KEMPEN bahaya penggunaan tembakau yang memberikan kesan mudarat terhadap kesihatan dilihat memberikan hasil yang positif apabila bilangan perokok di dunia semakin berkurangan bermula dari tahun 2007 hingga 2019. Trend penurunan itu berlaku... Klik di sini untuk terus membaca

KEMPEN bahaya penggunaan tembakau yang memberikan kesan mudarat terhadap kesihatan dilihat memberikan hasil yang positif apabila bilangan perokok di dunia semakin berkurangan bermula dari tahun 2007 hingga 2019.

Trend penurunan itu berlaku buat kali pertama berdasarkan kepada laporan daripada sebuah pertubuhan kesihatan awam global iaitu Vital Strategies dan pasukan Tobacconomics di University of Illinois, Chicago, Amerika Syarikat (AS).

Penurunan itu boleh dilihat apabila kadar merokok menurun daripada 22.6 peratus pada tahun 2007 kepada 19.6 peratus pada tahun 2019 sejak laporan bilangan perokok dimulakan pada tahun 2002.

Pada tahun 2021 terdapat kira-kira 1.30 bilion pengguna tembakau di peringkat global berbanding hanya 1.32 bilion orang pada tahun 2015 berdasarkan laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut WHO yang aktif untuk mengurangkan bilangan perokok di dunia, berikutan trend penurunan itu, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut menjangkakan bilangan pengguna tembakau bakal berkurangan kepada 1.27 bilion orang menjelang tahun 2025.

Tembakau telah membunuh lebih daripada lapan juta penggunanya pada setiap tahun dan seramai 1.2 juta orang lagi mati akibat asap rokok, menurut statistik yang dikeluarkan oleh WHO pada tahun 2021.

Semua bentuk tembakau adalah berbahaya dan tiada tahap pendedahan yang selamat kepada tembakau dan menghisap rokok merupakan bentuk penggunaan tembakau yang paling biasa terdapat di seluruh dunia.

Produk tembakau yang lain adalah termasuk hukah, pelbagai produk tembakau kurang asap, cerut, cerut, tembakau gulung sendiri, tembakau paip, rokok gulung dan rokok kretek.

MAKIN MAHAL

Harga rokok dan cukai yang lebih tinggi turut dikaitkan dengan penurunan merokok dan ia juga penyebab keputusan untuk menghentikan perbuatan untuk menggunakan produk tembakau tersebut di dunia.

Hampir 5 trilion batang rokok digunakan pada setiap tahun sekali gus menyumbang kepada lebih lapan juta kematian dan ia menyebabkan kerosakan ekonomi bernilai hampir AS$2 trilion (RM8.80 trilion).

Cukai rokok dan kenaikan harga menghasilkan kesan yang paling kuat terhadap kelaziman merokok dalam kalangan penduduk berusia 18 hingga 24 tahun manakala lelaki dilihat lebih sensitif terhadap harga produk tembakau itu berbanding wanita.

Pada tahun 2021, Australia ialah negara yang paling mahal di dunia untuk seorang perokok kerana dengan satu pek rokok sahaja, ia melibatkan perbelanjaan lebih daripada AS$26 (RM114.47).

Jualan 20 pek rokok Malboro di negara jiran Australia, New Zealand pula adalah lebih daripada AS$24.28 (RM106.89).

Sebelum ini, pihak WHO mengesyorkan bahawa cukai mewakili lebih daripada 75 peratus daripada harga runcit produk tembakau perlu dikenakan tetapi pada 2018 hanya 14 peratus daripada penduduk dunia tinggal di negara yang telah mengikut cadangan tersebut.

Kenaikan harga rokok selain peningkatan kesedaran mengenai bahayanya menyebabkan kadar merokok global mula menurun. - Foto AFP

Secara keseluruhan, kenaikan cukai rokok boleh mengelakkan kira-kira 231,000 kematian kanak-kanak berumur di bawah setahun pada tahun 2018, menurut penyelidikan yang diketuai oleh Imperial College London dan Erasmus MC.

231 JUTA PEROKOK WANITA

Pada tahun 2020, sebanyak 22.3 peratus daripada populasi global menggunakan tembakau dengan 36.7 peratus adalah lelaki lelaki manakala 7.8 peratus adalah daripada kaum wanita.

Bilangan wanita yang menggunakan tembakau pada tahun 2020 ialah seramai 231 juta dan golongan itu yang berumur antara 55 hingga 64 tahun merupakan pengguna tembakau tersebut yang paling tinggi, menurut WHO.

Bagaimanapun, buat pertama kali dalam tempoh dua dekad, jualan rokok meningkat sedikit pada tahun 2020 berikutan penularan pandemik Covid-19.

Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan, dalam Laporan Rokok tahunannya berkata, pengilang menjual sebanyak 203.7 bilion batang rokok pada 2020 meningkat daripada 202.9 bilion pada 2019 dan peningkatan itu sebanyak 0.4 peratus.

Laporan peningkatan itu diperoleh daripada data yang dikemukakan oleh empat syarikat tembakau utama.

Bagaimanapun, pertumbuhan penduduk di Afrika, kawasan Mediterranean timur dan Pasifik Barat bermakna masih terdapat peningkatan bilangan perokok di beberapa kawasan, kata laporan Vital Strategies bersama ahli akademik Universiti of Illinois tersebut.

Laporan itu juga mencadangkan bahawa industri tembakau turut menyasarkan penduduk kulit hitam di AS yang mempromosikan penggunaan rokok mentol.

Merokok secara keterlaluan akan menyebabkan penyakit kanser, jantung, strok, penyakit paru-paru, diabetes, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) termasuk emfisema dan bronkitis kronik.

Merokok juga meningkatkan risiko batuk kering, penyakit mata dan masalah sistem imun termasuk artritis reumatoid.

Justeru, adakah merokok bakal diharamkan di seluruh dunia pada masa depan berikutan kesannya terhadap kesihatan atau mungkin terdapat negara bertindak mengharamkan penjualan rokok?

Australia memberi petunjuk untuk mengharamkan penjualan rokok kepada golongan peringkat umur tertentu menjelang tahun 2030 manakala New Zealand juga merancang perkara yang sama pada tahun 2027. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca