SHAH ALAM - Senario pindaan perlembagaan yang dilakukan oleh UMNO disebabkan bimbang akan polemik politik yang berlaku dalam parti tersebut. Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Senario pindaan perlembagaan yang dilakukan oleh UMNO disebabkan bimbang akan polemik politik yang berlaku dalam parti tersebut.

Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, pindaan itu juga merupakan satu pendekatan atau naratif yang diambil oleh parti untuk mengelakkan satu risiko yang besar.

Menurutnya, ia juga bukan satu perkara baharu tetapi pernah dilakukan oleh MCA pada 2011 dan tidak sepatutnya menjadi isu yang besar.

"Ini kerana kita tahu Presiden UMNO ketika ini bukan ketua kerajaan berbanding tahun sebelum ini dan ini adalah perbezaannya.

"Ada juga perspektif dalam pihak UMNO sendiri yang cuba mengambil alih kuasa dan sebagainya, kalau kita buat kajian risiko dan merasakan ia lebih besar sekiranya diadakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU).

"Jadi itu perspektif UMNO yang dominan yang perlu melakukan pindaan perlembagaan, kalau tidak ia akan mengakibatkan parti ini akan berpecah,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian dalam Sinar Live yang bertajuk UMNO kembali 'juarai' carta? yang dikendalikan Hazwan Mokhtar selaku moderator.

Program Sinar Live yang bertajuk UMNO kembali 'juarai' carta? pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohd Azizuddin berkata, sekiranya pemilihan itu dilaksanakan sebelum PRU maka akan berlaku perubahan kepada barisan pimpinan yang akhirnya menyebabkan persediaan agak sukar.

"Kalau mereka bersedia untuk PRU, maka peluang untuk mereka menang lebih besar dan kalau mereka terpaksa buat pemilihan maka akan ada kepimpinan yang baharu manakala persediaan untuk pimpinan baharu untuk menghadapi PRU akan timbul masalah.

"Ini kerana PRU sudah tidak lama, boleh jadi paling lewat Jun tahun hadapan. Mungkin bulan Mei, persediaan itu tidak lama dan tempoh itu menyebabkan ada kebimbangan mereka mungkin akan kalah dalam PRU.

"Jadi itu ada keperluan dan rasional untuk mengadakan pemilihan selepas PRU akan datang,” ujarnya.

Mengulas tentang fenomena ‘Bossku’, beliau berkata, ia sedikit sebanyak membantu BN untuk memenangi PRU, namun ia juga bergantung kepada beberapa faktor yang lain.

"Kalau kita tengok dalam semua platform media sosial, fenomena Bossku paling popular, namun ia tidak menjamin kemenangan BN pada PRU akan datang.

"Kerana ada faktor lain yang turut menyumbang kepada penentuan rakyat untuk mengundi, kalau dulu faktor ekonomi main peranan.

"Tetapi Bossku ini bantu BN untuk berkempen, daya tarikan itu ada cuma saya tidak pasti kalau kes beliau selesai sebelum PRU apa kesannya,” jelasnya.

Bercakap mengenai Muafakat Nasional pula, Mohd Azizuddin berkata, UMNO merasakan mereka tidak perlu bergabung dengan Pas tetapi memilih untuk bergerak sendiri pada PRU akan datang.

"Bibit perpecahan itu ada apabila Pas menerima Perikatan Nasional dan ini menyebabkan polemik ketika ini tiada jalan penyelesaian.

"Faktor ini juga merencatkan hubungan kedua-dua parti menyebabkan UMNO merasakan tidak perlu MN walaupun ia tidak disuarakan secara rasmi.

"Mereka boleh bergerak sendiri atas faktor Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor. Saya rasa itu pendekatan yang akan mereka ambil untuk PRU akan datang,” katanya.

Tambah beliau, UMNO mempunyai trek rekod yang baik dan ada kekuatan daripada sebahagian rakyat yang merasakan yakin dengan kepimpinan BN.

Menurutnya, rakyat merasakan BN lebih berpengalaman dalam mentadbir kerajaan berbanding parti-parti lain.

"Walaupun ada isu-isu, kes-kes tertentu tetapi mereka sebenarnya melihat secara umum bahawa BN mentadbir kerajaan lebih baik berbanding parti-parti lain.

"Jadi itu yang perlu diusulkan kepada parti lain untuk meyakinkan rakyat supaya mereka lebih baik daripada BN.

"Cuma BN sekarang ini kalau dah bergerak solo mereka perlu membawa agenda politik yang terbuka dengan agenda kaum. Jadi pendekatan itu sedikit sebanyak dapat menguatkan BN,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca