SHAH ALAM - Pakar pertanian menggesa kerajaan mengambil langkah lebih drastik untuk memastikan lebih 103,000 hektar tanah terbiar di seluruh negara diusahakan dengan projek pertanian bagi menjamin bekalan makanan di samping mengurangkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar pertanian menggesa kerajaan mengambil langkah lebih drastik untuk memastikan lebih 103,000 hektar tanah terbiar di seluruh negara diusahakan dengan projek pertanian bagi menjamin bekalan makanan di samping mengurangkan import.

Pakar Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Fatimah Mohamed Arshad berkata, ia termasuk menyediakan inisiatif sewaan tanah pertanian.

Katanya, langkah tersebut perlu dimulakan dengan penyediaan pangkalan data berkaitan tanah yang hendak disewakan.

"Siapa yang berminat untuk sewa boleh buat melalui kaedah ini. Dengan syarat pangkalan data tersebut lengkap dan peraturan serta perundangan telah ditetapkan terlebih dahulu untuk menjaga kepentingan penyewa dan pemilik tanah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Fatimah

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan tidak mengenakan bayaran cukai hasil dan cukai pintu untuk tempoh tertentu, sekiranya tanah terbiar itu telah diusahakan petani.

Berdasarkan statistik Jabatan Pertanian pada 2019, sebanyak 103,563 hektar tanah yang sesuai untuk pertanian tidak diusahakan dan terbiar di seluruh negara.

Sebagai perbandingan, keluasan tanah terbiar itu adalah lebih kurang sama dengan saiz negeri Pulau Pinang.

Dalam perkembangan sama, Dr Fatimah berkata, keuntungan yang lebih rendah, berbanding kos pengeluaran yang tinggi menjadi punca orang ramai tidak berminat untuk mengusahakan tanah terbiar.

Menurutnya, ia disebabkan semua bahan keperluan pertanian dan penternakan diimport seperti baja kimia, benih, serta bijirin untuk makanan ternakan, jagung dan kacang soya, selain penggunaan teknologi dan kos tenaga buruh.

"Semua ini memerlukan kos yang tinggi sedangkan keuntungan rendah.

"Justeru kalau tidak untung siapa yang nak tanam sayur di tanah terbiar? Ini akan menambahkan lagi masalah,” katanya yang meminta kerajaan membantu mengatasi masalah itu.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia mungkin mengalami krisis makanan yang teruk jika pelbagai masalah seperti inflasi, kenaikan harga minyak, cuaca ekstrem, pandemik Covid-19 dan konflik antara Rusia dan Ukraine berlarutan.

Setiap tahun Malaysia merekodkan lebih RM50 bilion import bahan makanan asas, dengan barangan seperti beras sebanyak 30 peratus, daging lembu (78%), daging kambing (hampir 90%) dan kobis bulat (60%).

INFO

Keluasan tanah terbiar di Malaysia

Negeri Bil lot Luas (hektar)

Pahang 11,292 29,391

Selangor 4,485 20,058

N. Sembilan 5,885 11,324

Perak 4,004 11,013

Johor 4,561 10,098

Terengganu 7,027 7,862

Kelantan 3,690 4,815

Kedah 1,774 2,655

P. Pinang 877 2,622

Melaka 1,915 2,332

Labuan 858 1,381

Perlis 14 12

Sabah tiada data -

Sarawak tiada data -

Jumlah 46,382 103,563

Klik di sini untuk terus membaca