Remaja berusia 12 tahun itu rebah selepas dia berjalan pulang dari sekolah di bawah bahang matahari di dalam bilik darjah yang tidak dilengkapi dengan kipas untuk menyejukkan suasana sekeliling ketika gelombang haba terbaharu melanda Asia Selatan dengan suhu memuncak sehingga 51 darjah Celsius baru-baru ini.
"Seorang pemandu beca terpaksa membawa anak saya ke sini. Dia tidak boleh berjalan pun," kata ibu kanak-kanak itu, Shaheela Jamali kepada AFP dari sisi katilnya di sebuah hospital di bandar tersebut.
Terusan di bandar tersebut merupakan sumber pengairan penting untuk ladang-ladang berhampiran telah pun kering dengan genangan air yang hampir tidak kelihatan di sekeliling sampah yang bertaburan manakala pakar-pakar menyatakan cuaca panas adalah sejajar dengan amaran pemanasan global.
Kebanyakan daripada sejuta penduduk di Jacobabad dan kampung-kampung sekitarnya hidup dalam kemiskinan yang teruk dengan kekurangan air dan bekalan elektrik sehingga menjejaskan keupayaan mereka untuk mengatasi cuaca panas dan ia menyebabkan penduduk menghadapi dilema.
Doktor berkata, pelajar tersebut berada dalam keadaan kritikal tetapi ibunya yang didorong oleh keinginan untuk melepaskan diri daripada kemiskinan menyatakan anak lelakinya itu akan kembali semula untuk mengikuti pembelajaran di sekolah selepas dibenarkan keluar dari hospital.
"Kami tidak mahu mereka membesar menjadi buruh," kata Shaheela kepada AFP manakala anaknya yang tidak bermaya itu menangis di sisinya.
Badan manusia menjadi terlalu panas dan boleh mengakibatkan gejala dari pening serta loya sehingga kepada pembengkakan organ, tidak sedarkan diri dan juga boleh membawa kematian kepada sesiapa yang mengalami strok haba seperti pelajar tersebut.
SEPERTI API YANG MEMBAKAR
Seorang jururawat, Bashir Ahmed yang merawat Saeed di klinik strok haba baharu yang dikendalikan oleh Yayasan Pembangunan Masyarakat iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan berkata, bilangan pesakit yang tiba dalam keadaan serius semakin meningkat.
"Sebelum ini, cuaca panas akan memuncak pada bulan Jun dan Julai tetapi kini ia tiba pada bulan Mei," kata Ahmed.
Buruh yang terpaksa bekerja di bawah sinar matahari adalah antara yang paling terdedah dengan strok haba.
Pekerja-pekerja pembuatan bata menjalankan perniagaan mereka di samping relau yang boleh mencapai suhu sehingga 1,000 darjah Celsius.
"Panas yang teruk membuatkan kami kadang-kadang rasa ingin muntah tetapi jika saya tidak boleh bekerja, saya tidak dapat memperoleh pendapatan," kata seorang pekerja, Rasheed Rind.
Kehidupan di bandar Jacobabad dikuasai oleh percubaan penduduknya untuk menghadapi cuaca yang panas kerana kekurangan mereka menikmati bekalan elektrik selama enam jam sehari di kawasan luar bandar dan 12 jam di bandar berikutan masalah pembekalan tenaga tersebut.
"Ia seperti api yang membakar. Apa yang paling kita perlukan ialah bekalan elektrik dan air," kata seorang tukang besi, Shafi Mohammad.
Akses untuk mendapatkan air minuman adalah mengecewakan kerana masalah infrastruktur utama yang dihadapi oleh penduduk Pakistan.
Di sebuah perkampungan pertanian di pinggir bandar, terdapat wanita-wanita yang terpaksa bangun pada jam 3 pagi untuk mengepam air minuman dari perigi tetapi ia tidak pernah mencukupi untuk mereka bagi mendapatkan bekalan air yang mencukupi.
"Kami lebih suka lembu kami mempunyai air minuman yang bersih terlebih dahulu kerana rezeki kami bergantung kepadanya,” kata Abdul Sattar yang menternak kerbau untuk dijadikan susu dan dijual di pasar.
Tiada kompromi dalam hal ini, walaupun kanak-kanak mengalami masalah kulit dan cirit-birit.
"Ia adalah pilihan yang sukar tetapi jika lembu mati, bagaimana anak-anak akan makan?" soalnya.
Pakistan adalah negara kelapan paling terdedah kepada cuaca ekstrem yang disebabkan oleh perubahan iklim, menurut Indeks Risiko Iklim Global yang disusun oleh sebuah pertubuhan alam sekitar, Germanwatch.
Banjir, kemarau dan taufan dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah menyebabkan beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal, memusnahkan mata pencarian dan infrastruktur yang rosak di negara berkenaan.
Ekoran cuaca yang terlalu panas, ramai penduduk memilih untuk keluar dari bandar Jacobabad dalam bulan-bulan paling panas dengan meninggalkan beberapa buah kampung dalam keadaan separuh kosong. - Agensi Klik di sini untuk terus membaca