KRISIS di Sri Lanka sudah lama berputik, namun kini terbongkar apabila situasi ekonomi mula menjerat kesejahteraan rakyat. Kesannya sangat genting yang mungkin tidak terlerai setahun dua. Bermula dengan krisis ekonomi, kini menjadi krisis... Klik di sini untuk terus membaca

KRISIS di Sri Lanka sudah lama berputik, namun kini terbongkar apabila situasi ekonomi mula menjerat kesejahteraan rakyat. Kesannya sangat genting yang mungkin tidak terlerai setahun dua.

Bermula dengan krisis ekonomi, kini menjadi krisis kemanusiaan. Anatomi krisis kemanusiaan menampilkan gejala seperti kekurangan makanan, ubat-ubatan, bahan api, pemotongan elektrik berpanjangan, kemiskinan meningkat dan inflasi berleluasa.

Harga beras naik mendadak sebanyak 93 peratus, selain daging ayam dan bijirin (55 peratus) dan bahan api (dua kali ganda).

Tragedi ini memberi pengajaran terbaik kepada Malaysia. Dalam beberapa perkara, Malaysia mengalami masalah struktur sama walaupun tidak serupa Sri Lanka.

Jika tersalah langkah, Malaysia mudah terjebak ke dalam kancah yang serupa. Ciri retak sudah ada, hanya membelah sahaja yang belum.

Pengajaran kepada Malaysia, yang pertama nyata terbukti sekuriti makanan berfungsi dalam satu sistem di mana wujud elemen saling berinteraksi secara timbal balik dalam satu litaran.

Elemen ini termasuk politik, perdagangan, polisi ekonomi, sumber asli, perubahan cuaca dan faktor luaran dan sebagainya. Terbukti di Sri Lanka, kesan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi (110 peratus) dan rizab mata wang asing yang sangat rendah (AS$2.3 bilion) menyebabkan negara tidak mampu lagi mengimport makanan untuk rakyatnya.

Kesan luaran juga memusnahkan terutama pandemik yang membantut rantaian bekalan dan menghauskan pulangan daripada industri pelancongan yang sebelum ini menyumbang 10 peratus KDNK. Pandemik juga mengurangkan aliran masuk wang daripada pekerja Sri Lanka di luar negara kepada keluarga mereka.

Konflik Rusia dan Ukraine meningkatkan harga petrol dan gas, memberi beban besar kepada pengguna dan juga usahawan atau pengilang.

Kedua, salah urus ekonomi oleh kerajaan menyebabkan pertumbuhan ekonomi Sri Lanka yang lembab termasuk pengeluaran makanan. Ekonomi mereka masih bergantung kepada teh, pelancongan, kelapa tanpa kepelbagaian yang dinamik.

Kerajaan Sri Lanka juga gagal merujuk kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk bantuan awalan sebelum krisis menjadi tragedi.

Infrastruktur mega yang dibina di atas hutang dengan China bukan sahaja menghakis sumber domestik tetapi menyebabkan krisis kekurangan mata wang asing dan hutang jangka masa panjang dengan China yang besar (di mana syernya adalah 10 peratus daripada hutang luar negara).

Malaysia juga berhutang dengan negara China ke atas projek infrastruktur.

PENGELUARAN BERAS MENURUN

Ketiga, polisi tergesa-gesa gagal mencapai pencapaian objektif sepantas yang disasarkan. Kerajaan Sri Lanka serta-merta melaksanakan polisi beralih kepada pertanian organik dengan melarang import baja yang bukan organik dan bahan kimia pertanian.

Polisi mendadak ini menyebabkan pengeluaran beras, makanan ruji negara menurun sebanyak 14 peratus kerana hasil padi berkurangan daripada 3.38 tan/ha kepada 2.92 tan/ha.

Penurunan pengeluaran beras tempatan mendorong negara mengimport daripada India, Bangladesh dan Myanmar pada paras lebih tinggi daripada kos import baja dan kimia pertanian diperlukan. Pertanian organik tidak dapat menjamin sekuriti makanan negara ini.

Keempat, keputusan polisi yang tergesa-gesa menunjukkan kerajaan Sri Lanka tidak menghayati kepentingan pembuatan polisi berasaskan bukti.

Pengalaman di Malaysia dan Indonesia menunjukkan kesan baja organik kepada tanah dan hasil mengambil masa dua hingga tahun dan bergantung kepada situasi geofizikal lokasi. Sebelum polisi diputuskan, kerajaan perlu berbincang dengan pelbagai pemegang taruh dan peserta industri mengenai kemungkinan impak program tersebut kepada mereka.

Kelima, tadbir urus adalah paksi utama dalam institusi ekonomi sesebuah negara. Namun di Sri Lanka, parti politik yang memerintah dikuasai dinasti Rajapaksa yang diketuai Presiden Gotabaya Rajapaksa bersama adiknya, Basil Rajapaksa sebagai Menteri Kewangan.

Struktur yang lebih serius berlaku di Malaysia di mana Perdana Menteri juga Menteri Kewangan (di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Abdul Razak).

Pelaburan infrastruktur mewah seperti stadium dan ketirisan menyebabkan sektor makanan terbiar. Peruntukan kecil diberikan kepada pengembangan, kemudahan kredit, koperasi, infrastruktur pertanian dan teknologi untuk petani. Begitu juga kebajikan dan sara hidup petani diketepikan terutama penjagaan kesihatan, pendidikan, kebajikan wanita dan penjagaan anak-anak kecil.

Pemerhatian sama berlaku di Malaysia di mana hampir 90 peratus petani padi dan pekebun kecil tergolong dalam kategori B40 dan rata-rata menerima pendapatan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Lanskap ekonomi Malaysia tidak seburuk yang dialami Sri Lanka, namun masalah tadbir urus Malaysia adalah lebih serius daripada Sri Lanka terutama korupsi.

Mengikut hukum Murphy, kesilapan akan berakhir dengan kesilapan. Sri Lanka mengajar kita apa yang harus dielakkan sebelum sebarang kesilapan berganda dan parah menjadi krisis ekonomi dan kemanusiaan yang sangat tragis.

* Profesor Datin Paduka Fatimah Mohamed Arshad ialah Felo Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM)

Klik di sini untuk terus membaca