SHAH ALAM - Pergerakan mata wang negara perlu stabil berikutan turun naik nilai ringgit membawa kesan langsung terhadap sektor import dan eksport.Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, nilai ringgit yang merosot... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Pergerakan mata wang negara perlu stabil berikutan turun naik nilai ringgit membawa kesan langsung terhadap sektor import dan eksport.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, nilai ringgit yang merosot mendadak boleh mengakibatkan kos mengimport menjadi lebih mahal manakala nilai ringgit yang naik mendadak boleh menjejaskan sektor eksport.

"Kesan pergerakan mata wang (ringgit) yang merosot akan menyebabkan kos untuk mengimport meningkat disebabkan kuasa beli pengimport menjadi lemah dan perlu berbelanja lebih bagi memperoleh kuantiti barangan yang sama.

"Berbeza pula dengan eksport yang mana harga barangan eksport negara akan menjadi lebih murah dan kompetitif akibat daripada kemerosotan nilai ringgit yang akan meningkatkan kuasa beli para pelanggan atau pembeli di luar negara,” katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Beliau memberi contoh kesan penyusutan nilai ringgit membantu meningkatkan pertumbuhan seperti disaksikan pada bulan April lalu di mana jumlah eksport negara bertumbuh pada kadar 20.7 peratus.

"Kita perlu cakna bahawa mata wang sesebuah negara melambangkan kekukuhan ekonomi sehubungan itu Malaysia perlu fokus menjadikan ekonomi negara lebih berdaya saing sekali gus bakal menterjemahkan pengukuhan nilai ringgit yang lebih stabil dan mapan.

"Pada masa sama, harus diingat bahawa pergerakan mata wang boleh disebabkan faktor-faktor luaran dan jangka pendek seperti kadar faedah di negara maju,” katanya lagi.

MOHD AFZANIZAM


Tambahnya, dalam mendepani penyusutan nilai ringgit pada ketika ini, Bank Negara Malaysia perlu campur tangan dalam pasaran mata wang bagi menstabilkan mata wang ringgit.

"Rizab Antarabangsa berada di paras yang selesa dan ini memungkinkan bank pusat Malaysia untuk menstabilkan nilai ringgit,” katanya.

Di samping itu katanya, kerajaan juga perlu proaktif dalam memberi bantuan serta menyampaikan maklumat berkenaan status ekonomi negara dalam bahasa yang mudah difahami.

Untuk rekod, kadar ringgit setakat Jumaat adalah pada paras RM4.39 berbanding dolar dan pakar ekonomi sebelum ini mengatakan adalah bahaya sekiranya nilai ringgit menyusut melebihi paras RM4.8 sebaliknya ia perlu berada di bawah paras RM3.8 untuk terus berada dalam keadaan kukuh.

Ditanya sama ada rakyat perlu panik dengan situasi ringgit yang dilihat sedang menyusut teruk berbanding mata wang serantau lain, Mohd Afzanizam berkata, tanpa mengira sama ada ekonomi bertumbuh pesat atau sebaliknya, seseorang itu perlu merancang dan menjaga kewangan masing-masing dengan bijak pada setiap masa.

INFO

Kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS bulan Mei 2022

1 Mei RM4.3537

2 Mei RM4.3535

3 Mei RM4.3533

4 Mei RM4.3485

5 Mei RM4.3365

6 Mei RM4.3725

7 Mei RM4.3702

8 Mei RM4.3702

9 Mei RM4.3795

10 Mei RM4.3770

11 Mei RM4.3835

12 Mei RM4.3865

13 Mei RM4.3970

14 Mei RM4.398

15 Mei RM4.3978

16 Mei RM4.3925

17 Mei RM4.3950

18 Mei RM4.3945

19 Mei RM4.4023

20 Mei RM4.3975 Klik di sini untuk terus membaca