SHAH ALAM - Pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, sebagai Duta Besar ke Indonesia, adalah bukan luar biasa dan sah mengikut Fasal 114, Perlembagaan Malaysia.Malah, Tajuddin bukanlah satu-satunya wakil... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, sebagai Duta Besar ke Indonesia, adalah bukan luar biasa dan sah mengikut Fasal 114, Perlembagaan Malaysia.

Malah, Tajuddin bukanlah satu-satunya wakil rakyat atau orang politik yang dilantik sebagai perwakilan ke negara asing kerana sebelum ini, Malaysia pernah melantik Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, sebagai Duta Besar ke Indonesia dari Oktober 2013 hingga 30 Jun 2018.

Bagaimanapun, Zahrain ditamatkan kontraknya lebih awal oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14, pada 2018.

Sebelum ini, Malaysia juga pernah melantik Ahli Parlimen Rompin merangkap mantan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Mohd Jarjis, sebagai Duta Besar ke Amerika Syarikat (AS) bertaraf menteri, pada 4 Ogos 2009.

Penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar berkata, pelantikan Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia bukan satu perkara luar biasa kerana ada banyak negara lain juga berbuat demikian.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Tajuddin dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.


Bagaimanapun, Chandra yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST) berkata, kebanyakan negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen menolak pelantikan ahli Parlimen sebagai duta atau perwakilan asing kerana seorang wakil rakyat perlu bertanggungjawab dan sentiasa berdampingan dengan penduduk di kawasan diwakilinya.

"Kalau seseorang dilantik sebagai Duta Malaysia bermakna ahli Parlimen berkenaan perlu bermastautin dan tinggal di negara lain. Sebagai contoh jika Datuk Seri Tajuddin dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia macam mana beliau mahu berkhidmat dan memberikan tumpuan 100 peratus kepada pengundi di kawasannya kerana dia akan tinggal di negara lain.

"Oleh itu, berdasarkan pengamatan saya di negara lain, mereka amat jarang melantik ahli Parlimen sebagai Duta atau Pesuruhjaya Tinggi ke negara asing kerana wakil rakyat terikat dengan tanggungjawabnya kepada pengundi di kawasan pilihan rayanya. Macam mana ahli Parlimen berkenaan mahu berkhidmat kepada penduduk di kawasannya jika beliau sendiri tiada di Malaysia kerana dilantik sebagai duta atau perwakilan di luar negara.

"Walaupun kita tahu negara seperti Indonesia adalah berjiran dan dekat dengan Malaysia, namun dari segi prinsipnya ahli Parlimen berkenaan perlu melapangkan banyak masa untuk melaksanakan tugasnya sebagai Duta Besar ke republik terbabit berbanding tanggungjawabnya kepada pengundi di kawasan terbabit," katanya kepada Sinar Premium.

TAJUDDIN


Berikutan itu, Chandra berkata kebanyakan negara lain lebih suka melantik bekas pegawai tinggi kerajaan termasuk bekas Ketua Polis Negara (KPN) dan mantan Panglima Angkatan Tentera (PAT) atau bekas tokoh akademik mahu pun bekas ahli Parlimen sebagai Duta atau Pesuruhjaya Tinggi mereka.

Untuk rekod mengikut Fasal 114, Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) boleh melantik sesiapa sahaja termasuk ahli Parlimen, tokoh akademik, bekas pegawai kerajaan mahu pun orang politik yang layak menjadi Duta dan Pesuruhjaya Tinggi ke negara asing dengan syarat perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dari segi proses pelantikan seseorang calon Duta Besar atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, pula merangkumi pencalonan oleh kerajaan Malaysia, persetujuan daripada negara 'hos' dan penganugerahan watikah daripada Yang di-Pertuan Agong.

Calon Duta atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia seterusnya perlu menyerahkan watikah pelantikan tersebut kepada Ketua Negara atau Ketua Kerajaan negara yang menerima Duta Besar tersebut.

Bagaimanapun, banyak negara di dunia terutama Eropah seperti Perancis, New Zealand, Kanada dan Switzerland lebih suka jika perwakilan asing yang dihantar ke negara mereka adalah terdiri daripada penjawat awam, bekas kakitangan kerajaan dan tokoh korporat tiada kena mengena dengan parti politik tertentu bagi mengelak sebarang masalah timbul di kemudian hari. Klik di sini untuk terus membaca