SHAH ALAM - Tiga langkah perlu dilakukan kerajaan bagi menaikkan imej sektor pertanian sebagai satu pekerjaan lebih popular, glamor dan 'seksi' sekali gus akan menjadi pilihan anak muda.
Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Nur Azura Adam berkata, pertama adalah melakukan transformasi sistem pertanian moden yang menepati cita rasa golongan tersebut.
Jelasnya, antara yang perlu dipergiatkan adalah penggunaan dron dan aplikasi internet kebendaan (IoT) dalam pertanian.
"Pastikan kita adaptasi semua teknologi dan sistem maklumat untuk diaplikasi dalam pertanian. Itu adalah salah satu cara untuk menarik anak muda,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah usaha bagi menjadikan sektor pertanian sebagai satu kerja yang dapat menarik minat golongan muda menceburinya.
Selain itu katanya, sistem pendidikan di negara ini juga perlu menerapkan kepentingan pertanian dalam kehidupan seharian.
"Beri lebih pendedahan di peringkat yang lebih rendah seperti sekolah rendah dan daripada akar umbi bagi menunjukkan bahawa pertanian itu adalah penting,” katanya.
Tambahnya, usaha ketiga adalah dengan mengubah program akademik pertanian di peringkat universiti di negara ini.
"Maknanya, program akademik itu perlu menerapkan aplikasi pertanian moden dan penglibatan daripada industri pertanian.
"(Contohnya) syarikat pertanian yang mengamalkan teknologi pertanian pintar perlu bersama-sama dengan universiti dalam membentuk kurikulum akademik pertanian,” jelasnya.
Dengan penerapan ini katanya, golongan muda atau graduan yang dihasilkan akan mempunyai pengalaman dalam pertanian moden.
Sementara itu, mengulas mengenai punca golongan muda tidak mahu menceburi bidang pertanian, Nur Azura berpandangan antaranya adalah disebabkan faktor kewangan atau bajet.
"Dari segi nak memulakan sesuatu itu perlunya mempunyai modal. Peluang-peluang itu telah ada daripada kerajaan dan bank-bank (tetapi) kaedahnya bagaimana mahu memohon,” jelas beliau.
Menurutnya, terdapat graduan yang berminat untuk menceburi sektor pertanian sejurus mereka tamat belajar tetapi tidak mengetahui cara atau tiada panduan untuk mendapatkan bajet.
"Kadang-kadang mereka ini berminat tetapi tidak mengetahui ‘lorong’ mana nak dituju,” katanya.
Disebabkan itu Nur Azura berkata, pihaknya telah memperkenalkan sebuah ‘Program Inkubasi’ kepada graduan yang berminat dalam sektor pertanian bagi membantu mereka seperti bagaimana mahu mendapatkan bajet.
Klik di sini untuk terus membaca