APAKAH perbezaan genius matematik Malaysia dan China? Penulis rasa terpanggil untuk mengupas cerita terbaharu tentang genius matematik China, Wei Dongyi atau digelar God Wei. Penulis juga cuba membezakan hakikat Wei dengan Adi Putra atau... Klik di sini untuk terus membaca

APAKAH perbezaan genius matematik Malaysia dan China?

Penulis rasa terpanggil untuk mengupas cerita terbaharu tentang genius matematik China, Wei Dongyi atau digelar God Wei. Penulis juga cuba membezakan hakikat Wei dengan Adi Putra atau Tuah.

Ternyata, genius matematik China jauh lebih 'berguna’ apabila Wei sekelip mata menyelesaikan masalah berkaitan model matematik sedangkan enam pemegang ijazah falsafah kedoktoran (PhD) mengambil masa lebih empat bulan untuk cuba meleraikan permasalahan yang sama.

Wei, Pembantu Profesor Matematik di Sekolah Sains Matematik, Universiti Peking, Beijing menggunakan ‘Kaedah Wei’ atau ‘Wei Method’ bagi menyelesaikan masalah tersebut. Sama seperti Adi Putra, Wei pernah menolak tawaran melanjutkan pengajian PhD di Universiti Harvard.

Jadi apakah perbezaan Wei dan Adi Putra?

Wei berjaya menjadikan matematik itu mudah. Ramai khususnya pelajar Melayu takut dengan matematik. Walhal matematik ialah pola tersembunyi untuk membantu kita mendedah dan memahami kehidupan dunia sekeliling.

Matematik bukan sahaja berkaitan aritmetik dan geometri. Ia mewakili pernyataan model pelbagai bidang disiplin termasuk data digital dengan parameter dan penganalisaannya.

Ia juga berkaitan sains dengan pemerhatian penaakulan (reasoning), perubahan sistem dan pembuktian, pembuktian kehidupan, pergerakan objek, tingkah laku manusia, sistem sosial dan perubahan persekitaran. Dengan erti kata yang lain, matematik ialah kehidupan.

Kepentingan matematik telah dinyatakan ALLAH SWT menerusi Surah Yunus ayat [10:5] bermaksud "Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. ALLAH tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. ALLAH menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya).”

Matematik penting dalam struktur program pada semua peringkat pendidikan kerana kebolehgunaan teori dan teoremnya menegaskan asas kebenaran.

Penulis juga ingin mengupas senario matematik di Malaysia pada ketika ini. Matematik dikenal pasti kursus ‘kadar kegagalan tinggi’ sehingga 70 peratus.

Kajian Universiti Teknologi MARA (UiTM) mendapati pelajar bimbang menangani subjek matematik. Majoriti pelajar gagal matematik atau meraih gred paling tinggi hanya C+.

Laporan tersebut juga percaya prestasi pelajar dalam mata pelajaran matematik ada kaitan dengan keputusan sebelum kemasukan ke universiti.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 menunjukkan 61 peratus pelajar gagal mata pelajaran matematik tambahan manakala 24 peratus lagi mendapat keputusan A. Malah, majoriti pelajar universiti tahun pertama gagal matematik.

MALAYSIA TERTINGGAL

Kajian Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi Dunia (OECD) bermula tahun 2015 mendapati kecekapan matematik dan sains dalam kalangan remaja Malaysia berusia 15 tahun ke atas setara rakan sejawat di negara miskin dan kurang maju. Malaysia juga menduduki tangga ke-52 daripada 76 negara. Thailand menduduki tempat ke-47, Kazakhstan (49) dan Iran (51).

Kajian itu menunjukkan Singapura menduduki tempat pertama negara berprestasi dalam matematik dengan skor minimum 564 mata diikuti Hong Kong dan Korea Selatan manakala Jepun dan Taiwan berada di tempat ke-4. Turut mendapat markah tinggi ialah Finland (6), Estonia (7), Switzerland (8), Belanda (9), Kanada (10), Poland (11) dan Vietnam (12).

Persoalannya kenapa Malaysia jauh ketinggalan dalam matematik berbanding negara ketiga lain?

Analisis OECD mendapati pelajar di Malaysia tidak menyukai matematik kerana menganggap ia membosankan. Mereka tidak teruja dengan nombor dan formula seperti cara mereka meminati sejarah, bahasa atau mata pelajaran lain. Mereka melihat matematik sebagai angka abstrak, tidak relevan dan sukar difahami.

Laporan berkenaan menyebut matematik dianggap mata pelajaran sukar oleh pelajar kerana gaya dan kaedah pengajaran kurang mantap sehingga sukar memahami subjek. Ternyata pelajar tidak menyukai matematik kerana menganggap ia subjek sukar.

Kenapa matematik menimbulkan rasa benci kepada pelajar? Penulis percaya cabaran utama guru matematik ialah untuk membentuk sikap positif dalam diri pelajar terhadap pembelajaran matematik.

Justeru, penulis mencadangkan guru segera membentuk keyakinan pelajar menggunakan strategi lebih berkesan menerusi teknik pengajaran. Guru juga harus mengguna keadaan sekeliling sebagai bahan pengajaran matematik.

Matematik juga tonggak fundamental kepada dunia digital yang sangat mencabar.

Kesimpulannya, lebih baik jadi genius matematik yang berpijak kepada bumi nyata. Wei menolak segala macam publisiti dan memilih demi menyelesaikan masalah. Jangan jadi genius matematik sekadar untuk mencari publisiti.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Klik di sini untuk terus membaca