KEJATUHAN nilai ringgit pada paras RM4.4 berbanding dolar Amerika Syarikat pada Khamis menjadi indikator jelas ringgit paling teruk terjejas berbanding mata wang serantau lain akibat ketidaktentuan ekonomi global. Diburukkan lagi dengan... Klik di sini untuk terus membaca

KEJATUHAN nilai ringgit pada paras RM4.4 berbanding dolar Amerika Syarikat pada Khamis menjadi indikator jelas ringgit paling teruk terjejas berbanding mata wang serantau lain akibat ketidaktentuan ekonomi global.

Diburukkan lagi dengan pelbagai isu kritikal seperti konflik dan peperangan, inflasi, kenaikan harga minyak dunia dan sekuriti makanan, hampir pasti turun naik nilai ringgit tidak dapat dielakkan.

Realitinya, senario itu boleh menimbulkan kebimbangan ramai terutamanya apabila negara masih lagi bertatih dalam menjalani proses pemulihan selepas dua tahun dibelenggu Covid-19.

Namun, sejauh mana situasi ringgit yang merudum pada ketika ini bakal menghantar isyarat panik dalam kalangan rakyat dan apa tindakan perlu diambil demi memastikan ekonomi negara dapat terus bertahan?

JANGAN LEBIH RM4.48

Penganalisis Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali menerangkan, nilai ringgit perlu berada di bawah paras RM3.8 untuk ia terus kukuh.

Nuradli Ridzwan

"Berdasarkan jajaran teknikal, sekiranya nilai ringgit melanggar atau melebihi paras RM4.48 maka nilai mata wang negara akan bertambah menyusut dan boleh dianggap satu perkara serius sebaliknya jika ia berada bawah paras RM3.8 maka ia berpotensi untuk kembali kukuh.

"Sekiranya melebihi kadar RM4.48 antara impak langsung adalah kenaikan terhadap kos import negara dan ini pasti akan membebankan Malaysia yang sememangnya banyak mengimport komoditi makanan seperti daging, beras dan gandum.

"Harga barang keperluan sedia ada memang sudah mahal, bayangkan dengan kenaikan kos import pastinya akan lebih membebankan rakyat terutama daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” kata Nuradli Ridzwan Shah kepada Sinar Premium pada Khamis.

Katanya lagi, kenaikan kos import negara juga secara tidak langsung memberi peringatan kepada Malaysia untuk bersiap-siaga menghadapi krisis bekalan makanan dunia yang semakin membimbangkan.

"Kita seharusnya mengurangkan kebergantungan terhadap import terutama produk makanan dan berusaha untuk membuat simpanan atau bekalan makanan sendiri,” tegas beliau.

Ditanya tempoh masa kemungkinan bila nilai ringgit kembali pulih, beliau mengakui ia sukar dijangka, namun mungkin mengambil sedikit masa berikutan ia banyak berkait rapat dengan kadar faedah dan juga inflasi.

INFLASI 'KUASA JAHAT'

Sementara itu, bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus, Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, situasi turun naik kadar tukaran mata wang adalah perkara biasa yang turut berlaku di negara lain dan secara dasarnya ia tidak boleh terlalu dikawal.

Zakariah

"Kadar tukaran ringgit adalah harga ringgit dalam sebutan mata wang lain dan harganya ini ditentukan oleh permintaan dan penawaran mata wang itu yang diperdagangkan sebagai komoditi di dalam pasaran tukaran wang asing atau forex.

"Dan secara prinsipal turun naik sedemikian tidak boleh terlalu dikawal sebaliknya ia ditentukan oleh dua faktor utama. Faktor pertama adalah faktor sebenar ekonomi dan keduanya faktor sentimen yang sukar diurus.

"Faktor sentimen melibatkan antara lain ketidakstabilan politik dan kepimpinan, ekonomi, konflik dan kekacauan,” ujar Zakariah kepada Sinar Premium pada Khamis

Mengambil contoh konflik Rusia-Ukraine, Zakariah menjelaskan, antara kesan ketara daripada konflik tersebut telah menyebabkan berlakunya gangguan dan kekurangan bekalan komoditi seperti makanan.

Jelasnya lagi, gangguan bekalan komoditi di peringkat global ditambah kenaikan harga minyak dunia bukan sahaja mencetuskan kebimbangan malah turut menyebabkan fenomena inflasi global yang sememangnya telah dijangka berlaku pada tahun ini.

"Inflasi boleh dianggap ‘kuasa jahat’ dalam ekonomi yang boleh menjadikan kehidupan rakyat semakin sengsara apabila berlaku kenaikan harga umum sementara kuasa beli pengguna jatuh.

"Berbeza ketika seluruh dunia dilanda Covid-19, banyak negara termasuk Malaysia menawarkan pelbagai pakej rangsangan untuk menyuntik dan menambah kecairan tunai rakyat namun kini berlaku lebihan permintaan berbanding penawaran (effective demand) yang menyebabkan trend inflasi,” katanya lagi.

TINGKAT PRODUKTIVITI

Untuk rekod, buat masa ini inflasi negara adalah pada kadar 2.2 peratus, masih lagi dikira rendah berbanding AS yang mengalami 7 hingga 8 peratus inflasi.

"Untuk mengatasi inflasi yang tinggi itu, AS menaikkan kadar bunga sekali gus menyebabkan Malaysia turut terpaksa menaikkan kadar OPR baru-baru ini. Malaysia tiada banyak pilihan berikutan dolar AS adalah matawang dunia.

"Jika Malaysia tidak menaikkan kadar faedah akan berlaku jurang besar kadar tersebut antara AS dan negara-negara lain, yang seterusnya boleh menyebabkan aliran keluar wang ke luar negara yang akhirnya semakin melemahkan ekonomi negara.

"Di sini kalau simpan di bank, kadar faedah adalah rendah lebih baik simpan di negara luar di mana pulangan lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, katanya lagi kadar tukaran asing (nilai mata wang) juga adalah cerminan terhadap tahap produktiviti.

Trend kejatuhan ringgit yang semakin merudum dalam setahun dari 19 Mei 2021 kepada 19 Mei 2022.

"Dengan sebab itu, nilai RM1 tidak boleh disamakan dengan S$1 misalnya kerana tidak mungkin kita dapat menyamakan dalam masa singkat tahap produktiviti Malaysia dengan Singapura, begitu juga pemerhatian yang serupa antara ringgit-dolar AS, ringgit-euro dan mata wang lain,” katanya.

Menurut Zakariah, kebimbangan berkenaan kejatuhan ringgit perlu disertakan dengan solusi untuk mendapatkan nilai ringgit yang mapan dan untuk itu fundamental ekonomi perlu diuruskan terlebih dahulu.

"Contoh fundamental yang boleh diperbaiki adalah produktiviti atau daya pengeluaran. Teknologi yang maju akan menghasilkan produktiviti pekerja yang tinggi. Ia akan disertai dengan tahap kemahiran buruh yang tinggi.

"Fundamental ini berkait dengan daya pengeluaran dan teknik pengeluaran yang terdapat dalam sistem pengeluaran kita," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca