SHAH ALAM - Pakar undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpandangan bahawa data-data peribadi hanya boleh dikongsikan untuk tujuan rasmi oleh kerajaan. Ujarnya, peruntukan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpandangan bahawa data-data peribadi hanya boleh dikongsikan untuk tujuan rasmi oleh kerajaan.

Ujarnya, peruntukan undang-undang di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) menetapkan bahawa data peribadi tidak boleh dikongsikan untuk tujuan tidak rasmi.

Kata Nik Ahmad Kamal, isu pencerobohan data peribadi pada Selasa itu jelas menunjukkan bahawa ia telah digunakan untuk tujuan perniagaan dan tanpa mendapat kebenaran daripada pemilik data terbabit.

"Tuan punya data perlu sedar bahawa kalau data peribadi mereka disalahgunakan, mereka hendaklah segera membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau pihak berkuasa supaya dapat melindungi data tersebut.

"Pada masa yang sama, pendidikan kepada semua perlu diberikan untuk memastikan mereka tidak sewenang-wenangnya menyerahkan data peribadi mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Selasa, tular portal berita melaporkan data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia yang didakwa diperoleh dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah dijual dengan harga lebih RM40,000 dalam sebuah forum maya.

Difahamkan, butiran yang bocor termasuklah nombor kad pengenalan, nama, tarikh lahir, alamat rumah, jantina dan nombor telefon berdaftar milik mereka yang lahir antara 1940 dan 2004.

Nik Ahmad Kamal berkata, penguatkuasaan dari pihak kerajaan menjadi sukar terutamanya jika tidak ada laporan daripada pengguna bahawa data mereka telah disalahgunakan.

Menurutnya, proses penguatkuasaan dari pihak kerajaan amat bergantung kepada maklumat dan laporan daripada pemilik data itu sendiri.

"Saya rasa penguatkuasaan ini masalahnya adalah sumber kesalahan itu dilakukan, jadi kalau dapat tahu apakah punca kesalahan itu atau root cause, ia akan senang untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan.

"Dalam konteks ini, keselamatan data adalah amat penting. Kita secara sengaja atau tidak sengaja mengongsi data kita kepada sumber seperti syarikat telefon, telekomunikasi dan berbagai syarikat,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca