yang akan menentukan hala tuju negara, tetapi kalau sudah hilang kepercayaan kepada institusi pentadbiran negara, bagaimana kita ingin membawa Malaysia sebagai negara yang maju?
Sebab itu saya selalu tekankan, kita perlu terap dan tekankan politik nilai, politik pembangunan dan reformasi institusi yang tidak berdasarkan kepada politik personaliti semata-mata.
Klik di sini untuk terus membaca